Tinjauan tahap kemahiran guru-guru
pelatih Kursus Diploma Perguruan Malaysia dalam menghasilkan aktiviti atau lembaran kerja bagi program
pemulihan atau pengayaan.
oleh: Fazidah bte Jonid, Haliza bte Hamzah dan Lee Lay Hwa
Latar belakang Kajian
Usaha untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti di peringkat awal persekolahan iaitu sekolah rendah telah menyebabkan Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) diperkenalkan. Sejajar dengan dasar pendemokrasian pendidikan. Peningkatan tahap kelayakan dari aspek akademik dan ikhtisas ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan martabat profesion perguruan. Terdapat limabelas pengkhususan matapelajaran yang ditawarkan termasuklah Pengajian Matematik.
KDPM
pengkhususan Pengajian Matematik diadakan bagi tujuan melahirkan guru Matematik sekolah rendah
berkualiti dan berketrampilan. Dalam sukatan
pelajaran Pengajian Matematik, isi kandungan kursus digubal untuk membolehkan guru pelatih
melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran
matematik khususnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.
Matlamat KDPM pengkhususan Pengajian Matematik juga ialah untuk melahirkan guru
yang berpengetahuan, berpengalaman, dan berkemahiran untuk menyampaikan isi kandungan
pelajaran matematik kepada murid secara lebih berkesan dan menyeronokkan
Dalam perlaksanaan kursus ini, pensyarah
disaran mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah atau aktiviti
seperti kuliah, seminar, perbincangan, sumbangsaran, bengkel, kerja praktik, projek,
pembelajaran koperatif dan kolaboratif, pembelajaran reflektif, pengajaran mikro dan
makro, pembelajaran berasaskan tugasan dan sebagainya.
Bagi menyelaraskan pemarkahan kerja kursus di seluruh maktab perguruan di Malaysia,
pihak Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah memberi kriteria penilaian serta aktiviti yang
perlu dijalankan. Kerja kursus ini dinamakan
Kerja Kursus Berportfolio(KKB).
KKB merupakan suatu set kerja kursus yang
dirancang sedemikian rupa supaya ianya dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada
guru pelatih berhubung dengan proses pengajaran dan pembelajaran. KKB dirancang berdasarkan sukatan matapelajaran
berkenaan.
Tajuk
Pemulihan dan Pengayaan merupakan salah satu tajuk yang terkandung dalam
sukatan pelajaran Pengajian Matematik Semester Tiga KDPM. Aktiviti pemulihan dan pengayaan merupakan suatu program yang penting dalam
pengajaran dan pembelajaran matematik. Maka berdasarkan kepentingan aktiviti pengayaan dan
pemulihan, seseorang guru pelatih sewajarnya mempunyai kemahiran dan pengalaman yang
mencukupi untuk menghasilkan sesuatu lembaran kerja atau aktiviti supaya mereka dapat
melaksanakan aktiviti pemulihan atau pengayaan apabila diperlukan kelak.
Pernyataan Masalah
Terdapat sepuluh objektif bagi KDPM pengkhususan Pengajian Matematik seperti yang dinyatakan dalam sukatan pelajaran. Tumpuan akan diberikan kepada objektif kelima iaitu:
Pada akhir kursus ini pelajar akan dapat menguasai pengetahuan yang mendalam mengenai kaedah pemulihan dan pengayaan dalam matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.
Sebagaimana yang telah dinyatakan, tajuk
Pemulihan dan Pengayaan merupakan salah satu tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran
Pengajian Matematik Semester Tiga KDPM. Tetapi dalam garis panduan KKB Pengajian Matematik
Semester Tiga 1998, tidak ada aktiviti yang dicadangkan bagi membekalkan pengalaman yang
berkaitan aktiviti pemulihan atau pengayaan kepada guru pelatih. Waktu pengajaran yang diperuntukkan bagi tajuk ini
hanya empat jam sahaja daripada jumlah enam puluh empat jam bagi komponen sukatan
pelajaran tersebut. Berbanding dengan kurikulum KDPM semester tiga tahun 1997, tajuk
Pemulihan dan Pengayaan merupakan salah satu tajuk yang terdapat dalam penilaian KKB. KKB
semester tiga tahun 1997, memerlukan guru pelatih memghasilkan sekurang-kurangnya lima
lembaran kerja yang sesuai bagi aktiviti pemulihan dan juga lima lembaran kerja yang
sesuai bagi aktiviti pengayaan. Lembaran kerja Pemulihan dan Pengayaan yang dihasilkan di
nilai oleh pensyarah. Dalam proses
menghasilkan lembaran -lembaran kerja ini banyak pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh oleh guru-guru pelatih berkenaan.
Oleh kerana KKB bagi semester tiga 1998, tidak mengandungi
tajuk Pemulihan dan Pengayaan, maka
dikhuatiri tajuk ini akan hanya diberi pendedahan yang minima dan tidak mencukupi.
Justeru, adalah dikhuatiri pengetahuan dan pengalaman yang
mendalam tidak dapat disampaikan
kepada guru pelatih berkaitan dengan program pemulihan atau pengayaan selaras dengan
objektif kelima bagi kursus seperti yang
dinyatakan di atas.
Sehubungan dengan itu, kajian ini
mengupas persoalan-persoalan yang berikut :
· Adakah guru-guru pelatih mempunyai pemahaman yang kukuh dalam Topik Pemulihan dan Topik Pengayaan ?
· Adakah lembaran kerja pemulihan dan lembaran kerja pengayaan yang dihasilkan oleh guru-guru pelatih ini memenuhi objektif aktiviti - aktiviti pemulihan dan pengayaan yang dijalankan ?
·
Adakah masa mengajar yang diperuntukkan untuk mengajar topik pemulihan dan
pengayaan mencukupi untuk membekalkan pengetahuan yang cukup kepada guru-guru pelatih
Kajian ini adalah berdasarkan kepada
tinjauan keatas kemahiran yang diperolehi oleh guru-guru pelatih, berkaitan dengan program
pemulihan dan pengayaan matapelajaran Matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.
Tujuan Kajian
Kajian ini bertujuan meninjau tahap pengetahuan dan kemahiran guru pelatih KDPM Semester Tiga dalam menghasilkan aktiviti atau lembaran kerja bagi program pemulihan atau pengayaan Matematik KBSR. Kajian ini juga mungkin dapat memberi maklumat tentang masa yang diperuntukkan kepada tajuk Pemulihan dan Pengayaan itu mencukupi atau sebaliknya
Menurut Kamus Dewan, perkataan pulih bermaksud
kembali seperti biasa, sembuh atau baik semula tetapi
maksud pemulihan dalam konteks pendidikan boleh diertikan sebagai sesuatu usaha untuk
membaiki sesuatu kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul.
Brennan (1974) dari ....... menilai konsep pendidikan
pemulihan sebagai
a kind of education required to meet needs which cannot be explained by any reference to inadequacies in the pupils environmental situation or life experience.
Koh (1982) menyatakan pendidikan pemulihan adalah terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana bertujuan membaiki kelemahan pembelajaran. Bagi Sampson (1975), pendidikan merupakan tindakan-tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan murid yang mengalami kesulitan dari segi pembelajaran. Ee (1998) pula menyatakan bahawa pendidikan pemulihan merupakan suatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang disediakan untuk menolong pelajar-pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran dalam menguasai sesuatu kemahiran dengan pendekatan, bahan- bahan pengajaran serta aktiviti yang alternatif.
Aktiviti pemulihan dalam pengajaran dan pembelajaran di
bilik darjah ialah satu usaha menolong murid yang lemah mencapai objektif pelajaran yang
belum dicapainya dalam pelajaran yang lampau. Biasanya murid yang memerlukan pemulihan
perlu didedahkan kepada banyak pengalaman konkrit dan situasi sebenar untuk membolehkannya
membina gambaran mental yang jelas dan seterusnya fahaman konsep yang betul.
Menurut Buku Panduan Am KBSR (1982) :
Setiap murid itu adalah berbeza antara satu sama lain sama
ada dari segi pengalaman, tingkahlaku, amalan, kecenderungan, bakat atau kebolehannya.
Perbezaan individu ini perlulah menjadi satu pedoman atau pegangan guru dalam usaha merancang pengajaran dan pembelajaran.
Sehubungan dengan ini, guru KBSR diminta merancang aktiviti
pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kepada kebolehan dan perbezaan individu murid.
Oleh itu, KBSR menyarankan agar pembahagian kumpulan mengikut kecerdasan digunakan untuk
melaksanakan program KBSR di dalam kelas. Sehubungan dengan ini, murid-murid dibahagikan
kepada tiga kumpulan, iaitu kumpulan cerdas, kumpulan sederhana dan kumpulan lemah. Oleh
kerana kumpulan lemah ialah kumpulan yang terdiri daripada murid-murid yang selalu
menghadapi masalah pembelajaran, mereka haruslah diberikan pendidikan pemulihan, selain
daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang biasa . Murid-murid ini lambat
menguasai sesuatu kemahiran yang disampaikan kepada mereka. Jawatankuasa Kabinet yang
bersidang pada November 1979 telah memperakukan bahawa mereka yang lemah dalam bidang
kemahiran tertentu hendaklah diberikan pengajaran pemulihan secara teratur dan terancang.
Program pendidikan pemulihan adalah diperakukan seperti yang terdapat dalam laporan
tersebut :
Adalah diperakukan supaya perkara-perkara yang berkaitan
dengan langkah-langkah mengadakan pengajaran pemulihan selepas daripada Ujian Rujukan
Kriteria dijalankan, diteliti dan diperbaiki. Antara lain perkara-perkara tersebut
termasuklah kaedah-kaedah mengajar yang sesuai, saiz kelas yang lebih kecil, peruntukkan
guru bagi mengendalikan pengajaran pemulihan serta penggunaan bahan-bahan tertentu.
Berdasarkan perakuan ini, guru-guru disarankan supaya menjalankan pengajaran pemulihan.
Pengajaran pemulihan merupakan satu proses yang
berperingkat-peringkat. Peringkat-peringkat ini disusun mengikut urutannya.
Peringkat-peringkat ini pula saling berhubung antara satu sama lain. Pendekatan ini dapat
digambarkan secara ringkas dalam satu pusingan yang mengandungi empat langkah utama.
Keempat-empat peringkat ini merupakan proses pengajaran
pemulihan yang boleh dinyatakan seperti
berikut :
Peringkat 1 : Mengenal pasti murid-murid lemah dan masalah
pembelajaran mereka
Peringkat 2 : Menentukan punca dan sebab kelemahan
Peringkat 3 : Pilih ganti tindakan ( aktiviti alternatif )
Peringkat 4 :
Penilaian kejayaan program pemulihan.
Untuk mewujudkan satu rancangan pemulihan yang lebih
berkesan, program tersebut hendaklah dilakukan dalam bentuk yang lebih terperinci seperti
yang disarankan oleh Koh (1981). Menurut
beliau, program pemulihan harus bertitik tolak daripada aktiviti mengenalpasti dan
menentukan kegiatan-kegiatan pemulihan yang sesuai dan diikuti pula dengan aktiviti
merancang dan melaksanakan kegiatan pemulihan tersebut. Selepas aktiviti pemulihan itu
dijalankan, guru kemudiannya diminta menilai keberkesanan pengajaran tersebut.
Pengayaan dalam bilik darjah adalah aktiviti tambahan yang
lebih kompleks, menarik dan mencabar yang bertujuan untuk meluaskan pengetahuan dan
kemahiran matematik yang telah dipelajari. Pengayaan boleh dibuat untuk kumpulan cerdas,
sederhana dan lemah. Setiap murid layak menerima pengayaan. Berapa banyak pengayaan yang
seorang murid terima bergantung kepada keupayaan dan prestasinya sendiri.
Aktiviti-aktiviti pengayaan bertujuan untuk membolehkan
murid-murid :
(a)
Menjalani aktiviti-aktiviti pembelajaran yang lebih mencabar kebolehan mereka
(b)
Menambahkan minat dan pengalaman yang boleh membantu ke arah perkembangan diri dan
bakat mereka
(c)
Menggunakan masa lapang dengan berfaedah mengikut keperluan, minat dan bakat mereka
(d)
Untuk membuat rujukan daripada berbagai sumber pengetahuan
(e)
Berminat untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari bagi membolehkan
mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup
(f)
Melahirkan daya kreativiti menerusi pemikiran dan berkebolehan untuk menilai kerja
mereka sendiri
(g)
Mempunyai asas kepimpinan untuk diperkembangkan ke peringkat yang lebih tinggi
sesuai dengan kemampuan mereka.
Aktiviti-aktiviti pengayaan disediakan untuk semua murid.
Sungguhpun begitu, sama ada seseorang murid itu mendapat sedikit atau banyak pengalaman
pengayaan adalah bergantung pada kebolehan dan keupayaan masing-masing dalam menguasai
kemahiran yang telah ditetapkan.
Secara umumnya, murid-murid boleh dibahagikan kepada tiga
kumpulan :
(a)
Kumpulan cerdas
Murid-murid yang tergolong dalam kumpulan ini ialah mereka
yang dapat menguasai pelajaran lebih awal dari jangka masa yang ditetapkan
(b)
Kumpulan sederhana
Murid-murid yang tergolong dalam kumpulan ini ialah mereka
yang dapat menguasai pelajaran dalam jangka masa yang ditetapkan.
(c)
Kumpulan lemah
Murid-murid yang tergolong dalam kumpulan ini ialah mereka
yang tidak dapat menguasai pelajaran dalam jangka masa yang ditetapkan.
Dalam pengajaran dan pembelajaran di kelas biasanya
murid-murid dalam kumpulan cerdas akan mendapat lebih banyak aktiviti pengayaan jika
dibandingkan dengan murid-murid lain.
Guru hendaklah membuat perancangan yang rapi supaya
aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersesuaian dengan murid-murid mengikut peringkat
perkembangan, umur dan kebolehan mereka. Sebagai panduan, aktiviti-aktiviti yang hendak
disediakan itu haruslah:
(a)
Bercorak belajar sendiri dan mengandungi arahan atau penerangan yang jelas supaya
murid dapat menjalankannya tanpa guru. Aktiviti boleh dijalankan sama ada secara
perseorangan atau kumpulan.
(b)
Menarik, mencabar dan sesuai dengan kebolehan, minat dan bakat murid yang
berbeza-beza.
(c)
Boleh berbentuk program harian atau berbentuk projek.
(d)
Diletak atau disimpan di tempat yang mudah digunakan oleh murid-murid
(e)
Mengandungi bahan-bahan yang dipelbagaikan samada dibuat sendiri atau diperolehi
dari pasaran.
Aktiviti-aktiviti boleh dijalankan berdasarkan
perkara-perkara yang berikut :
(a) Pilihan
murid
·
Aktiviti-aktiviti pengayaan dijalankan
secara tidak formal di mana guru hanyalah sebagai pendorong.
·
Bagi murid yang cerdas dan sederhana,
kebanyakan aktiviti pengayaan yang diberikan adalah berbentuk belajar sendiri.
·
Oleh kerana murid-murid lebih senang
belajar dan berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya, murid-murid cerdas dapat membantu
murid-murid yang lemah.
·
Setelah murid-murid selesai menjalani
sesuatu aktiviti yang diberi, hasil-hasil kerja mereka hendaklah diberi penghargaan.
(b) Pilihan
Guru
·
Pengajaran dan pembelajaran bolehlah
dijalankan berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dicadangkan di dalam buku teks atau buku
panduan khas yang ditetapkan. Ia hendaklah dijalankan selepas murid-murid diberi aktiviti-aktiviti asas untuk
sesuatu kemahiran. Aktiviti-aktiviti ini adalah untuk membantu murid-murid memperkukuhkan
lagi kemahiran yang sedang dipelajari.
Kajian ini menggunakan
ujian untuk mengumpul maklumat yang diperlukan. Responden terdiri daripada semua
guru pelatih Pengajian Matematik Semester 3 Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur. Secara
amnya, kajian ini akan mengenalpasti sama ada topik pemulihan dan pengayaan perlu
dimasukkan dalam KKB Semester 3 bagi meneguhkan kemahiran guru pelatih. Ia juga dapat
mengenalpasti adakah aktiviti-aktiviti pengajaran pembelajaran yang dijalankan oleh
pensyarah di kelas bagi topik pemulihan dan pengayaan telah mencukupi. Adalah menjadi harapan agar guru pelatih dapat
mengamalkan aktiviti pemulihan dan pengayaan Matematik KBSR di sekolah kelak.
Instrumen
Kajian
Satu ujian yang digunakan dalam kajian ini dibahagikan
kepada dua bahagian.
Bahagian A : Guru pelatih dikehendaki menandakan (v) tentang beberapa pernyataan pemulihan yang diberi.
Bahagian B : Guru pelatih dikehendaki menandakan (v) tentang beberapa pernyataan pengayaan yang diberi.
Penganalisisan data hasil kajian adalah berdasarkan data-data yang diperolehi daripada ujian dan hasil lembaran kerja Pemulihan dan Pengayaan daripada 93 orang guru pelatih Semester 3 pengkhususan Pengajian Matematik di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur.
Perbincangan terhadap hasil kajian berdasarkan kepada :
(a) Huraian deskriptif tentang tahap kefahaman topik Pengayaan dan Pemulihan sama ada lemah, sederhana atau tinggi. Perbincangan dibuat berdasarkan kepada min dan peratus yang didapati daripada ujian yang menguji kefahaman Asas dan Lanjutan tajuk tersebut.
(b) Kualiti hasilan lembaran kerja aktiviti Pemulihan dan Pengayaan mengikut sistem pemarkahan KKB tahun sebelumnya iaitu 1996 di Maktab Perguruan Teknik.
Analisis
Skor : Tahap Kefahaman Tajuk Pemulihan
Dalam ujian ini, terdapat 20 item yang menguji tentang kefahaman guru-guru pelatih terhadap tajuk Pemulihan. Item ini dibahagi kepada dua kategori iaitu pengetahuan asas dan lanjutan. Daripada 20 item itu 7 item menyoal tentang kefahaman asas guru-guru pelatih terhadap tajuk pemulihan, iaitu item 1, 2, 3, 11, 13, 16 dan 18. Item yang lain mengukur kefahaman lanjutan tajuk Pemulihan, iaitu, item 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10, 12, 14, 15, 17, 19 dan 20
Analisis
Skor : Tahap Kefahaman Tajuk Pengayaan
Ujian bahagian Pengayaan juga mempunyai 20 item yang
menyoal tentang kefahaman guru-guru pelatih tentang tajuk tersebut. Ianya dibahagikan kepada dua kategori iaitu,
(a)
Kefahaman asas tentang Pengayaan
item 1, 2, 3, 10, 13 dan 18.
(b) Kefahaman lanjutan tentang Pengayaan iaitu item 4, 5, 6, 7, 8, 9, 11, 12, 14, 15, 16, 17, 19 dan 20.
Tahap |
Skor |
Kekerapan |
Peratus |
Rendah |
0 - 2 |
0 |
0 |
Sederhana |
3 - 4 |
2 |
2.2 |
Tinggi |
5 - 7 |
91 |
97.8 |
Jumlah |
93 |
100 |
Tahap skor kefahaman asas tajuk Pemulihan dibahagikan kepada 3 tahap secara purata mengikut skor maksimanya 7 markah di mana tahap rendah adalah daripada
0 2 markah, tahap sederhana adalah daripada 3 4 markah dan tahap tinggi adalah daripada 5 7 markah berdasarkan markah yang diperuntukkan untuk setiap soalan. Daripada skor kekerapan mengenai Tahap Kefahaman Asas, guru-guru pelatih tentang tajuk Pemulihan, di dapati bahawa guru-guru pelatih Semester 3 dapat menjawab dengan betul sekurang-kurangnya 3-4 soalan daripada 7 soalan yang mengukur tahap kefahaman asas topik pemulihan. Jadual 1 menunjukkan bahawa 97.8% (91 orang responden) dapat menjawab 5 - 7 soalan dengan betul, 2.2% (2 orang responden) dapat menjawab 3 - 4 soalan dengan betul dan tiada yang menjawab hanya 1 - 2 soalan dengan betul. Daripada taburan ini kita dapat membuat keputusan bahawa lebih daripada 97% responden berada di dalam kedudukan yang tinggi dalam tahap kefahaman Asas bagi tajuk Pemulihan. Dengan min skornya 6.3 dan sisihan piawai yang rendah iaitu 0.6993, ini menunjukkan bahawa kebanyakan guru-guru pelatih Semester 3 mempunyai kefahaman Asas yang kukuh tentang tajuk Pemulihan
Tahap |
Skor |
Kekerapan |
Peratus |
Rendah |
0 - 4 |
0 |
0.0 |
Sederhana |
5 - 8 |
5 |
5.4 |
Tinggi |
9 -13 |
88 |
94.6 |
Jumlah |
93 |
100 |
Tahap skor kefahaman lanjutan tajuk Pemulihan juga dibahagikan kepada 3 tahap secara purata berdasarkan skor maksimanya 13 markah iaitu tahap rendah daripada
0 4 markah, tahap sederhana daripada 5 8 markah dan tahap tinggi daripada 9 13 markah. Dari skor kekerapan bagi tahap kefahaman lanjutan guru-guru pelatih tentang tajuk Pemulihan, di dapati kesemua guru-guru pelatih Semester 3 dapat menjawab lebih daripada 5 soalan berbanding dengan 13 soalan keseluruhannya.
Daripada jadual 2 kita boleh melihat bahawa 0% (tiada responden) yang mendapat skor 0 - 4 markah, 5.4% (5 orang responden) mendapat skor 5 8 markah dan selebihnya 94.6% (88 orang responden) mendapat skor 9 - 13 markah
Dengan min taburan 11.2 dan sisihan piawainya 1.3478,
sekali lagi kita boleh menyimpulkan bahawa pelatih Semester 3 ini mempunyai tahap
kefahaman Lanjutan yang kukuh tentang tajuk Pemulihan .
Ini boleh ditunjukkan dengan peratusan yang tinggi 94.6% daripada jumlah responden
yang boleh digolongkan di dalam tahap kefahaman lanjutan yang tinggi terhadap Tajuk
Pemulihan ini. Bakinya (5.4%) adalah
tergolong di dalam tahap kefahaman yang sederhana dan tiada yang boleh digolongkan di
bawah tahap pemahaman yang rendah.
Sekiranya dilihat secara keseluruhan tanpa mengira samada
ianya menguji tahap pemahaman Asas ataupun Lanjutan, di dapati bahawa, semua responden
mendapat skor 14-20. Ini menunjukkan tahap pemahaman mereka terhadap tajuk Pemulihan
adalah tinggi dan baik
Jadual
3 :Taburan Skor Tahap Kefahaman Tajuk Pemulihan (Am)
Skor |
Tahap |
Kekerapan |
Peratus |
0 - 6 |
Rendah |
0 |
0 |
7 - 13 |
Sederhana |
0 |
0 |
14 -20 |
Tinggi |
93 |
100 |
Jumlah |
93 |
100 |
Bukan setakat itu sahaja, bila dilihat min skor
pula iaitu 17.55 yang mana ianya terletak di selang kelas yang tinggi bermaksud bahawa
tahap pemahaman guru pelatih adalah sangat tinggi dan sisihan piawainya yang rendah 2.01
menunjukkan bahawa pelatih tidak mempunyai tahap perbezaan yang jelas antara satu sama lain secara
perbandingannya.
Kesimpulannya tahap kefahaman responden dalam tajuk
Pemulihan adalah sangat tinggi.
Seperti Pemulihan, ujian Pengayaan juga mempunyai 20 item
yang menyoal tentang kefahaman tajuk tersebut. Item ini dibahagi kepada dua kategori yang
utama, iaitu,
(i) Kefahaman asas Pengayaan soalan no. 1, 2, 3, 10, 13 dan 18.
(ii) Kefahaman lanjutan Pengayaan soalan no. 4, 5, 6, 7, 8, 9, 11, 12, 14, 15, 16, 17, 19 dan 20
Jadual 4 : Taburan skor Tahap Kefahaman Asas Tajuk Pengayaan
Tahap |
Skor |
Kekerapan |
Peratus |
Rendah |
0 - 2 |
0 |
0.0 |
Sederhana |
3 - 4 |
14 |
15.1 |
Tinggi |
5 - 6 |
79 |
84.9 |
Jumlah |
93 |
100 |
Kefahaman asas tajuk Pengayaan juga dibahagikan kepada 3
tahap secara purata mengikut skor maksimanya 6 markah berdasarkan markah yang
diperuntukkan untuk setiap soalan iaitu tahap rendah daripada 0 2 markah, tahap
sederhana daripada 3 4 markah dan tahap tinggi daripada 5 6 markah. Jadual 4
menunjukkan skor kekerapan mengenai tahap kefahaman asas guru-guru pelatih tentang tajuk
pengayaan. Didapati bahawa responden dapat menjawab dengan betul sekurang-kurangnya 3
soalan daripada 6 soalan . 15% (14 orang responden) mencapai skor sederhana dan 84.9% (79
orang responden) telah mencapai skor tinggi. Min skornya 5.2 dan sisihan piawainya yang
rendah iaitu 0.8068, menunjukkan tahap kefahaman asas yang tinggi terhadap topik
pengayaan.
Jadual
5: Taburan Skor Tahap Kefahaman Lanjutan Tajuk Pengayaan
Tahap |
Skor |
Kekerapan |
Peratus |
Rendah |
0 - 4 |
0 |
0.0 |
Sederhana |
5 - 9 |
30 |
32.3 |
Tinggi |
10-14 |
63 |
67.7 |
Jumlah |
93 |
100 |
Dalam taburan skor kefahaman lanjutan tajuk pengayaan,
tahap skornya juga dibahagikan kepada 3 tahap secara purata berdasarkan skor maksimanya 14
markah iaitu tahap rendah daripada 0 4 markah, tahap sederhana daripada 5 9 markah dan tahap tinggi
daripada 10 14 markah mengikuti markah yang peruntukkan untuk setiap soalan.
Daripada Jadual 5, didapati 32.3% atau 30 orang responden mencapai skor sederhana dan
67.7% atau 63 orang responden telah mencapai skor tinggi. Min skor taburan yang tinggi
iaitu 10.2 dan sisihan piawainya 1.7345, menunjukkan
responden mempunyai tahap kefahaman lanjutan yang kukuh tentang tajuk pengayaan.
Jadual 6 menunjukkan taburan skor tahap kefahaman tajuk
Pengayaan secara am. Secara keseluruhannya,
di dapati bahawa 82.8% daripada responden mendapat skor 14 20 markah manakala yang
bakinya mendapat skor 7 13. Ini bermakna bahawa tahap pemahaman guru-guru pelatih
terhadap tajuk Pengayaan adalah tinggi dan baik.
Jadual
6: Taburan Skor Tahap Kefahaman Tajuk Pengayaan (Am)
Tahap |
Skor |
Kekerapan |
Peratus |
Rendah
|
0 - 6 |
0 |
0 |
Sederhana |
7 13 |
16 |
17.2 |
Tinggi
|
14 20 |
77 |
82.8 |
Jumlah |
93 |
100 |
Didapati min bagi taburan skor tahap kefahaman tajuk Pengayaan secara am ialah 15.41 iaitu ia berada dalam selang kelas tinggi. Ini bermaksud bahawa tahap pemahaman guru-guru pelatih adalah tinggi dan baik dengan sisihan piawainya 2.53. Ini menunjukkan bahawa guru-guru pelatih tidak mempunyai tahap perbezaan yang ketara di antara satu dengan yang lain secara perbandingannya.
Penilaian Lembaran Kerja
Tugasan lembaran kerja dibahagikan kepada
dua bahagian iaitu, bahagian Pemulihan dan Pengayaan yang berdasarkan kepada tajuk-tajuk
dalam sukatan KBSR. Responden dikehendaki
memberi satu aktiviti yang sesuai untuk tajuk pemulihan dan satu aktiviti untuk tajuk
pengayaan.
Pemberatan yang diberikan adalah 50%
untuk tajuk Pengayaan dan 50% untuk tajuk Pemulihan.
Markah- markah ini adalah berdasarkan kepada Peraturan Memberi Markah (PMM) yang
digunakan pada semester sebelumnya.
Skor bagi penilaian lembaran kerja
Aktiviti Pemulihan dan juga Aktiviti Pengayaan dibahagikan kepada 4 kategori secara purata
iaitu markah 0-12 pada tahap kurang memuaskan, 12-25 tahap memuaskan, 25-37 tahap baik dan
37-50 tahap cemerlang.
Tahap |
Markah |
Kekerapan |
Peratus |
|
Kurang memuaskan |
0-11 |
34 |
36.5 |
92.4 |
Memuaskan |
12-24 |
52 |
55.9 |
|
Baik |
25-36 |
5 |
5.4 |
7.6 |
Cemerlang |
37-50 |
2 |
2.2 |
Daripada jadual 7 di dapati bahawa 34 orang responden atau 36.5% menghasilkan lembaran kerja yang bertahap kurang memuaskan, 52 orang responden atau 55.9% menghasilkan lembaran kerja yang bertahap memuaskan dan 5 orang responden atau 5.4% menghasilkan lembaran kerja bertahap baik dan selebihnya 2 orang atau 2.2% mencapai tahap yang cemerlang.
Dalam amalan kebiasaan, markah yang kurang daripada 50 % dianggap gagal dan , markah 50 % dan lebih dianggap lulus. Sekiranya tanggapan yang sama digunakan dalam penilaian lembaran kerja ini di dapati bahawa 92.4 % responden gagal dan hanya 7.6 % lulus. Ini menunjukkan bahawa 92.4% responden berada ditahap yang rendah yang bermaksud mereka tidak dapat menghasilkan lembaran kerja yang baik dan sesuai untuk tajuk pemulihan. Selebihnya iaitu, hanya 7.6% yang dapat mengaplikasikan kefahaman tajuk pemulihan dengan baik.
Tahap |
Markah |
Kekerapan
|
Peratus |
|
Kurang memuaskan |
0-11 |
40 |
43.0 |
93.5 |
Memuaskan |
12-24 |
47 |
50.5 |
|
Baik |
25-36 |
5 |
5.4 |
6.5 |
Cemerlang |
37-50 |
1 |
1.1 |
Daripada jadual 8, didapati bahawa 40
orang responden atau 43% dapat menghasilkan lembaran kerja yang bertahap kurang memuaskan,
47 orang guru pelatih atau 50.5% pula hanya dapat menghasilkan lembaran kerja ditahap
memuaskan, 5 orang guru pelatih pula atau 5.4% dapat menghasilkannya dengan baik dan
selebihnya iaitu 1 orang atau 1.1% menghasilkan lembaran kerja ditahap yang cemerlang.
Sekiranya amalan kebiasaan digunakan iaitu markah yang kurang daripada 50 % dianggap gagal dan , markah 50 % dan lebih dianggap lulus di dapati bahawa 93.5 % responden gagal dan hanya 6.5 % lulus. Ini menunjukkan bahawa 92.4% responden berada ditahap yang rendah yang bermaksud mereka tidak dapat menghasilkan lembaran kerja yang baik dan sesuai untuk tajuk pengayaan. Selebihnya iaitu, hanya 7.6% yang dapat mengaplikasikan kefahaman tajuk pengayaan dengan baik.
Secara keseluruhannya daripada melihat data-data dalam Jadual 1 hingga 8 didapati bahawa, responden mempunyai kefahaman yang baik terhadap tajuk pemulihan dan pengayaan tetapi tidak dapat menghasilkan lembaran kerja yang memuaskan.
Secara keseluruhannya, tahap kefahaman responden terhadap tajuk pengayaan dan pemulihan samada diperingkat asas ataupun lanjutan adalah di dalam keadaan sederhana dan tinggi. Ini menunjukkan bahawa tahap kefahaman responden adalah teguh dan kukuh. Ia mungkin juga bermaksud penyampaian pengajaran teori daripada pensyarah kepada guru pelatih adalah berkesan.
Oleh itu, anggapan bahawa guru pelatih hanya mendapat pendedahan yang
minima berdasarkan kepada jam yang diperuntukkan untuk pengajaran teori adalah kurang
benar sama sekali kerana dapatan tinjauan ini menyatakan
bahawa kefahaman mereka di tahap yang
sederhana ataupun tinggi pada keseluruhannya.
Ini mungkin kerana selain daripada input yang diberikan oleh
pensyarah, guru pelatih juga diminta untuk mengkaji sendiri tajuk-tajuk KBSR tersebut. Adalah benar bahawa bimbingan yang dijalankan
semasa kolaborasi bersama rakan sebaya dan juga pensyarah menekankan satu pemahaman yang
lengkap terhadap sesuatu tajuk supaya tugasan
yang diberikan mendapat hasil yang bermutu tinggi.
Kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa pensyarah juga memainkan
peranan yang penting di dalam konteks kajian ini. Boleh
dikatakan keseluruhannya semua pensyarah matematik menjalankan tugas untuk mengajar tajuk
pemulihan dan pengayaan dengan baik dan berkesan.
Walaupun begitu, responden masih tidak boleh menaakul dan
mengaplikasikan teori pemulihan dan pengayaan. Ini
dapat di lihat daripada lembaran kerja yang dihasilkan.
Agak aneh juga jika kita lihat mereka tidak dapat menghasilkan kerja yang baik. Mungkin ini adalah kerana mereka tidak mempunyai
pengalaman yang mencukupi di sekolah semasa menjalani praktikum. Responden juga tidak
dapat menyediakan lembaran kerja yang seiring dengan keperluan murid yang perlu dipulihkan
ataupun dikayakan. Selain daripada itu,
faktor masa juga memberi sedikit rintangan yang mana mereka hanya diberikan 2 minggu untuk
menyediakan lembaran kerja pemulihan dan pengayaan tersebut. Bukan itu sahaja, pada masa yang sama, mereka juga
perlu membuat tugasan-tugasan lain bagi matapelajaran-matapelajaran yang lain selain
daripada matematik.
Masa pemberian tugasan lembaran kerja perlu dirancang agar diberi
pada masa yang sesuai.
Daripada dapatan kajian dan perbincangan, kita boleh buat beberapa
saranan yang boleh meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran khasnya bagi topik
pemulihan dan pengayaan. Antaranya adalah :
v Meneliti semua
kurikulum Pengajian Matematik, khususnya bagi kedua-dua tajuk pengayaan dan pemulihan. Ini
membolehkan pelatih lebih berpeluang mempelajari bukan hanya pengetahuan tetapi juga
strategi serta hands-on atau aplikasi tajuk tersebut untuk melengkapkan diri dalam
menghadapi masalah pengayaan dan pemulihan di sekolah nanti.
v Merangka semula
panduan KKB bagi semester 3 yang mementingkan aktiviti menghasilkan lembaran kerja yang
sesuai untuk tujuan aktiviti pengayaan dan pemulihan di sekolah kelak. Ini dapat memberi
kemahiran yang bertepatan dalam menghasilkan lembaran kerja serta aktiviti yang
bersesuaian.
v Membuat satu
ketetapan untuk guru pelatih menjalankan satu kajian semasa mereka keluar Praktikum di
Semester 4 nanti. Ini dapat memberi guru
pelatih pendedahan secara langsung terhadap aktiviti pemulihan dan pengayaan yang
dijalankan oleh sekolah.
v Sukatan
pengajaran-pembelajaran dalam topik pemulihan dan pengayaan perlu dikemaskinikan dengan
menyelitkan strategi-strategi terbaru yang penting untuk pengajaran-pembelajaran murid
yang bermasalah. Ini amat perlu agar guru pelatih tidak menghadapi masalah dalam
pengajaran murid yang bermasalah dan boleh terus mengaplikasikan strategi yang dipelajari
di maktab. Contoh strategi yang boleh
digunakan adalah Pembelajaran Secara Kontekstual yang mengajar mengikut konteks, minat dan
kecenderungan murid terhadap sesuatu bidang dalam kehidupan seharian mereka.
Kesimpulan
Kajian ini adalah terhad kepada guru pelatih Semester 3 di Maktab
Perguruan Teknik sahaja dan tidak boleh di generalisasikan kepada semua guru pelatih di
maktab-maktab seluruh Malaysia.
Berdasarkan hasil kajian di dapati bahawa responden mempunyai tahap
kefahaman yang baik terhadap tajuk pemulihan dan pengayaan tetapi tidak mempunyai
kemahiran yang mencukupi untuk menghasilkan lembaran kerja yang bersesuaian bagi tajuk
pemulihan dan pengayaan.
Oleh itu adalah penting bagi pensyarah dan pihak-pihak berkenaan
untuk memastikan bahawa pengajaran-pembelajaran tajuk pemulihan dan pengayaan yang perlu
menekankan bukan sahaja aspek teori tetapi juga aspek aplikasi agar dapat menyediakan guru
pelatih yang mempunyai ketrampilan dan juga kemahiran yang lengkap sebelum ke sekolah.
Penutup
Tajuk ini adalah sangat penting memandangkan masalah pembelajaran
yang dihadapi oleh pelajar di sekolah semakin meningkat.
Adalah penting untuk mengkaji dan melihat sejauhmana pengetahuan dan kemahiran guru
pelatih kita supaya dapat disesuaikan dengan keperluan sekolah masa kini. Tidak ketinggalan juga ialah kreativiti yang
merupakan salah satu aspek yang perlu dipertimbangkan setiap kali penyediaan aktiviti
pemulihan atau pengayaan. Justeru itu, tindakan susulan perlu dijalankan oleh guru pelatih
agar mereka keluar dengan penuh keyakinan untuk menghadapi cabaran pengajaran-pembelajaran
nanti.
Senarai Rujukan