PERSEPSI PELAJAR TERHADAP PENGAJARAN GURU PRINSIP AKAUN YANG BERKESAN 

 

 

 

Oleh:  Zubedah Hanam bte. Mohd. Thani,   Rusmina bte. Ismail dan  Faizah bte. Ghazali

 

ABSTRAK

 

Penyelidikan ini bertujuan untuk melihat persepsi pelajar terhadap pengajran guru Prinsip Akaun yang berkesan. Ciri-ciri pengajaran yang berkesan dikaji dari aspek personaliti, perlakuan pengajaran serta hubungan dan sikap guru terhadap pelajar. Responden dalam kajian ini terdiri daripada pelajar tingkatan 5 yang mengambil mata pelajaran Prinsip Akaun di sekolah sekitar Cheras dan Datuk Keramat. Soal selidik dihantar ke sekolah berkenaan dan data dianalisis menggunakan komputer.  Berdasarkan dapatan kajian ini beberapa cadangan dikemukakan bagi menghasilkan pengajaran guru yang berkesan.

 

 

PENGENALAN

 

Guru memainkan peranan yang penting dalam proses pendidikan, pengajaran dan pembelajaran. Guru yang mempunyai sahsiah yang baik boleh melaksanakan dengan berjaya pendidikan yang bersepadu berasaskan Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang dapat melahirkan rakyat Malaysia  berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai keyakinan diri serta memberi sokongan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara.

 

 

Guru ialah seorang “pengurus” kerana melaksanakan beberapa  fungsi pengurusan dalam bilik darjah dalam melaksanakan kurikulum . Proses pengajaran dan pembelajaran melibatkan interaksi guru dengan pelajar. Hasil perhubungan ini akan menentukan sama ada guru boleh mengajar dan pelajar bersedia belajar. Oleh itu keberkesanan pengajaran guru bergantung kepada bagaimana seseorang guru itu dapat menyesuaikan diri dan memahami masalah pembelajaran pelajar.

 

Menurut Abdullah Hj. Omar(1980)  sifat-sifat orang yang menjadi guru terbahagi kepada tiga golongan.

               

a)       Guru yang sebenar-benarnya guru dalam ertikata ia adalah berdedikasi, suka dan minat  pada pekerjaannya.

b)       Guru yang bukan guru dalam ertikata ia tidak berminat dengan profesionnya. Ia menjadi  guru secara kebetulan dan menunggu peluang untuk melompat ke pekerjaan lain.

c)       Guru yang kehilangan arah disebabkan kekecewaan dan masalah peribadi yang tidak dapat diatasinya. Kedudukan golongan ini adalah antara (a) dan (b). Ia boleh berubah untuk menjadi golongan (a) atau (b) jika dia mahu.

Proses pemgajaran adalah kompleks. Pengajaran yang menarik serta berkesan merupakan pengajaran yang boleh menghasilkan pembelajaran pelajar sebagaimana yang dikehendaki oleh masyarakat dan negara

 

 

 

PENYATAAN MASALAH

 

Seseorang pelajar itu akan berhadapan dengan guru bermula dari peringkat kanak-kanak hinggalah ia dewasa. Guru mengajar, membimbing, menegur, memuji, memujuk dan memarahi  pelajar-pelajarnya. Semua ini dilakukan oleh guru dalam masa berinteraksi dengan murid semasa menjalankan tugas pengajaranya dalam bilik darjah.

 

Para sarjana pendidikan berpendapat bahawa ciri-ciri personaliti guru seperti mudah dihubungi, riang, bertanggungjawab, jujur, bermoral dan sabar merupakan salah satu pemboleh ubah yang penting yang mempengaruhi proses pembelajaran-pengajaran. Ini boleh menyenangkan atau memberi masalah kepada guru dalam menjalankan tugasnya.

 

Adalah diharapkan dengan kajian ini akan menghasilkan penemuan yang memberi jawapan sejauh manakah faktor-faktor yang  dinyatakan benar dan bagaimana cara untuk mengatasi masalah ini.

 

TINJAUAN LITERATUR

 

J. Currie(1869) berpendapat kualiti perhubungan antara guru dan murid mempunyai kesan terhadap kesediaan murid mengambil bahagian dalam kelas. Ia berpendapat bahawa jika hubungan yang positif yang wujud antara guru dan murid akan membuat seseorang murid itu  berusaha dan bekerjasama dengan guru.

 

Kepada seseorang murid peranan utama seorang guru ialah mengajar. Selalunya murid memerlukan penerangan yang jelas dari guru., kenyataan yang jelas tentang masalah pembelajaran serta bimbingan ke arah penyelesaian masalah.

 

Sweeney(1982) berpendapat bahawa kepimpinan guru dalam bilik darjah mempunyai kesan yang positif terhadap hasil pembelajaran dari segi akademik, sikap dan tingkahlaku. Kajiannya mendedahkan tujuh faktor utama  yang mendorong kepada keberkesanan pengajaran seseorang guru iaitu berketerampilan, suasana pembelajaran yang tenteram, masa yang mencukupi, peralatan yang mencukupi, pengharagaan yang tinggi terhadap pelajar,pengesanan kemajuan pelajarnya dan penyeliaan pengajaran yang berkesan.

 

Menurut Hunter (1969) dalam bukunya Teach More Faster, pengajaran yang berkesan merupakan pengajaran yang boleh meningkatkan pembelajaran dalam diri pelajar. Pembelajaran yang efektif hanya boleh berlaku dalam suasana yang sihat serta bersemangat dan demokratik. Hasil pembelajaran ini akan mengubah tingkah laku murid akibat penerimaan pengetahuan atau kepercayaan baru. Perkembangan seseorang murid itu merangkumi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

 

Ryans(1959) dalam satu kajiannya  mendapati bahawa guru yang efektif ialah guru yang mempuyai sifat-sifat seperti adil, tanggungjawab, dinamik, terbuka, tegas, dedikasi, demokratik, pengetahuan yang mendalam dan perhubungan yang baik.

               

TUJUAN KAJIAN

Dapatan kajian menunjukkan banyak faktor yang mempengaruhi pembelajaran pelajar di sekolah. Terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi sikap seseorang pelajar iaitu persekitiran, guru dan pelajar itu sendiri. Mengikut Mayfield(1976) Tamir(1876) dan Case (1980) terdapat berbagai strategi pengajaran di bilik darjah yang boleh mempengaruhi sikap pelajar terhadap pembelajaran dan pencapaian mereka.

 

Mengikut Medley(1982) keberkesanan seseorang guru itu boleh diukur dari perlakuan murid dan bukanya guru. Oleh itu prestasi seseorang guru itu merujuk kepada perlakuannya semasa ia mengajar dalam kelas.

 

Penemuan Waller(1932) mendapati bahawa guru yang berkesan hendaklah mengekalkan  “jarak sosial” daripada murid-muridnya. Ini boleh dihasilkan dengan mengadakan berbagai aktiviti yang bercorak intelektual.

 

Oleh itu kajian ini dibuat bertujuan untuk mengenalpasti ciri-ciri yang sepatutnya dimiliki oleh seseorang guru Prinsip Akaun  dari aspek personaliti yang boleh menarik minat murid untuk belajar.

 

Kajian ini akan dijalankan  melalui pentadbiran soalselidik kepada 600 pelajar tingkatan 5 di 8 buah sekolah menengah di sekitar  Cheras dan Datuk Keramat.

 

 

SOALAN KAJIAN

1.        Sejauh manakah pelajar berminat pada mata pelajaran Prinsip Akaun?

2.        Mengapakah pelajar Prinsip Akaun menghadiri kelas tuisyen?

3.        Mengapakah pelajar Prinsip Akaun ponteng kelas?

4.        Apakah persepsi pelajar Prinsip Akaun tentang pesonaliti guru-guru Prinsip Akaun yang berkesan?

5.        Apakah bentuk hubungan antara guru dengan pelajar yang mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran?

6.        Apakah persepsi pelajar Prinsip Akaun tentang sifat sahsiah guru Prinsip Akaun yang berkesan?

 

 

OBJEKTIF KAJIAN

Objektif kajian ialah untuk meninjau persepsi pelajar terhadap ciri-ciri pengajaran guru Prinsip Akaun  yang berkesan di sekolah menengah

Selain daripada itu kajian ini juga diharap dapat mengenal pasti:

 

1)       Ciri-ciri  seorang guru Prinsip Akaun  dari aspek personaliti yang boleh menarik minat pelajar untuk belajar.

2)       Ciri-ciri guru Prinsip Akaun yang berkesan sebelum memulakan pengajaran

3)       Ciri-ciri  guru Prinsip Akaun yang berkesan semasa pengajaran.

4)       Ciri-ciri guru Prinsip Akaun yang berkesan di akhir pengajaran

5)       Bentuk perhubungan antara guru dengan  pelajar yang mempengaruhi keberkesanan proses pengajaran dan pembelajaran.

6)       Sifat sahsiah guru yang mempengaruhi minat murid untuk belajar.

 

SIGNIFIKAN KAJIAN

Adalah diharapkan kajian ini dapat membantu pihak yang berkenaan mempertingkatkan tahap pencapaian pelajar-pelajar dalam mata pelajaran Prinsip Akaun . Kajian ini mengenal pasti ciri-ciri yang perlu ada pada seseorang guru Prinsip Akaun supaya pelajar berminat untuk terus belajar.

Kajian ini akan membantu pelajar, guru dan pentadbir sekolah dalam menangani masalah pelajar yang lemah dalam mata pelajaran Prinsip Akaun.

 

BATASAN KAJIAN

Kajian ini terhad kepada persepsi pelajar terhadap pengajaran guru Prinsip Akaun sahaja.  Skop kajian terbatas kepada sampel yang mewakili populasi yang kecil sahaja.  Dapatan kajian tidak dapat diinferenskan kepada keseluruhan pelajar di Malaysia.

 

ISTILAH

Berikut adalah istilah yang digunakan  untuh memudahkan membaca dan memahami kajian ini.

 

  1. Persepsi

Didefinisikan persepsi sebagai  penanggapan,pencerapan atau sebagai satu cara untuk melahirkan tanggapan dan pengalaman.

  1. Prinsip Akaun

Merujuk kepada simpan kira dan merupakan elemen dalam perakaunan yang diajar kepada pelajar-pelajar tingkatan 4 dan 5 disekolah menengah

  1. Pelajar

Merujuk kepada pelajar-pelajr tingkatan 5 yang merupakan responden dalam soal selidik.

  1. Keberkesanan

Merujuk kepada  perubahan tingkah laku pelajar atau kemajuan   hasil daripada pengajaran guru.

 

 

METODOLOGI  KAJIAN

Kajian ini bertujuan menilai dan meninjau ciri-ciri yang berkesan terhadap pembelajaran  pelajar yang harus ada pada seseorang guru Prinsip Akaun. Empat aspek rekabentuk kajian terdiri daripada personaliti guru, perlakuan pengajaran guru sebelum , semasa dan selepas, hubungan pelajar dengan guru dan sikap sahsiah guru.

 

SAMPEL KAJIAN

Dalam pemilihan sampel, responden terdiri daripada murid-murid di sekolah kawasan Cheras dan Datuk Keramat. Rasionalnya sekolah ini dipilih kerana sekolah ini ialah sebuah sekolah harian dan dapat membekalkan sampel yang sahih kerana terdiri daripada berbagai peringkat kebolehan pelajar. Sebanyak 8 buah sekolah dan 600 responden telah dipilih dari Tingkatan Lima. Hanya 452 responden yang memulangkan soal selidik  ini.

 

 

INSTRUMEN KAJIAN

Kajian ini menggunakan instrumen yang berbentuk soalselidik yang mengandungi dua bahagian iaitu:

1)       Bahagian A untuk biodata pelajar.

2)       Bahagian B merupakan penilaian pelajar terhadap ciri-ciri keberkesanan pengajaran guru dari aspek personaliti, perlakuan pengajaran, perhubungan guru-pelajar dan sahsiah guru.

Jawapan untuk soal selidik berdasarkan kepada sekala berikut:

i)                     Amat Tidak Bersetuju (ATS)

ii)                   Tidak setuju (TS)

iii)                  Setuju (S)

iv)                 Amat Setuju (AS)

 

Borang soal selidik ini diedarkan kepada murid-murid di sekolah yang berkenaan melalui guru-guru pelatih yang menjalankan praktikum di sekolah tersebut.

 

PENGANALISAAN DATA

Data-data dianalisiskan dengan bantuan komputer. Analisis kekerapan dan peratusan setiap pemboleh ubah diperoleh dibentangkan dalam bentuk jadual.

 

4.1 .  Latar Belakang Sampel

 

Bahagian A soal selidik dikhususkan kepada biodata pelajar dan minat terhadap mata pelajaran Prinsip Akaun.

 

Jadual 1                Kekerapan dan Peratus Responden mengikut jantina

 

Jantina

Bilangan responden

Peratusan (%)

Lelaki

153

33.8

Perempuan

299

66.2

Jumlah

452

100%

 

 

Berdasarkan Jadual 1 di atas bilangan  responden lelaki seramai 153 orang atau 34% dan perempuan 299 orang atau 66%.

 

Jadual 2                  Kekerapan dan peratusan responden yang berminat mata pelajaran Prinsip Akaun.

 

Minat

Bilangan responden

Peratus(%)

Berminat

393

86.9

Tidak berminat

59

13.1

Jumlah

452

100

 

Berdasarkan Jadual 2 seramai 393 orang atau 87% berminat belajar mata pelajaran Prinsip Akaun manakala 13% tidak berminat.

 

Jadual 3                Kekerapan responden yang pergi tuisyen Prinsip Akaun

 

Tuisyen

Bilangan responden

Peratus(%)

Pergi

220

48.7

Tidak pergi

232

51.3

Jumlah

452

100

 

Dari Jadual 3 didapati bahawa seramai 220 atau 49% menghadiri kelas tuisyen dan 232 atau 51% tidak pergi kelas tuisyen.

 

Jadual 4                Kekerapan sebab responden menghadiri kelas tuisyen

 

Sebab-sebab menghadiri tuisyen

Bilangan responden

Peratus(%)

Pengajaran guru di sekolah tidak jelas

168

76.4

Pengajaran guru di sekolah tidak menarik

26

5.8

Ikut rakan sebaya

26

5.8

Jumlah

452

100

 

Berdasarkan Jadual 4, lebih 75% responden menyatakan pengajaran guru tidak jelas menjadi penyebab mereka  menghadiri kelas tuisyen.

 

Jadual 5                Kekerapan responden yang ponteng kelas

 

Ponteng kelas

Bilangan responden

Peratus(%)

Ya

35

7.7

Tidak

417

92.3

Jumlah

452

100

 

Berdasarkan Jadual 5, hanya 35 responden atau 8% yang ponteng kelas dan 417 responden atau 92% yang tidak ponteng kelas

 

Jadual 6                Kekerapan sebab responden ponteng kelas

 

Sebab Ponteng kelas

Bilangan responden

Peratus(%)

Guru

26

75

Mata pelajaran

9

25

Jumlah

35

100

 

Berdasarkan Jadual 6,  75% daripada responden yang ponteng kelas disebabkan oleh guru yang mengajar mata pelajaran tersebut.

 

4.1             Personaliti guru

 

Dalam Bahagian B soal selidik soalan 1 hingga 14 dikhususkan kepada ciri-ciri personaliti guru yang memberi kesan kepada pengajaran.

 

Jadual 7        Ciri-ciri seorang guru yang diminati oleh pelajar

 

 

Ciri-ciri guru

Tidak setuju

Setuju

1

Berpakaian kemas

3.5% (16)

96.5% (436)

2

Cergas

12.6% (57)

87.4% (395)

3

Menepati masa

11.1% (50)

88.9% (402)

4

Ceria

10.9% (49)

89.1% (403)

5

Peramah

8.4% (38)

91.6% (414)

6

Mesra

12.8% (58)

87.2% (394)

7

Berjenaka

21.5% (97)

78.5% (355)

8

Garang

73.0% (330)

27.0% (122)

9

Penyayang

18.8% (85)

81.2% (376)

10

Perihatin

13.1% (59)

86.9% (393)

11

Penyabar

9.3% (42)

90.7% (410)

12

Rajin

9.3% (42)

90.7% (410)

13

Menghormati

9.7% (44)

90.3% (408)

14

Tegas

20.3% (92)

79.7% (360)

Nota:         Angka-angka dalam kurungan menunjukkan kekerapan

 

Daripada Jadual 7  didapati lebih 85% responden menyatakan guru Prinsip Akaun yang berkesan adalah guru yang berpakaian kemas dan menepati masa, ceria peramah dan  mesra. Seramai 330 orang responden atau 73% tidak berminat guru Prinsip Akaun yang garang dan 27% bersetuju bahawa guru mestilah garang dalam kelas. Meski pun demikian hanya 80% bersetuju bahawa seseorang guru itu mestilah berpersonaliti tegas.

 

4.3.  Ciri-ciri seorang guru Prinsip Akaun  sebelum memulakan pengajaran.

 

Jadual 8         Ciri-ciri guru sebelum memulakan pengajaran

 

 

Ciri-ciri

Setuju

Tidak setuju

1

Guru perlu mempunyai  pengetahuan yang mendalam terhadap isi pelajaran

99.6% (450)

0.4%

(2)

2

Guru meluangkan masa untuk berbincang menyelesaikan sesuatu masalah

96.0%

((434)

4.0%

(18)

3

Guru perlu mengetahui tahap kemampuan pelajar

97.0%

(440)

3.0%

(12)

4

Guru perlu mengetahui tahap kemahiran pelajar

96.0%

(435)

4.0%

(17)

5

Guru mesti mempunyai fikiran dan pandangan terbuka

95.0%

(430)

5.0%

(22)

 

 

Berdasarkan Jadual 8,  lebih dari 95% responden berpendapat seseorang guru Prinsip Akaun mesti mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang isi pelajaran, mengetahui tahap kemahiran dan kemampuan pelajar serta mempunyai pandangan terbuka dan dapat meluangkan masa menyelesaikan sesuatu masalah sebelum memulakan pengajaran.

 

4.4      Ciri-ciri seorang guru Prinsip Akaun semasa pengajaran

 

Jadual 9        Ciri-ciri seorang guru semasa pengajaran

 

 

Ciri-ciri

TidakSetuju

Setuju

1

Suara guru mestilah jelas dan boleh didengar oleh pelajar

1.8%

(8)

98.2% (444)

2

Guru boleh menghidupkan suasana

pengajaran supaya pelajar tidak bosan

5.0%

(23)

95.5% (429)

3

Bahasa yang mudah untuk difahami

3.7%

(17)

96.3% (435)

4

Guru hendaklah melibatkan pelajar dengan aktif

9.5%

(43)

90.5% (409)

5

Guru perlu mempelbagaikan kaedah pengajaran

6.0%

(27)

94.0% (425)

6

Guru hendaklah mengaitkan isi pelajaran dengan pengetahuan dan pengalaman pelajar

10.2%

(46)

89.8% (406)

7

Guru perlu memberi bimbingan kepada pelajar yang tidak faham

1.6%

(7)

98.4% (445)

8

Guru perlu mempelbagai tugasan atau aktiviti supaya pembelajaran menyeronokkan

14.4%

(65)

85.6% (387)

9

Guru hendaklah merancang pengajarannya.

2.5%

(11)

93.5% (441)

10

Guru hendaklah selalu memberi galakan

4.2%

(19)

95.8% (433)

11

Guru hendaklah memberi ransangan kepada pelajar

5.3%

(24)

94.7% (428)

12

Guru mesti menggunakan alat bantu mengajar.

20.5%

(93)

79.5% (359)

 

Daripada Jadual 9, didapati lebih dari 95% responden menyatakan suara guru mestilah jelas serta dapat menghidupkan suasana pengajaran yang tidak membosankan.  Sembilan puluh empat peratus daripada responden menghendaki guru mempelbagaikan kaedah pengajaran. Di samping itu lebih dari 95% guru perlu memberi bimbingan serta memberi galakan kepada pelajar.

 

4.5       Ciri-ciri guru Prinsip Akaun di akhir pengajaran

 

Jadual 10                Ciri-ciri seorang guru di akhir pengajaran

 

 

Cir-ciri

Tidak setuju

Setuju

1

Guru memeriksa dan menanda latihan yang diberikan kepada  pelajar

8.0%

(36)

92.0%

(416)

2

Guru membuat rumusan dan kesimpulan terhadap apa yang diajar

7.0%

(32)

93.0%

(420)

3

Pengajaran yang disampaikan dapat menimbulkan minat pelajar

6.4%

(29)

92.6%

(423)

4

Guru mesti menjawab soalan pelajar dan memberi jawapan yang memuaskan.

3.1%

(14)

96.9%

(438)

 

Berdasarkan Jadual 10, lebih dari 90% daripada responden berpendapat bahawa guru mesti memeriksa latihan pelajar , merumuskan apa yang diajar dan menjawab soalan pelajar dengan memuaskan supaya pengajaran dapat menimbulkan minat pelajar untuk belajar.

 

4.6          Hubungan guru dengan pelajar

 

Jadual 11                Ciri-ciri hubungan guru dengan pelajar

 

 

Ciri-ciri

Tidak setuju

Setuju

1

Guru memberikan keyakinan dan harapan kepada pelajar untuk terus berjaya

4.7%

(21)

95.3%

(431)

2

Guru memberikan dorongan dan galakan kepada pelajar supaya berusaha dengan gigih

4.7%

(21)

95.3%

(431)

3

Guru menggalakkan persaingan yang positif di kalangan pelajar

8.6%

(39)

91.4%

(413)

4

Guru menghargai pendapat dan pandangan pelajar

4.5%

(20)

95.5%

(432)

5

Guru tidak mengancam untuk mendenda pelajar

19%

(86)

81%

(366)

 

Dalam hubungan guru dengan pelajar adalah didapati 96% atau 432 responden mendapati guru seharusnya menghargai pendapat dan pandangan pelajar, sementara 81% meminati guru tidak mengancam untuk mendakwa pelajar.

 

4.7     Sikap guru (sifat sahsiah)

 

Jadual 12                Ciri-ciri sikap dan sahsiah guru

 

 

Ciri-ciri

Tidak setuju

Setuju

1

Guru perlu bersikap adil dan timbang rasa

1.3%

(6)

98.7%

(446)

2

Guru tidak seharusnya berleter atau marah-marah

11.3%

(51)

88.7%

(401)

3

Guru tidak seharusnya mencari kesalahan pelajar

34.1%

(154)

65.9%

(298)

4

Guru tidak  seharusnya menyindir atau memperkecilkan pelajar

6%

(27)

94%

(425)

5

Guru memberi pujian untuk jawapan yang betul

10.4%

(47)

89.6%

(405)

6

Guru tidak membezakan pelajar dalam kelas

5.7%

(26)

94.3%

(426)

7

Guru mestilah bersikap adil terhadap setiap orang pelajar

1.8%

(8)

98.2%

(444)

8

Guru mestilah bertimbang rasa dengan menunjukkan simpati di atas kelemahan pelajar

8.6%

(39)

91.4%

(413)

 

Daripada Jadual 12, didapati lebih 95% responden bersetuju bahawa sesorang guru itu perlu bersikap adil terhadap setiap pelajar dan lebih 90% berpendapat guru mestilah tidak membezakan pelajar dalam kelas dan guru tidak seharus menyindir atau memperkecilkan pelajar.

 

RUMUSAN DAN CADANGAN

 

Dari aspek personaliti, dapatan yang telah dianalisis menunjukkan responden menghendaki ciri-ciri personaliti  guru yang berpakaian kemas, peramah,penyabar, rajin, perihatin , menghormati murid dan yang  paling tidak diminati oleh pelajar adalah guru yang garang.

 

Dari aspek perlakuan pengajaran guru yang berkesan sebelum memulakan pengajaran ialah di mana hampir semua  responden  mahukan guru yang mempunyai pengetahuan mendalam terhadap isi pelajaran supaya guru dapat memberi penerangan dengan jelas dan mudah difahami murid. Bagi masalah kaedah pengajaran yang sesuai guru mestilah tahu akan tahap kemampuan dan kemahiran pelajar-pelajarnya. Ramai responden yang setuju bahawa guru perlu meluangkan masa dan berbincang untuk menyelesaikan sesuatu masalah dari latihan yang diberi oleh guru sebagai latihan di rumah. Guru mestilah memastikan bahawa murid-muridnya telah mencuba latihan itu di rumah dan sama-sama menyelesaikan masalah itu daripada bergantung sepenuhnya kepada jawapan guru

 

Semasa pengajaran seorang guru Prinsip Akaun yang berkesan seharusnya mempunyai suara yang jelas yang boleh didengar oleh setiap pelajar dengan menggunakan bahasa yang mudah difahami. Guru juga perlu merancang pengajarannya dengan mempelbagaikan kaedah pengajarannya. Guru yang mengajar dengan kaedah pengajaran yang menarik dengan menggunakan alat bantuan mengajar akan membuat pelajar seronok untuk belajar.

 

Ciri pengajaran guru yang berkesan pada akhir pengajaran pula ialah pengajaran yang disampaikan dapat menimbulkan minat pelajar. Seseorang yang berminat dalam perkara yang dipelajarinya akan menunjukkan  pencapaian yang tinggi. Di akhir pengajaran guru  mestilah membuat rumusan  dan kesimpulan terhadap apa yang telah diajar. Disamping itu guru juga dikehendaki menjawab soalan pelajar dan memberi jawapan yang memuaskan.

 

Dalam hubungan guru dengan pelajar, guru sepatutnya memberi dorongan dan galakkan kepada pelajar supaya berusaha dengan gigih. Disamping itu juga guru digalakkan memberi persaingan yang positif di antara pelajar dan menerima pendapat dan pandangan pelajar dan tidak mendakwa pelajar dengan mendenda.

 

Penemuan dari kajian ini tentang sifat sahsiah guru pula mendapati responden memerlukan guru bersifat adil terhadap setiap pelajar dengan tidak membezakan pelajar dan bertimbangrasa dengan menunujukkan simpati di atas kelemahan pelajarnya. Guru juga tidak seharusnya mencari kesalahan pelajar dan menyindir atau memperkecilkan pelajarnya. Disamping itu juga guru harus memberi pujian kepada pelajar yang beri jawapan yang betul sebagai motivasi untuk pelajar minat belajar. Ramai juga pelajar yang tidak suka guru yang suka berleter atau marah-marah tanpa sebab. Guru yang mempunyai sikap yang positif akan memberi kesan terhadap pelajarnya.

 

Secara keseluruhannya seseorang guru yang baik adalah yang dapat menguasai isi kandungan pelajaran dengan baik. Apabila seseorang guru mempunyai pengetahuan yang mendalam tentang isi pelajaran,  beliau akan lebih berkeyakinan semasa pengajaran dan dapat menyampaikannya dengan baik. Persediaan yang rapi sebelum memulakan pengajaran juga merupakan satu faktor yang penting yang dapat mempengaruhi kualiti pengajaran guru.

 

Aspek pengurusan masa merupakan satu lagi aspek penting yang perlu diberi perhatian. Guru hendaklah sentiasa menepati masa. Guru perlu peruntukkan sedikit masa untuk sesi perbincangan, tidak kira sama ada untuk membincangkan masalah yang timbul dari kerja rumah yang diberikan atau pun masalah yang ujud semasa sesi pengajaran pembelajaran dalam kelas.

 

Pengajaran guru akan menjadi lebih berkesan dan dapat menarik perhatian jika suara jelas dan tegas, sentiasa cergas dan ceria. Guru juga perlu tegas dengan pelajar tetapi bukannya garang. Cara guru berpakaian juga hendaklah kemas dan sesuai dengan personaliti seorang pendidik.

 

Seseorang guru tidak seharusnya membezakan pelajar di dalam kelas. Guru mestilah bersikap adil dan bertimbangrasa terhadap setiap pelajar dalam semua perkara. Guru seharusnya jangan suka menyindir atau memperkecilkan kebolehan pelajar, sentiasa mencari kesalahan pelajar dan suka berleter kerana semua ini akan membuatkan pelajar bosan dan membenci guru.

 

Guru perlu menyediakan pelbagai peluang untuk mengembangkan potensi individu pelajarnya. Perbezaan kebolehan individu hendaklah diambilkira dalam pengajaran guru bagi memenuhi keperluan yang berbeza dari segi minat. Guru perlu mempelbagaikan usaha bagi menarik minat pelajar.

 

 

Guru perlu menjalinkan hubungan yang baik dengan pelajar. Perhubungan yang baik boleh mewujudkan persefahaman, humur kemesraan dan perkembangan sahsiah yang sihat. Apabila perhubungan ini wujud maka pengajaran dan pembelajaran akan berjalan dengan lancar.

 

 

Daripada kajian ini beberapa rumusan dihasilkan terhadap ciri-ciri guru Prinsip Akaun yang berkesan yang dilihat dari aspek personaliti, perlakuan pengajaran, hubungan serta sikap guru terhadap pelajar. Dapatan ini bukanlah mutamad, walaubagaimanapun ia boleh dijadikan sebagai bahan rujukan oleh guru-guru yang mengajar mata pelajaran Prinsip Akaun dan juga mereka yang memerlukan maklumat tambahan sebagai bahan kajian. Diharapkan dapatan ini boleh digunakan untuk memperbaiki sistem pengajaran  dan pembalajaran di sekolah-sekolah.

 

RUJUKAN

1.        Paul R. Burden, David  M. Byrd. Methods For Effective Teaching (1994) Allyn and Bacon.

 

2.        Lorin W. Anderson, The Effective Teacher (1989), McGraw Hill Inc.

 

3.        David D. Dill And Associates, What Teachers Need To Know, Jossey – Bass Inc.

 

4.        Robiah Sidin dan Hassan Langgulung , Ke arah Pembentukan Guru-guru Yang Kreatif, Jabatan Pendididkan UKM

 

5.        Hussein Mahmood, Kepimpinan dan Keberkesanan Sekolah, Dewan Bahasa Dan Pustaka.

 

6.        Mohd. Daud Hamzah, Dorongan Dan Pembelajaran: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

 

7.        George J.M (1973) Psychology For Effective Teaching (3rd Edidtion) Holt, Rinehart & Winston, Inc.

 

8.        Medley D.M. (1982), Teacher Effectiveness, Encyclopedia Of Educational Reseach, 5th ed. The Free Press.

 

9.        Getzels,J.W and Jackson P.W.(1963), The Teacher’s Personality And Characteristics; In handbook of Research & Teaching: Chicago Rand McNolly.