Keberkesanan Komponen Aktiviti Kokurikulum (AK) Dalam Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) Di Maktab Perguruan Sekitar Kuala Lumpur : Suatu Kajian Awal

Oleh :
HJ.  MOHAMMAD BIN HJ. IKHSAN

ABSTRAK

    Kajian kes ini bertujuan untuk meninjau keberkesanan komponen aktiviti kokurikulum dalam Kursus Diploma Perguruan Malaysia (KDPM) di maktab-maktab perguruan sekitar Kuala Lumpur.  Komponen aktiviti kokurikulum (AK)  dalam Kursus Diploma Perguruan Malaysia terdiri daripada empat bidang iaitu Kecergasan Diri, Pengurusan Kokurikulum, Sukan, dan Unit Beruniform.  Pelajar Semester Lima KDPM Maktab Perguruan Teknik dan pensyarah jurulatih dari Maktab Perguruan Teknik, Maktab Perguruan Ilmu Khas, Institut Bahasa Melayu Malaysia dan Maktab Perguruan Seri Kota telah menjadi responden kajian ini. Kaedah yang digunakan dalam kajian ini adalah berdasarkan Model CIPP (Context, Input, Process and Product).  Instrumen dalam kajian ini ialah borang soal selidik.  Soal selidik kajian telah ditadbir pada 7 hingga 22 Oktober 1998.  Dapatan utama kajian ini ialah persepsi pelajar terhadap aspek nilai dalam AK KDPM sungguh berkesan sekali manakala aspek pengetahuan dalam AK KDPM sungguh rendah sekali keberkesanannya.
 

PENGENALAN

Latar Belakang
Program Kursus Diploma Pendidikan Malaysia (KDPM) dilaksanakan mulai 18 Ogos 1996. Ia menggantikan  Kursus Perguruan Asas (Pendidikan Sekolah Rendah) bagi memenuhi dua matlamat iaitu, pertamanya, memartabatkan profesion keguruan dengan memberi peluang lulusannya memiliki Diploma Perguruan yang melayakkan mereka menerima gaji permulaan dalam Katagori   Pengawai Perkhidmatan Pendidikan  Bukan Siswazah (PPPBS) DG6A dan  selanjutnya menjadikan mereka layak melanjutkan pelajaran ke tahun kedua program ijazah pertama. Matlamat keduanya ialah untuk meningkatkan lagi tahap profesionalisme lulusannya dengan ilmu pengetahuan, ketrampilan iktisas dan pembinaan sahsiah yang diharapkan dapat meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah rendah sebagai usaha menyediakan generasi muda negara menghadapi cabaran Wawasan 2020 (Bahagian Pendidikan Jan. 1996).

Satu daripada rasional KDPM diperkenalkan ialah memperkukuhkan aspek ‘bagaimana’ dalam pengajaran dan pembelajaran merentasi bidang pengkhususan. Aspek ini merangkumi ‘pedagogical content knowledge’ dan ‘knowledge and skills across curriculum’ bagi tujuan meningkatkan lagi kecekapan guru mengurus pembelajaran.

Kurikulum KDPM dibina berasaskan kepercayaan bahawa guru yang berkualiti dan memiliki ciri-ciri guru yang unggul mampu melahirkan generasi terpelajar bagi merealisasikan Wawasan 2020. Dengan keyakinan tersebut, kurikulum KDPM dibentuk dengan matlamat untuk menghasilkan guru yang memiliki ketrampilan peribadi, bertanggungjawab terhadap perkembangan kendiri dan mempunyai akauntabiliti yang tinggi terhadap pelajar dan masyarakat serta mempunyai semangat patriotik.

 Pada masa yang sama KDPM mengekalkan matlamat yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan Negara (FPN) dan Falsafah Pendidikan Guru (FPG) sebagai teras penggubalan kurikulumnya. Berdasarkan FPN dan FPG yang menggariskan kualiti peribadi, profesional, dan sosial yang perlu dimiliki oleh individu guru yang berkesan, Model Konseptual Pendidikan Guru menekankan kepentingan tiga aspek asas iaitu pengetahuan, kemahiran dan nilai yang disepadukan merentasi semua disiplin mata pelajaran dan aktiviti yang dirancangkan.

Model ini menekankan akauntabiliti guru kepada tiga dimensi utama iaitu ketuhanan, kemasyarakatan, dan kendiri (3K). Citra ketiga-tiga dimensi ini dijelmakan dalam program berikut;

Ketuhanan  :
.....dengan menganjurkan peningkatan ilmu, penghayatan dan amalan individu sebagai insan yang percaya dan patuh kepada ajaran agama.

Kemasyarakatan :
…..menekankan guru sebagai pendidik, pemimpin dan agen perubahan.

Kendiri  :
…..menekankan pembinaan daya ketahanan, patriotisme, pemupukan budaya ilmu, pembentukan sahsiah dan pekerti mulia.

       Selaras dengan matlamat FPN dan FPG, model ini menekankan matlamat perkembangan potensi individu guru secara seimbang dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. Hasrat ini dapat dicapai menerusi pelaksanaan kurikulum pendidikan guru yang menyepadukan aspek-aspek pengetahuan, kemahiran ikhtisas dan amalan nilai-nilai keguruan (BPG, Jan. 1996).
 

Berdasarkan Model Konseptual Pendidikan Guru, kurikulum Aktiviti Kokurikulum KDPM digubal dengan mengambil kira usaha menterjemahkan ketiga-tiga aspek iaitu pengetahuan, ketrampilan dan nilai secara bersepadu seperti yang berikut:

Pengetahuan:
Ia mengandungi pengetahuan tentang perkembangan dan kepentingan aktiviti kokurikulum dalam pendidikan.

Ketrampilan  :
Ia merangkumi kemahiran menggunakan aktiviti kokurikulum dalam membantu meningkatkan kualiti dan mutu kerja.

Nilai :
Ia merujuk kepada pembinaan dalaman serta penerapan, penghayatan dan amalan nilai-nilai murni yang menampilkan sahsiah dan pelakuan guru yang penyayang, berpekerti mulia, berdaya tahan, patriotik, inovatif, kreatif, dan taat kepada etika profesion keguruan (BPG, Jan. 1996).
 

Matlamat kurikulum  dan aktiviti Kokurikulum KDPM adalah untuk mengimbangkan antara perkembangan intelek, rohani, emosi dan jasmani di kalangan guru pelatih dengan tujuan untuk melahirkan guru permulaan yang mempunyai pengetahuan, kemahiran,  pengalaman dan ketrampilan dalam aktiviti kokurikulum. Objektif kurikulum ini pula adalah seperti yang berikut:
 

a) Mengetahui kepentingan gaya hidup sihat dan penjagaan kesihatan serta berkeupayaan melaksanakan
    program kecergasan diri;
b) Mengetahui asas pengurusan serta mampu mengendalikan dan  mengelolakan aktiviti kokurikulum
    di maktab dan sekolah dengan berkesan;
c) Menguasai kemahiran asas beberapa permainan dan acara olahraga serta dapat mengurus dan
    mengelolakan pertandingan sukan dengan berkesandi sekolah.
Peruntukan masa bagi setiap bidang dan semester adalah seperti yang berikut:


Catatan: Pada Semester 1, 2, dan 4, 1 jam interaksi bagi setiap
minggu. Bagi Semester 3 dan 5, 2 jam interaksi bagi setiap minggu

Pernyataan Masalah

Pada masa data kajian ini diperoleh, pelajar KDPM Ambilan Ogos 1996 berada di semester Lima telah pun menduduki Ujian Bertulis dan pemarkahan amalinya juga telah diselaraskan dan disepadukan mengikut wajaran yang telah ditetapkan. Oleh kerana pelajar Semester 6 KDPM menjalani aktiviti praktikum sepenuhnya, maka semua pelajar ini dijangkakan telah lengkap menerima pakej aktiviti  kokurikulum masing-masing. Oleh yang demikian, masa untuk menjalankan kajian ini adalah amat sesuai untuk mendapatkan persepsi mereka tentang keberkesanan pelaksanaan komponen aktiviti kokurikulum yang telah dilaksanakan di maktab ini dan pada masa yang sama mengetahui tahap keyakinan dan kesediaan mereka untuk melaksanakan aktiviti kokurikulum semasa menjalani praktikum pada  Semeter 6 dan selanjutnya bertugas sebagai guru permulaan di sekolah kelak.

Pada masa ini terdapat keraguan tentang keberkesanan komponen  aktiviti kokurikulum dalam KDPM apabila timbul isu tentang perkara yang berikut:
 

  1.  Hasrat pendidikan guru adalah untuk melahirkan bukan sahaja guru bilik darjah, tetapi juga guru sekolah yang berkesan. Oleh yang demikian kurikulum yang disediakan untuk program pendidikan guru di maktab perguruan menekankan aspek  pengetahuan, ketrampilan, dan pembudayaan nilai profesional keguruan secara merentasi komponennya. Walau bagaimanapun, pelaksanaan kurikulum ini lebih menekankan penyediaan guru untuk menjadi guru bilik darjah berbanding dengan usaha untuk menjadikan mereka sebagai guru sekolah yang berkesan. Perkara ini lebih jelas apabila komponen aktiviti kokurikulum di maktab perguruan masih tertumpu kepada usaha menyediakan mereka untuk menjadi aktivis dalam bidang pilihannya berbanding dengan penyediaan mereka untuk menjadi pengurus aktiviti berkenaan apabila mereka menjalani praktikum dan   bertugas sebagai guru terlatih. Situasi ini lebih jelas apabila komponen aktiviti kokurikulum belum dijadikan satu daripada aspek yang perlu dinilai secara berkesan semasa mereka menjalani praktikum. Begitu juga   dengan bidang tugas guru selain daripada tugas pengurusan bilik darjah yang belum diberi tumpuan yang  bersungguh-sungguh dalam pelaksanaan program ini. Oleh yang demikian, aspek pengetahuan,   ketrampilan dan pengamalan nilai  profesionalisme keguruan yang berkaitan dengan pengurusan aktiviti kokurikulum dan pengurusan lain   selain daripada pengursan bilik darjah perlu diberi lebih tumpuan dalam pelaksanaan program pendidikan guru pada masa akan datang.
  2. Pada tahun 2000 Kementerian  Pendidikan bercadang untuk melaksanaan konsep sijil terbuka pada     peringkat SPM yang akan memberi tumpuan untuk menyediakan Sijil   Aktiviti Kokurikulum, selain daripada SPM. Cadangan ini memerlukan persediaan awal di peringkat maktab untuk menyediakan guru sekolah    rendah dan menengah yang bukan   sahaja aktif dalam aktiviti kokurikulum mereka semasa menjalani kursus perguruan di maktab, tetapi juga cekap dan berkesan untuk menguruskan perancangan, pelaksanaan dan penilaian aktiviti kokurikulum di sekolah sehingga semua muridnya dapat pengiktirafan yang cemerlang dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.


Soalan Kajian

Berdasarkan kajian keberkesanan yang menekankan pencapaian objektif sesuatu program setelah program dilaksanakan, aspek pengetahuan, kemahiran dan  penerapan nilai yang menjadi tumpuan kurikulum ini dan berdasarkan tahap    pelaksanaan program KDPM setakat ini di MPT, soalan kajian yang difikirkan sesuai ialah:

Sejauh manakah komponen pengetahuan aktiviti kokurikulum (AK) dan pelaksanaannya dalam KDPM dapat membimbing guru pelatih MPT untuk menguasai pengetahuan tentang aktiviti-aktiviti kokurikulum di maktab dan sekolah dengan berkesan?

  1. Sejauh manakah komponen kemahiran AK dan pelaksanaannya dalam KDPM dapat membimbing guru   pelatih   MPT untuk mengendalikan pengurusan kokurikulum di maktab dan sekolah dengan berkesan?
  2.  Sejauh manakah komponen AK dan pelaksanaannya dalam KDPM dapat membina perlakuanpositif di kalangan guru pelatih MPT?
  3. Sejauh manakah peluang yang diperolehi oleh guru pelatih untuk menguasai kemahiran kepimpinan, kepegawaian dan kejurulatihan semasa mengikuti AK di MPT?
  4. Apakah pengalaman guru pelatih KDPM tentang penglibatan mereka dalam AK di sekolah semasa menjalani praktikum?
  5. Apakah cadangan pensyarah yang menjadi jurulatih AK untuk meningkatkan lagi berkesanan AK di MPT sebagai persediaan untuk menghasilkan pengurus AK yang berkesan di sekolah?
  6. Apakah cadangan guru pelatih untuk meningkatkan keberkesanan AK di MPT sebagai persediaan mereka untuk menjadi pengurus AK yang berkesan di sekolah?
KAEDAH PENYELIDIKAN

Pendahuluan

Dalam bab ini pengkaji menghuraikan tentang tumpuan kajian, batasan kajian, rumpunan dan contohan kajian, pemboleh ubah kajian, ujian rintis, pengumpulan dan analisis data untuk memenuhi prosedur dan kaedah penyelidikan.
Tumpuan Kajian

Berdasarkan Model CIPP (Context, Input, Process dan Product) yang digunakan dalam penilaian keberkesanan program, kajian ini menumpukan kepada usaha menilai setakat manakah komponen dan pelaksanaan AK di maktab ini dapat  mencapai objektif yang telah dirancangkan iaitu menghasilkan guru permulaan yang mempunyai pengetahuan, kemahiran dan mengamalkan nilai profesionalisme keguruan berdasarkan persepsi guru pelatih, pensyarah jurulatih, markah penilaian AK, penyertaan mereka dalam AK semasa di MPT dan di sekolah ketika menjalani praktikum I, II dan III. Kajian ini juga memberi tumpuan kepada  cadangan pensyarah jurulatih dan guru pelatih berkenaan untuk meningkatkan lagi keberkesanan AK di maktab ini.

Guru pelatih semester lima KDPM dijadikan responden kerana mereka adalah kumpulan yang terlibat secara langsung sebagai penerima perkhidmatan dan   mengambil bahagian secara langsung dalam program ini. Begitu juga para  pensyarah jurulatih, mereka terlibat secara langsung sebagai jurulatih dan fasilitator dalam pelaksanaan AK. Oleh itu mereka mempunyai persepsi yang paling tepat tentang semua aspek pelaksanaan program ini. Persepsi yang tepat ini dapat memberi maklumat yang amat bermakna sebagai asas untuk menjawab soalan kajian yang dirancangkan.

Populasi dan Sampel Kajian

Semua pelajar Semester Lima KDPM MPT yang berjumlah 600 orang dan sejumlah lebih kurang 400 orang pensyarah jurulatih di MPT, MPIK, IBMM dan MPSK adalah menjadi rumpunan kajian ini. Sejumlah  218 guru pelatih telah   menjadi responden dan contohan kajian, manakala sejumlah 92 pensyarah jurulatih daripada keempat-empat maktab tersebut menjadi responden dan contohan kajian ini.
 

Soal selidik

Soal selidik kajian ini terdiri daripada dua jenis iaitu Soal selidik A (pelajar) dan Soal selidik B (Pensyarah Jurulatih). Soal selidik bagi guru pelatih terdiri daripada lapan soalan tertutup dan dua soalan  terbuka. Soalan tertutup digunakan untuk mendapatkan profil dan persepsi guru pelatih tentang keberkesanan AK di maktab ini; manakala soalan terbuka pula untuk mendapatkan cadangan mereka untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan AK di maktab perguruan.

Soal selidik B (Pensyarah Jurulatih) pula terdiri daripada 10 soalan tertutup bagi mendapatkan profil dan persepsi mereka tentang keberkesanan AK; manakala dua soalan terbuka pula digunakan untuk mengetahui masalah pelaksanaan AK dan mendapatkan cadangan mereka untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan AK di maktab perguruan.
 

Pembolehubah Kajian

Pada asasnya pemboleh ubah kajian terbahagai kepada tiga iaitu aspek pengetahuan, kemahiran dan pembudayaan nilai sebagaimana yang dinyatakan dalam  objektif kurikulum AK KDPM. Bagi setiap aspek atau pemboleh ubah berkenaan dijadikan asas untuk mendapatkan persepsi pelajar dan pensyarah penyelia tentang keberkesanan pelaksanaan kurikulum berkenaan dalam setiap bidang AK iaitu Kelab dan Persatuan, Sukan dan   Permainan, dan Unit Beruniform.

Kumpulan pemboleh ubah kedua ialah masalah yang dihadapi oleh pelajar dan pensyarah untuk mengikuti dan melaksanakan kurikulum AK di maktab perguruan; dan cadangan pelajar dan  pensyarah untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan kurikulum AK di maktab perguruan.
 

DAPATAN KAJIAN DAN PERBINCANGAN

Dapatan kajian dihuraikan untuk  menjawab soalan kajian secara berturutan dengan menggabungkan maklumat yang diperoleh melalui semua item yang terkandung dalam soal selidik, temu bual dan markah AK pelajar. Tahap keberkesanan bagi item adalah berdasarkan min item berkenaan; manakala tahap keberkesanan pemboleh ubah pula berasaskan purata min pemboleh ubah berkaitan. Min < 1.00 menunjukkan sesuatu item dan pemboleh ubah itu tidak berkesan; min 1.00 - 1.99 menunjukkan sesuatu item atau pemboleh ubah itu kurang berkesan; min 2.00- 2.99 menunjukkan sesuatu item atau pemboleh ubah itu berkesan; dan min > 3.00 menunjukkan sesuatu item atau pemboleh ubah itu sangat berkesan. Huraian tentang tahap keberkesanan komponen AK dalam KDPM adalah berdasarkan tahap min yang tersebut di atas.

Keberkesanan Komponen Pengetahuan Dalam AK KDPM Untuk Membimbing Pelajar Menguasai Pengetahuan Tentang Aktiviti-aktiviti Kokurikulum Di Maktab dan Sekolah


Jadual 1: Persepsi Pelajar Tentang Keberkesanan Aspek Pengetahuan Dalam AK KDPM

Persepsi Pelajar

Analisis tentang Jadual 1 menunjukkan pelajar beranggapan bahawa:

  1. Pengetahuan tentang Surat  Pekeliling dan Peraturan tentang pelaksanaan AK di sekolah, perkembangan AK di sekolah dan pemantauan pelaksanaan AK  di sekolah yang terkandung dalam kurikulum AK di maktab adalah kurang mencukupi berbanding dengan aspek sejarah UB,  pengelolaan AK dan perincian tugas AJK.
  2. Situasi ini menunjukkan bahawa  pelaksanaan AK di maktab, kurang menekankan tentang Surat Pekeli-ling dan Peraturan pelaksanaan AK di sekolah, perkembangan AK di sekolah dan proses pemantauan pelaksanaan AK di sekolah,   sedangkan ketiga-tiga aspek pengetahuan berkenaan adalah menjadi teras untuk menentukan kecemerlangan pelaksanaan AK di sekolah.
  3. Isi kandungan pengetahuan AK di maktab perguruan lebih  menekankan sejarah UB, penge-lolaan AK dan perincian tugas AJK AK disekolah berbanding dengan aspek dalam para (b). Dalam pada itu ketiga-tiga aspek pengetahuan ini tidak mencapai tahap yang  cemerlang kerana min bagi aspek berkenaan adalah kurang daripada 2.99.
  4. Pengetahuan tentang aspek lain seperti dalam Jadual 1 juga hanya berada pada tahap berkesan.

  5.  
Persepsi Pensyarah

Berdasarkan Jadual 2, tanggapan pelajar tentang kecukupan isi kandungan aspek pengetahuan dalam AK KDPM hampir sama dengan tanggapan pensyarah penyelia tentang kecukupan isi kandungan   pengetahuan dalam mata pelajaran AK, dengan min 2.66.

Persepsi pensyarah tentang aspek pengetahuan dalam AK KDPM menunjukkan tahap berkesan dengan min keseluruhannya 2.74. Daripada 15 aspek pengetahuan dalam AK KDPM, pensyarah sangat bersetuju tentang empat daripadanya. Aspek yang paling disetujui mereka ialah ‘Kecergasan Diri dalam AK dimasukkan dalam Pendidikan Jasmani dan Kesihatan (PJK)’ serta ‘mewajibkan PJK kepada semua pelajar’, dengan min masing-masing 2.97 dan 3.27. Aspek kedua yang sangat disetujui ialah aspek ‘Kecergasan Diri dapat mendorong amalan kesihatan yang positif di kalangan pelajar’, dengan min 3.11. Aspek ketiga yang sangat disetujui mereka ialah ‘kesesuaian Kecergasan Diri dalam AK’, dengan min 3.08. Aspek terakhir yang sangat disetujui mereka ialah ‘gabungkan masa interaksi teori dan amali dalam Temu bual’.

Pensyarah menyatakan tahap persetujuan yang paling rendah tentang dua aspek iaitu ‘pengetahuan tentang S/P mencukupi’ dan ‘masa untuk amali S/P mencukupi’ dengan min yang sama iaitu 2.44. Aspek lain tentang pengetahuan dalam AK mempunyai min antara 2.50 hingga 2.67.

Kecergasan Diri dam Mata Pelajaran Aktiviti Kokorikulum

     
  1. 74% daripada pensyarah bersetuju bahawa Kecergasan Diri dimasukkan sebagai sebahagian daripada mata pelajaran PJK dan 85.0% daripada mereka bersetuju supaya PJK diwajibkan kepada semua pelajar. Persetujuan ini juga merupakan sebahagain daripada cadangan pensyarah tentang aspek Kecergasan Diri dan PJK untuk meningkatkan keberkesanan AK dan PJK dalam KDPM.
  2. 78% daripada pensyarah bersetuju supaya interaksi teori dan amali digabungkan dalam mata pelajaran AK. Sebaliknya hanya 48.5 % daripada mereka menyatakan bahawa pengetahuan tentang S/P adalah mencukupi dan 47.3% pula menyatakan masa interaksi bagi S/P mencukupi. Pola persepsi ini menunjukkan pensyarah berpendapat bahawa Kecergasan Diri lebih sesuai dijadikan sebahagian daripada kandungan PJK dan dengan demikian isi kandungan dan masa interaksi teori dan amali bukan sahaja dapat ditambah, malahan digabungkan untuk meningkatkan keberkesanan pelaksanaan kedua-dua mata pelajaran berkenaan.
  3. Cadangan pensyarah di atas selaras dengan hanya 51.6% daripada mereka menyatakan masa yang diperuntukan bagi Temu bual pada masa ini mencukupi dan hanya 58.2% daripada mereka menyatakan masa interaksi Temu bual yang diamalkan pada masa ini  sesuai. Trenda persepsi ini menyokong cadangan awal mereka supaya Temu bual, terutamanya yang berkaitan dengan aspek S/P digabungkan dengan PJK dan PJK diwajibkan kepada semua pelajar.
  4. 75% daripada mereka juga bersetuju agar unsur-unsur Kecergasan Diri terdapat dalam aktiviti S/P dan UB yang diamalkan sekarang. Pendapat ini menunjukkan bahawa pensyarah menyedari S/P dan UB adalah       merupakan sebahagian daripada amali Kecergasan Diri. Oleh itu adalah wajar Kecergasan Diri secara teorinya disampaikan melalui PJK, manakala amalinya dilaksanakan  melalui mata pelajaran PJK, dan AK melalui bidang S/P dan UB seperti yang diamalkan sebelum program KDPM.
Kelab/Persatuan (K/P) dan Unit Beruniform (UB)
  1.  Hanya 49% daripada pensyarah   menyatakan bahawa pengetahuan   tentang K/P  mencukupi dan hanya 55.9% daripada mereka menyatakan bahawa masa yang diperuntukkan untuk amali K/P adalah mencukupi. Situasi ini menunjukkan bahawa  pengetahuan dan masa amali bagi K/P tidak dapat memberi kesan yang diharapkan untuk membimbing pelajar menjadi pengurus K/P di sekolah kelak.
  2. Bagi UB, 60% daripada pensyarah menyatakan pengetahuan tentangnya adalah mencukupi; manakala hanya 49.5% daripada mereka menyatakan masa yang diperuntukkan bagi amali UB mencukupi. Situasi ini  menggambarkan keperluan untuk menambah aspek pengetahuan dan masa amali bagi UB dalam AK KDPM pada masa akan datang.
Rumusan

Persepsi pelajar dan pensyarah tentang keberkesanan aspek pengetahuan dalam AK KDPM menunjukkan masih terdapat kekurangan dari segi isi kandungan pada keseluruhannya dan bersetuju supaya struktur dan strategi pelaksanaannya diperbaik untuk meningkatkan lagi keberkesanan AK di maktab sebagai persediaan mereka melaksanakan AK di sekolah dengan berkesan.

Pada keseluruhannya persepsi pelajar tentang aspek kemahiran/ketrampilan AK KDPM berkesan dengan min keseluruhannya 2.75 dan min antara 2.46 dan 3.05. Pelajar menganggap aspek ‘berkomunikasi secara lisan’, min 3.05; ‘kemahiran asas dalam UB’, min 3.00; dan ‘menguasai kemahiran asas dalam   S/P’, min 2.97, adalah merupakan aspek kemahiran yang sangat berkesan.  Sebaliknya mereka beranggapan aspek kemahiran ‘menguasai kemahiran kejurulatihan dalam K/P’, min 2.47; dan aspek kemahiran ‘menyimpan rekod              pengurusan AK’, min 2.46 sebagai aspek kemahiran yang paling kurang berkesan. Aspek kemahiran yang lain mempunyai min antara 2.50 hingga 2.96.

Kemahiran Pengurusan AK

Keberkesanan aspek kemahiran pengurusan AK, seperti dalam Jadual 2, menunjukkan bahawa pada keselu-ruhannya aspek ini berkesan dengan min keseluruhannya 2.64 dan minnya berada antara 2.46 dan 2.88. Antara enam aspek kemahiran pengurusan ini tiga daripada aspek berkenaan iaitu ‘mengendalikan mesyuarat’, ‘menyimpan rekod pengurusan’ dan ‘menyimpan rekod murid’ merupakan aspek yang kurang berkesan berbanding dengan tiga aspek kemahiran yang lain iaitu ‘menggunakan rekod untuk mengatasi kelemahan murid, ‘menggunakan masa secara optimum’ dan ‘kemahiran berkomunikasi lisan’. Situasi ini menggambarkan AK KDPM kurang menumpukan usaha untuk membimbing pelajar mengendalikan mesyuarat dan membina rekod yang sistematis bagi murid mereka dalam AK. Kemahiran membina rekod juga didapati lemah di kalangan pensyarah apabila majoriti SAK menyatakan masalah mendapatkan rekod yang terkini terutamanya rekod tentang kehadiran dan markah AK pelajar mereka tepat pada masa yang dikehendaki.


   Jadual 2: Persepsi Pelajar Tentang Keberkesanan Aspek Kemahiran Pengurusan Dalam AK KDPM

Kemahiran Perancangan AK

Seperti dalam Jadual 3, pelajar beranggapan telah menerima kemahiran peran-cangan AK yang disesuaikan dengan minat dan potensi murid mereka. Dapatan kajian ini berlawanan dengan dapatan kajian keberkesanan tentang KPS (PSR) yang dijalankan oleh BPG pada tahun 1991 dan 1992 yang mendapati bekas pelajar program berkenaan  lemah dalam perancangan AK, berdasarkan penilaian pentadbir sekolahnya. Walau bagaimanapun temu bual dengan 27 orang pelajar 5KDPM MPT mendapati mereka kurang menguasai kemahiran  perancangan AK di sekolah dan kurang diberi peluang untuk merancang AK semasa mereka menjalani Praktikum III yang lalu.


Jadual 3: Keberkesanan Aspek Kemahiran Perancangan Dalam AK KDPM

Kemahiran Pelaksanaan AK

Pada keseluruhannya, seperti dalam Jadual 4, pelajar menganggap AK KDPM  berkesan dalam menyediakan mereka  dengan kemahiran pelaksanaan AK dengan min keseluruhannya 2.79 dan   taburan minnya antara 2.57 dan 3.05.   Pelajar beranggapan aspek kemahiran  pelaksanaan dari segi ‘memberi tunjuk cara/membimbing murid’, ‘mengekalkan tahap disiplin’ dan ‘membimbing kepimpinan murid’ sebagai lebih berkesan berbanding dengan aspek ‘menyelia perjalanan AK’, ‘mengagih latihan kepimpinan di kalangan murid’ dan ‘mengenal pasti dan mengatasi masalah murid dalam AK’. Keadaan ini menunjukkan AK KDPM perlu lebih menekankan tentang kemahiran penyeliaan perjalanan AK di sekolah. Kelemahan pelajar dalam bidang ini selaras dengan kurangnya aspek pengetahuan tentang proses pemantauan AK.


Jadual 4: Persepsi Pelajar Tentang Keberkesanan Aspek Kemahiran Pelaksanaan AK Dalam KDPM

Keberkesanan Aspek Kemahiran AK Dalam Bidang K/P, S/P dan UB

Aspek kemahiran dalam AK KDPM untuk menyediakan pelajarnya menguasai 4K, berkesan  mengikut tanggapan pelajar, dengan purata min 2.68 bagi 4K dalam K/P; 2.75 bagi 4K dalam UB; dan 2.76 bagi 4K dalam S/P. Keberkesanan aspek kemahiran AK KDPM dalam hal ini hampir sama tahapnya. Perbezaan ketara hanya terdapat pada penguasaan kemahiran asas UB oleh pelajar yang minnya mencecah tahap sangat berkesan iaitu 3.00.

Pola min bagi setiap bidang AK menunjukkan AK KDPM lebih berkesan membimbing pelajar untuk menguasai kema-hiran asas dan kemahiran pengelolaan berbanding dengan kemahiran kepegawaian dan kemahiran kujurulatihan. Kemahiran kejurulatihan pula merupakan aspek kemahiran yang paling rendah tahap keberkesanannya; manakala kemahiran asas pula merupakan aspek kemahiran yang paling tinggi tahap keberkesanannya.

Pola persepsi di atas menunjukkan AK KDPM lebih berkesan membimbing pelajarnya untuk menguasai kemahiran asas dan kemahiran pengelolaan berbanding dengan kemahiran kepegawaian dan kemahiran kejurulatihan. Situasi ini kurang wajar kerana tempoh pengajian KDPM tiga tahun (6 semester), tambahan pula fungsi utama guru AK di sekolah bukan sahaja untuk mengelola AK sahaja, malahan mereka perlu mengadili pertandingan dan melatih muridnya untuk mencapai tahap cemerlang dalam AK yang mereka ceburi seperti yang diharapkan oleh pihak sekolah dan FPN.

Keberkesanan Aspek Kemahiran AK KDPM Mengikut Persepsi Pensyarah

Pada keseluruhannya  pensyarah menganggap aspek kemahiran AK KDPM adalah berkesan dengan min keseluruhan 2.84 dan taburan minnya di antara 2.55 dan 3.27. Aspek kemahiran yang paling tinggi tahap persetujuan pensyarah ialah ‘BPG sepatutnya menganjurkan kursus 4K bagi semua jenis AK’, min 3.27; ‘setiap pensyarah penasihat perlu menguasai kemahiran 4K, min 3.24. Aspek kemahiran yang juga tinggi tahap keberkesanannya ialah ‘markah AK  semasa praktikum perlu digabungkan dengan markah AK yang lain’, min 2.97; ‘pengajaran mikro tentang kemahiran 4K perlu sebelum pelajar menjalani praktikum, min 2.94; dan ‘pensyarah perlu membimbing AK pelajar semasa menjalani praktikum’, min 2.94. Aspek lain kemahiran AK adalah pada tahap berkesan.

Keberkesanan Aspek Pelaksanaan 4K

Dari segi pelaksanaannya, kemahiran 4K dianggap oleh pensyarah sebagai berkesan. Walau bagaimanapun ’masa suntuk untuk melaksanakan 4K’, min 2.56, memberi gambaran 48.4% mengalami kesuntukan masa untuk melaksanakan 4K dalam tempoh 5 semester KDPM. Oleh itu hanya 60.3% daripada mereka bersetuju telah menyempurnakan 4K bagi pelajarnya. Ini bermakna sejumlah 39.7% daripada pensyarah tidak dapat menyempurnakan 4K bagi pelajarnya; suatu kelemahan yang sangat ketara dan perlu diteliti lebih lanjut sebab berlaku demikian dan perlu dicari alternatif yang berkesan untuk mengatasinya supaya kelemahan yang sama berlaku kepada kumpulan kedua KDPM.

Kaitan Antara AK KDPM Dengan Pengajaran Mikro dan Praktikum

Majoriti pensyarah (68.9%) bersetuju sesi pengajaran mikro tentang pelaksanaan AK adalah perlu bagi pelajar sebelum mereka melaksanakan AK di sekolah semasa praktikum. 71.0% daripada pensyarah bersetuju supaya mereka membimbing dan menilai  pelajarnya melaksanakan AK semasa praktikum; dan sejumlah 78.5% daripada mereka pula bersetuju supaya markah AK pelajar semasa menjalani praktikum digabungkan dengan markah AK yang lain.

Ini menunjukkan majoriti pensyarah menyedari tentang kepentingan AK yang kurang diberi perhatian semasa pelajar menjalani praktikum sebelum ini. Kesedaran ini sesuai untuk meningkatkan lagi keberkesanan AK KDPM bagi menyediakan pelajarnya menjadi pengurus AK yang berkesan di sekolah dan menjadikan pelajarnya bukan sahaja sebagai bakal guru bilik darjah, malahan guru sekolah yang berkesan.

Kemahiran Pensyarah

Sejumlah 90.3% daripada pensyarah bersetuju mereka perlu menguasai 4K untuk menjamin keberkesanan tugasnya sebagai penasihat/jurulatih AK kepada pelajarnya. Namun, 72.1% daripada mereka bersetuju usaha menguasai 4K di kalangan pensyarah merupakan inisiatif mereka sendiri, dan 87.1% daripada mereka bersetuju BPG sepatutnya menganjurkan kursus 4K bagi semua jenis AK yang dilaksanakan di maktab.

Situasi ini menggambarkan kesedaran pensyarah tentang betapa pentingnya mereka sendiri menguasai 4K dan mengharapkan BPG bersama maktab menganjurkan kursus 4K bagi mereka. Harapan yang tinggi terhadap BPG untuk mengadakan kursus 4K bagi mereka menggambarkan kursus yang dianjurkan oleh BPG untuk pensyarah jauh daripada mencukupi dari segi jenis AK dan jumlah pensyarah yang terlibat.

Kemahiran Pelajar Dalam Pengurusan AK Di Sekolah

Seramai 68% daripada pensyarah bersetuju pelajar mereka mahir dalam perancangan AK di sekolah; 57% daripada mereka bersetuju pelajar mereka mahir melaksanakan AK di sekolah; dan hanya 50% daripada mereka pula bersetuju pelajar mereka mahir membuat penilaian AK di sekolah.

Peratus persetujuan pensyarah tentang kemahiran perancangan, pelaksanaan dan penilaian AK di sekolah di kalangan pelajarnya adalah pada tahap yang rendah, walaupun min bagi ketiga-tiga aspek berkenaan pada tahap berkesan dan melebihi 2.50. Tahap keyakinan pensyarah terhadap kemahiran perancangan, pelaksanaan dan penilaian AK pelajarnya di sekolah selaras dengan persetujuan   majoriti daripada mereka supaya pengajaran mikro bagi kemahiran AK perlu  dilaksanakan sebelum mereka menjalani praktikum dan pensyarah perlu membim-bing pelajarnya tentang pelaksanaan AK di sekolah semasa mereka menjalani  praktikum.

Situasi ini disahkan apabila 73% daripada pensyarah bersetuju bahawa kurikulum AK KDPM lebih menumpukan penguasaan kemahiran AK bagi pelajarnya tetapi kurang menumpukan kepada keberkesanan pengurusan AK di sekolah. Persepsi pensyarah ini juga selaras dengan tanggapan pelajar yang menyatakan kemahiran asas dan kemahiran pengelolaan lebih diberi tumpuan daripada kemahiran   kepegawaian dan kejurulatihan semasa mereka mengikuti AK KDPM. Kelemahan dalam kemahiran kejurulatihan, terutamanya, menyebabkan mereka kurang yakin untuk merancang, melaksana dan menilai AK muridnya.

Keberkesanan aspek nilai dalam AK KDPM untuk menyediakan pelajarnya menjadi pengurus AK yang berkesan di sekolah.
Persepsi Pelajar Tentang Keberkesanan Aspek Nilai Dalam AK KDPM

Pada keseluruhannya pelajar beranggapan bahawa aspek nilai dalam AK KDPM  sangat berkesan dengan min keseluruhan 3.02 dan taburan min berada antara 2.90 dan 3.24. Tiga aspek nilai yang paling tinggi tahap keberkesanannya ialah ‘menyertai S/P yang diminati’, min 3.24; ‘menyertai K/P yang diminati’, min 3.19; ‘menjalin hubungan baik dan bekerjasama dengan guru, murid dan  pensyarah’, min 3.15. Tiga aspek nilai yang paling kurang berkesan pada tanggapan pelajar ialah ‘berpuas hati dapat membeli alat sukan dan pakaian seragam UB’, min 2.90; ‘AK dapat menerapkan fikiran kreatif’, min 2.92; dan ‘merasa yakin dapat mengendalikan AK dengan berkesan semasa praktikum’, min 2.92.

Keberkesanan Aspek Nilai Profesionalisme Keguruan Dalam AK KDPM Mengikut Persepsi Pelajar

Pelajar menganggap AK KDPM dapat membimbing mereka dengan berkesan untuk mehayati nilai profesionalisme keguruan. Min bagi item 7(a), 7(b), 7(c) dan 7(d) menunjukkan tahap keberkesanan yang tinggi. Mereka bersetuju AK KDPM berjaya mendorong mereka untuk berfikiran kreatif, mengutamakan minat, intelek, rohani, emosi dan jasmani murid semasa melaksanakan AK, memberi    peluang kepada semua murid terlibat dalam AK dan menjalin hubungan baik dan bekerjasama dengan murid, guru dan pensyarah atau kemahiran interpersonal.

Keberkesanan Aspek Nilai Dalam Pemilihan Jenis AK

Sejumlah 83% daripada pelajar menyertai S/P yang mereka minati; 78% pelajar menyertai UB yang mereka minati dan 77% daripada mereka pula menyertai K/P yang mereka minati. Dengan demikian 72% daripada mereka berpuas hati dengan alat sukan dan pakaian seragam yang mereka beli untuk keperluan AKmereka, 75% pelajar dapat menyediakan tugasan AK dengan sempurna; dan 79% daripada mereka merasa yakin dapat    melaksanakan AK di sekolah semasa praktikum.

Keberkesanan Aspek Nilai AK KDPM Mengikut Persepsi Pensyarah

Pada umumnya, mengikut tanggapan pensyarah, aspek nilai dalam AK KDPM berkesan dengan min keseluruhan 2.83 dan taburan min antara 2.49 dan 3.22. Tiga aspek nilai AK KDPM yang sangat berkesan ialah ‘AK berjaya menerap nilai positif di kalangan pelajar’, min 3.22; ‘merasa bangga dengan tugas AK’, min 3.03; dan ‘aspek nilai disepadukan merentasi AK’, min 2.97. Tiga aspek nilai yang kurang berkesan ialah ‘majoriti pelajar berminat dalam AK’, min 2.49; ‘sistem penilaian AK sesuai dengan potensi  pelajar’, min 2.56; dan ‘keyakinan melaksana AK’, min 2.64.  Min bagi aspek nilai yang lain berada antara 2.66 dan 2.96.

Sebanyak 81% pensyarah menyatakan aspek nilai AK KDPM sesuai dengan nilai profesionalisme keguruan dan min bagi aspek ini ialah 2.92. Persetujuan ini diso-kong dengan 70% pensyarah menyatakan aspek nilai dalam AK KDPM mencukupi. Tanggapan pensyarah tentang hal ini selaras dengan tanggapan pelajar tentang aspek yang sama seperti dalam para 3.3.1.1. Ini menunjukkan aspek nilai AK KDPM berkesan mengikut tanggapan  pelajar dan pensyarah penasihat. Walau bagaimanapun sejumlah 71% pensyarah menyatakan hanya sebahagian kecil daripada pelajar mendapat latihan kepimpinan melalui AK yang mereka sertai, dan hanya 50 % daripada pensyarah menyatakan pelajar berminat dan aktif dalam AK. Pelajar yang aktif dalam AK biasanya mereka yang diberi peranan dalam bentuk jawatan dan perwakilan. Jika jumlah jawatan kepimpinan dalam AK kecil maka pelajar yang aktif juga kecil. Implikasinya ialah sebahagian besar  pelajar KDPM tidak mendapat latihan kepimpinan melalui AK yang mereka  sertai. Keadaan ini membimbangkan kerana semua pelajar perlu diberi latihan kepimpinan yang amat diperlukan apabila mereka diwajibkan menguruskan pelaksanaan AK di sekolah.

Sebanyak 86% pensyarah menyatakan aspek nilai dalam AK KDPM disepadukan secara merentasi AK. Keberkesanan yang tinggi bagi aspek ini merupakan suatu kekuatan kurikulum AK KDPM yang perlu dikekalkan dan dipertingkatkan kerana nilai ‘bina diri dan bantu  rakan, organisasi, komuniti, masyarakat, profesion dan negara’ perlu sentiasa disuburkan melalui AK sebagai intrumen untuk mencapai hasrat FPN.

Hanya 61% daripada pensyarah berkeyakinan untuk melaksanakan AK, manakala 38% lagi tidak yakin untuk  melaksanakannya. Situasi ini sangat membimbangkan kerana mengikut    peraturan yang berkuatkuasa pada masa ini semua pensyarah kecuali Ketua  Jabatan dan Ketua Unit diwajibkan menjadi penasihat bagi mana-mana AK di maktabnya. Peratusan yang besar  pensyarah penasihat yang tidak yakin  melaksanakan AK ini pastinya menjejaskan kualiti perkhidmatan mereka dan sekali gus tidak dapat menghasilkan   pengurus AK sekolah yang berkualiti. Kajian tentang sebab hampir 39% daripada pensyarah tidak berkeyakinan  melaksanakan AK perlu dibuat dan  selanjutnya langkah terbaik untuk  mengatasinya perlu dikenal pasti dan dilaksanakan.

Walau bagaimanapun pada umumnya pensyarah berasa puas hati dengan penglibatan mereka dalam AK. Sejumlah 82% daripada mereka berbangga dengan tugas AK yang dilaksanakan, 65% berasa bermanfaat membeli dan menggunakan alat S/P dan pakaian seragam UB, dan 72% menjadi penasihat AK yang mereka minati.

Dari segi keberkesanan aspek nilai dalam AK KDPM, pada umumnya pensyarah menyatakan mereka bersetuju aspek ini memberi kesan positif terhadap pelajar. Sejumlah 94% daripada mereka menyatakan penglibatan pelajar dalam AK membantu menerapkan nilai positf di kalangan mereka, 6% daripada mereka menyatakan pelajar yang bermasalah tidak aktif dalam AK, dan 61% daripada mereka menyatakan pelajar yang aktif dalam AK juga  cemerlang dalam akademik. Ini menunjukkan pelaksanaan aspek nilai secara merentasi AK  sangat berjaya ke arah pembentukan bakal guru yang bermoral dan berakhlak mulia sebagaimana yang dikehendaki sistem pendidikan kita. Ini juga menunjukkan pelajar yang bermasalah tidak aktif dalam AK dan pelajar yang aktif dalam AK juga cemerlang dalam akademik. Keadaan ini menunjukkan keperluan memperketatkan kriteria pengambilan calon pelajar dengan mengutamakan mereka yang aktif dalam AK kerana penglibatan aktif mereka dalam AK tidak menghalang kecemerlangan mereka dalam akademik.

Dari segi sistem penilaian AK, hanya 53% daripada pensyarah menyatakan sistem penilaian AK menggambarkan potensi sebenar pelajar. Walaupun pengkaji tidak mendapatkan sebab pensyarah beranggapan demikian, namun kurangnya keya-kinan pensyarah terhadap sistem penilaian AK ini boleh dikaitkan dengan tingginya tahap persetujuan mereka untuk terus membimbing dan menilai pelajarnya dalam AK semasa mereka terlibat dalam praktikum apabila mana potensi sebenar pelajar dalam AK dapat diserlahkan sepenuhnya.

Keberkesanan pensyarah dalam pelaksanaan AK KDPM mengikut persepsi pelajar

Seperti dalam Jadual 5, pada keseluruhannya, persepsi pelajar tentang keberkesanan pensyarah penasihat AK  adalah pada tahap berkesan dengan min keseluruhan 2.92 dan taburan min antara 2.82 dan 3.01. Aspek keberkesanan pensyarah yang sangat berkesan ialah ‘penasihat UB mempunyai kemahiran yang meya-kinkan’, min 3.01; ‘puas hati dengan minat dan iltizam pensyarah UB’, min 3.00. Aspek keberkesanan pensyarah penasihat yang terendah tahap keberkesanannya ialah ‘puashati dengan penilaian dalam UB’, min 2.82; ‘puashati dengan penilaian dalam S/P’, min 2.86; dan ‘puas hati dengan minat dan iltizam pensyarah K/P’, min 2.86.

Keberkesanan pensyarah penasihat AK mengikut persepsi pelajar yang tinggi ini tidak selaras dengan tahap keyakinan pensyarah untuk melaksanakan AK di mana hanya sejumlah 61.3% daripada mereka merasa yakin untuk melaksanakan AK dan hanya 60% pensyarah    menyempurnakan 4K. Ketidakselarasan antara persepsi pensyarah tentang keberkesanan tugasnya dan persepsi pelajar tentang keberkesanan tugas pensyarahnya berlaku mungkin kerana pelajar mungkin kurang mengetahui tentang jangkaan   peranan, kualiti dan tugasan maksimum yang mereka perlu sempurnakan dalam tempoh 5 semester.

Perbandingan min antara aspek ini juga menunjukkan keberkesanan pensyarah UB lebih tinggi berbanding dengan keberkesanan pensyarah dalam AK yang lain; manakala keberkesanan pensyarah S/P lebih tinggi berbanding dengan keberkesanan pensyarah K/P. Pola persepsi pelajar tentang keberkesanan pensyarah dalam tiga bidang AK ini selaras dengan persepsi mereka tentang keberkesanan aspek kemahiran dalam AK KDPM. Pelajar menganggap aspek kemahiran dalam UB sebagai paling berkesan berbanding S/P dan K/P, dengan min 2.76; manakala min bagi S/P ialah 2.75, dan min bagi K./P ialah 2.68. Kedua-dua pola persepsi pelajar ini saling berkaitan kerana keberkesanan pensyarah penasihat AK biasanya dikaitkan dengan keupayaan dan kemahiran pensyarah melatih mereka dalam sesi amali yang ditetapkan dalam kurikulum berkaitan.

Walau bagaimanapun pelajar menunjukkan tahap kepuasan yang lebih rendahhangg  tentang penilaian yang diterimanya dalam UB berbanding dengan penilaian dalam AK  lain. Ini menunjukkan pelajar merasakan mereka sesuai menerima penilaian dalam markah yang` lebih tinggi kerana masa dan perbelanjaan yang lebih banyak dalam UB berbanding dengan bidang AK  lain.


Jadual 5 : Persepsi Pelajar Tentang Pensyarah Penasihat/Jurulatih AK KDPM

Rumusan

Pada keseluruhannya, seperti dalam Jadual 6, AK KDPM adalah berkesan dengan purata min keseluruhan 2.78 dan taburan purata min bagi tujuh    pemboleh ubah antara 2.57 dan 3.02. Keberkesanan aspek nilai AK KDPM mengikut persepsi pelajar merupakan aspek AK yang paling berkesan dengan min 3.02; manakala keberkesanan aspek pengetahuan dalam AK KDPM mengikut persepsi pelajar merupakan aspek yang paling rendah keberkesanannya.

Perbandingan keberkesanan antara aspek pengetahuan, kemahiran dan nilai dalam AK menunjukkan aspek nilai mempunyai keberkesanan yang paling tinggi dengan purata min keseluruhan 2.93; aspek kemahiran merupakan aspek yang sederhana berkesan dengan min 2.70; manakala aspek pengetahuan pula merupakan aspek yang paling rendah tahap keberkesanannya dengan min 2.66. Keberkesanan pensyarah penasihat mengikut persepsi pelajar pula berada pada tahap yang tinggi dengan min 2.92.

Keberkesanan pada tahap yang lebih rendah bagi aspek pengetahuan dalam AK KDPM berbanding dengan aspek kemahiran dan nilai ini selaras dengan taburan markah pelajar bagi komponen teori yang lebih rendah berbanding dengan markah amali mereka. Dalam kes pelajar 5KDPM MPT, misalnya, 52.2% daripada 299 pelajar mendapat markah B+ dan B bagi komponen teori; manakala 66.9% daripada mereka mendapat markah A- dan B+ bagi komponen amali mereka. Analisis tentang taburan markah AK KDPM bagi pelajar yang sama ketika mereka berada di semester 4 dan 3 juga menunjukkan pola yang sama. Situasi ini menunjukkan aspek kemahiran yang melibatkan amali, secara tekal, adalah lebih berkesan daripada aspek pengetahuan atau teori. Dapatan ini adalah selaras dengan prinsip pembelajaran yang masih relevan pada masa ini iaitu belajar melalui amali atau dengan melakukannya sendiri lebih berkesan.


Jadual 6: Rumusan Tentang Keberkesanan AK KDPM Berdasarkan Purata Min
Keseluruhan Bagi Pemboleh ubah Pengetahuan, Kemahiran dan Nilai

CADANGAN

Berdasarkan dapatan yang dihuraikan dalam para 3, cadangan untuk meningkatkan keberkesanan komponen AK dalam KDPM adalah seperti yang berikut:

Cadangan untuk meningkatkan keberkesanan AK KDPM dalam aspek pengetahuan dan struktur
 

  1. Penekanan yang lebih perlu ditumpukan kepada usaha menerangkan dan membincangkan tentang Surat Pekeli-ling dan Peraturan pelaksanaan AK di sekolah.
  2. Isi kandungan tentang pengetahuan berkaitan dengan S/P perlu ditambah.
  3. Peruntukan masa bagi amali perlu  ditambah dan sesi amali perlu digabungkan dengan sesi teori, dan teori tidak terasing dalam mata pelajaran GERKO seperti yang diamalkan sekarang.
  4. Kecergasan Diri dalam mata pelajaran AK digabungkan dangan mata pelajaran PJK dan PJK diwajibkan kepada semua pelajar.


Cadangan untuk meningkatkan keberkesanan AK KDPM dalam aspek kemahiran
 

  1. AK KDPM perlu memberi tumpuan yang sama pada penguasaan kemahiran kepegawaian dan kejurulatihan di samping kemahiran asas dan kemahiran pengelolaan.
  2. Terdapat 39.7% pensyarah tidak   dapat menyempurnakan 4K seperti yang dikehendaki dalam kurikulum. Perlu dibuat kajian lain untuk mencari sebab berlakunya kelemahan ini dan dicari alternatif yang paling berkesan untuk mengelakkan masalah ini berterusan pada masa depan.
  3. Pengajaran mikro tentang pengurusan AK di sekolah perlu disediakan untuk pelajar sebelum mereka menjalani praktikum yang memerlukan penilaian pelaksanaan AK di sekolah.
  4. Penilaian pelaksanaan AK semasa praktikum perlu dibuat bukan sahaja oleh pihak sekolah, tetapi juga oleh pensyarah yang melatih mereka.
  5. Markah AK semasa praktikum digabungkan dengan markah AK lain yang disertainya di maktab.
  6. BPG perlu menganjurkan lebih banyak kursus kemahiran bagi setiap jenis AK terutamanya dalam bidang SP dan UB.
  7. Menyeimbangkan antara isi kandungan dan pedagogi dalam peran-cangan dan pelaksanaan AK. Pelajar bukan sahaja perlu menguasai AK sebagai penyuburan diri, tetapi juga diberi bimbingan tentang kaedah, strategi dan teknik yang berkesan untuk membimbing murid mereka  menguasai kemahiran berkenaan   semasa praktikum dan berkhidmatsebagai guru terlatih kelak.
  8. Terdapat 38.7% daripada pensyarah tidak yakin melaksanakan AK. Akibatnya 39.7% pensyarah tidak berjaya menyempurnakan AK. Mungkin mereka kesuntukan masa untuk melaksanakannya atau mereka tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk melaksanakannya.
  9. Majoriti pelajar tidak menerima latihan kepimpinan semasa menyertai latihan AK. Oleh itu strategi mempelbagaikan, menggilirkan jawatan kepimpinan AK di kalangan pelajar perlu dicari dan diamalkan.
  10.  Hanya calon yang aktif pada tahap tertentu dalam AK di sekolahnya sahaja dipertimbangkan untuk mengikuti KDPM kerana pelajar yang bermasalah majoritinya adalah mereka yang tidak aktif dalam AK semasa di sekolah mereka.

  11.  

     

    BIBLIOGRAFI

    1. Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia; Sukatan Pelajaran Diploma
        Perguruan Malaysia, Gerak Kerja Kokurikulum (GERKO); Januari 1996.
    2. Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia; Sukatan Pelajaran Diploma
        Perguruan Malaysia: Kajian Keberkesanan Program KPA (PSR) , 1993.
    3. Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia; Sukatan Pelajaran Diploma
        Perguruan Malaysia: Kajian Keberkesanan Program KPLI, 1995.
    4. Mohamad bin Haji Ikhsan; Persepsi Bekas dan Pentadbir Sekolah Tentang Keberkesanan
        Program Diploma Pendidikan Universiti Malaya; 1996.

    Kembali Ke Tajujk-Tajuk Kajian