Prosedur 3P:

Satu Alternatif Bagi Membantu Murid-Murid Menghadapi Masalah Membaca Khasnya Pada Peringkat Awal Kanak-Kanak

Oleh:

SUTHANTHIRADEVI A/P J.N.J. MONEY
Jabatan Pengajian Melayu
Maktab Perguruan Teknik

PENGENALAN

 Satu  fenomena yang jelas terdapat di sekolah-sekolah ialah terdapatnya sekumpulan murid yang boleh membaca dengan pantas, tepat dan berkesan, dan sekumpulan lagi yang tidak dapat berbuat demikian.

 Untuk mengetahui puncanya, sekumpulan penyelidik di Auckland, New Zealand  telah membuat kajian bagi memahami fenomena ini. Hasil kajian ini mendapati bahawa kebolehan cemerlang dalam membaca diperolehi oleh kanak-kanak yang telah belajar membaca di rumah dengan bantuan ibu bapa.

 Perkara ini tidak menghairankan kerana ia sepatutnya begitu, tetapi     penyelidik ini berpendapat bahawa satu prosedur yang saintifik dan tekal perlu dihasilkan supaya ia akan lebih berjaya. Ini diperjelaskan oleh Wheldall dan Glynn (1989:118),
 

  ‘Untrained tutoring had little effect on their children’s reading’
 Justeru, satu prosedur lebih tersusun, diperlukan untuk menghasilkan murid atau pun  kanak-kanak yang lebih cemerlang dalam  pembacaan .  Prosedur 3P (Pause, Prompt, Praise) telah    diperkenalkan untuk memenuhi tujuan ini.  Sehubungan itu, prosedur ini akan membolehkan guru-guru dan ibu bapa dapat menggunakannya secara efektif pada murid di sekolah atau anak-anak   di rumah, khasnya kepada kanak-kanak yang menghadapi masalah membaca.

Apa Dia Prosedur 3p ?
3P ialah satu prosedur untuk membantu kanak-kanak membaca yang dihasilkan oleh kumpulan penyelidik  di Margar, Auckland. Ia membolehkan guru-guru dan ibu bapa membantu kanak-kanak yang mengalami masalah membaca dengan menggunakan segala sumber maklumat yang ada, pada dan di sekeliling teks untuk memahami sesuatu mesej atau makna yang disampaikan.

 Prosedur ini adalah berdasarkan teori bacaan yang diasaskan oleh Mary Clay dan Stuart McNaughton (1979) iaitu:
 

‘They see proficient reading as learning to use all the sources of  information within and around a text to understand the particular message being conveyed’   (Clay and McNaughton, 1979).


 Mereka menegaskan bahawa seseorang murid yang lancar membaca adalah seseorang yang dapat menggunakan semua sumber maklumat yang ada, pada dan di sekeliling sesuatu teks untuk mendapatkan mesej atau memahami teks itu.
 Clay dan McNaughton juga  menyatakan bahawa perbezaan di antara pembaca yang cekap dan lancar dibandingkan dengan pembaca yang  lambat bukan bergantung pada kebolehan mengenal huruf, dan cantuman bunyinya tetapi pada keblehan dan kelancaran menggunakan konteks maklumat  pengenalan huruf dan cantuman bunyi huruf tersebut.

 Kanak-kanak yang cekap membaca pada peringkat awal mempunyai kadar pembetulan kendiri (self-correction) yang tinggi. Walau bagaimanapun, bagi kanak-kanak yang kurang cekap, sokongan untuk membantu mereka membaca adalah kurang dari dua aspek:
 

  1. Peluang yang terhad untuk membaca teks yang bermakna (meaningful text) dengan tahap kesukaran yang sesuai.
  2. Pengajaran yang mereka terima mungkin menghalang mereka belajar untuk menyatupadukan  konteks dan bunyi huruf yang membolehkan pembetulan kendiri. Ini mungkin menyebabkan murid-murid tersebut terlalu bergantung kepada bantuan  pemulihan.


 Prosedur 3P dicadangkan untuk pengajaran secara individu tetapi ia boleh juga digunakan secara kelas atau kumpulan dengan gunakan teks yang sama. Jika prosedur ini dijalankan secara individu peluang untuk kanak-kanak ini memperbaiki kelemahan sendiri dengan pembetulan kendiri  tinggi.

Guru atau ibu bapa boleh membantu kanak-kanak yang menghadapi masalah membaca apabila mereka:

  1. PAUSE (Berhenti sementara) sebelum memberi respon terhadap kesalahan murid.
  2. PROMPT (Memberi galakan) kanak-kanak menggunakan konteks dan bunyi-bunyi huruf untuk membaca (tanpa diberitahu  terus).
  3. PRAISE (Pujian) memberi pujian yang secukupnya apabila kanak-kanak itu dapat menggunakan strategi pembetulan kendiri berdasarkan ‘prompt’ (galakan) guru atau ibu bapa.
Kebanyakan murid mempelajari strategi  di atas daripada kebiasaan mereka membaca teks sebagai sebahagian daripada aktiviti membaca dalam kelas. Pengaplikasian 3P oleh pembaca yang tidak bermasalah mendapati bahawa pencapaiannya adalah cemerlang.

 Tujuan utama 3P adalah untuk   mengurangkan sikap ‘kebergantungan terhadap guru semasa membaca’. Dalam perkataan lain ia digunakan untuk   membentuk pembaca yang lebih berdikari.

Antara sumber maklumat yang boleh dirujuk adalah seperti berikut:

  1. Pengetahuan murid tentang latar belakang cerita atau tajuk.
  2. Pengetahuan murid tentang struktur bahasa atau teks.
  3. Makna perkataan berdasarkan pada konteks ayat atau perenggan.
  4. Pengetahuan murid tentang huruf dan bunyi perkataan
Guru (tutor) atau ibu bapa patut menggalakkan pembaca menekankan maksud perkataan itu terlebih dahulu sebelum memfokuskan kepada huruf dan bunyinya. Tutor atau ibu bapa hanya menyebut perkataan yang betul kepada pembaca sebagai langkah terakhir. Tutor juga tidak perlu memberi respon kepada setiap kesalahan. Mereka boleh meninggalkan kesalahan-kesalahan kecil yang tidak mengubah maksud  teks.

 Kejayaan menggunakan prosedur ini bergantung kepada kewujudan bahan teks yang pelbagai dan pada tahap kesukaran yang sesuai. Bahan  atau teks tidak sepatutnya terlalu sukar atau terlalu mencabar dan tidak pula terlalu mudah. Sekiranya teks itu terlalu sukar ia tidak membawa makna kepada murid. Sebaliknya, sekiranya teks itu terlalu mudah ia mengurangkan peluang penggunaan 3P dan mempraktikkan kemahiran pembetulan kendiri. Di antara tugas guru atau ibu bapa yang utama ialah pengawasan yang kerap pada ketepatan membaca. Tahap kesukaran yang terbaik dalam penggunaan 3P ialah antara 3 – 5 patah perkataan bagi setiap 50 perkataan.

Prosedur Penggunaan 3P

Rajah 1 menunjukkan cara 3P dijalankan. Pembacaan yang betul diberi ganjaran yang sewajarnya. Apabila seseorang kanak-kanak membaca dengan betul, tutor harus memuji secara khusus. Seorang tutor yang berpengalaman akan memberi pujian yang secukupnya tetapi tidaklah terlalu kerap sehingga boleh menyekat kelancaran pembacaan.

 Pembacaan yang tidak betul ialah kesilapan meninggalkan perkataan, membaca perkataan dengan salah dan menambah perkataan-perkataan sama ada ia membawa makna atau tidak. Kesalahan-kesalahan yang diperbaik oleh pembaca sendiri seperti membaca kembali tanpa bantuan tutor ada diklasifikasikan sebagai pembetulan kendiri.

 Apabila berlaku sesuatu kesalahan, tugas tutor yang pertama ialah ‘pause’ (berhenti sementara). Ini memberi peluang kepada pembaca mengenali kesalahan dan mungkin membetulkannya sendiri. Hentian sementara itu juga memberi masa kepada tutor memastikan jenis kesalahan yang telah berlaku sama ada kesalahan yang tidak dicuba atau gantian yang tidak sesuai. Apabila berlaku sesuatu kesalahan tutor perlu menghentikan bacaannya kira-kira 5 saat atau ayat yang mengandungi kesalahan dan kemudian menyoalnya tentang kesilapan tersebut.

 Setelah tutor menghentikan murid membaca untuk sementara, dan murid tidak membetulkan sendiri kesalahan tersebut, tutor perlu membantunya (prompt) .Terdapat 3 jenis ‘prompt’ adalah seperti berikut:

  1. Bagi kesalahan tidak boleh membaca dan tidak mahu cuba membaca tutor menggalakkan pembaca meneruskan pembacaan sekiranya kesenyapannya  itu berada pada awal atau akhir pembacaannya. Kadang-kadang penggalak jenis ini cukup untuk murid  mengetahui maksud perkataan daripada konteks ayat. Jika ini berlaku bermakna pembaca itu telah membuat pembetulan hasil daripada galakan tutor (prompted correction). Ini perlu diikuti dengan memberi pujian.
  2. Apabila kesalahan itu merupakan satu perkataan yang bermakna (does make sense), tutor menggunakan galakan bermakna bagi membetulkannya (meaning promp)’ dengan menghalakan perhatian  murid kepada maksud perkataan itu dengan merujuk kepada gambar, konteks ayat, muka surat,  keseluruhan cerita atau pengetahuan dan pengalaman murid yang sedia ada.
  3. Apabila kesalahan itu merupakan satu perkataan yang tidak bermakna (does not make sense), tutor mungkin boleh menggunakan penggalak (prompt) bunyi huruf dengan menghalakan perhatian murid kepada perkataan / bunyi yang seakan-akan serupa.


Apabila pembaca  membaca perkataan dengan betul selepas tutor menggalakkannya (prompted correction), mereka perlu dipuji. Seelok-eloknya tutor tidak memberi lebih daripada dua galakan (prompt). Selepas memberi dua galakan dan murid masih membaca dan salah, tutor perlu memberitahu bacaan  yang betul. Ini  merupakan langkah terakhir.
 

Kajian-kajian tentang keberkesanan prosedur 3P

1.Keberkesanan pada pembaca lambat

Kebanyakan kajian tentang 3P ini telah melibatkan murid-murid yang berpencapaian aras rendah dalam pembacaan. Dalam 12 kajian yang dijalankan pada tahun 1985 (Glynn dan McNaughton) pencapaian minimum adalah kira-kira 2 tahun.  Dalam satu lagi kajian dengan murid sekolah separa asrama yang mempunyai masalah pembelajaran dan tingkah laku (behavioural and learning difficulties) didapati umur bacaan meningkat di antara 1.5 bulan ke 11 bulan bagi setiap bulan pengajaran. Kajian juga mendapati bahawa pencapaian yang tinggi apabila 3P diperkenalkan di rumah dan di sekolah kerjasama ibu bapa dan guru .

2. Kelebihan sebagai tutor

Satu dapatan menunjukkan bahawa dengan menggunakan prosedur ini, tutor (guru atau ibu bapa) juga akan dapat meningkatkan kadar pembacaannya. Oleh itu ada baiknya jika (rakan sebaya) dipilih untuk menjadi tutor. Mereka ini boleh dilatih untuk mengendalikan prosedur ini untuk rakan-rakan yang kurang pandai membaca. Dengan ini kedua-dua pihak akan dapat meningkatkan tahap pembacaannya. Ini jelas kelihatan dalam kes kajian Medcalf, J. dan Glynn,T. (1987) di mana tiga orang guru sekolah rendah telah mengajar 3P kepada 3 orang murid yang berumur 11 tahun. Kemudian mereka telah menjadi tutor kepada 3 orang rakan sebaya yang rendah pencapaiannya. Setelah membim-bing selama 8 minggu kesan yang nyata terdapat pada kedua-dua tutor dan pembaca.

3. Tutor yang berjaya

Pada tahun 1985, McNaughton dan Glynn melaporkan bahawa seramai 62 ibu bapa telah membimbing anak-anak mereka, 31 orang guru dan staff asrama membimbing kanak-kanak yang bukan anak mereka  dan 15 orang murid telah membimbing rakan mereka. Kesemua mereka telah berjaya menghasilkan kesan yang besar kepada pembacaannya. Ini membuktikan siapa sahaja boleh dilatih menggunakan prosedur ini.

Aplikasi dalam konteks pengajaran bacaan di Malaysia

 Fenomena kesukaran membaca yang sama  juga dihadapi oleh murid-murid di Malaysia. Berdasarkan kepada kajian-kajian yang telah dijalankan oleh pakar-pakar pendidikan di New Zealand, Britain dan Amerika Syarikat, tidak sangsi lagi, prosedur 3P ini boleh digunakan  untuk mengatasi masalah pembacaan dan kelancaran membaca pada peringkat awal kanak-kanak. Walau apapun teknik yang digunakan untuk mengatasi fenomena ini  bahan bacaan yang sesuai adalah sama penting untuk kejayaan prosedur ini.

 Prosedur ini sangat sesuai dalam konteks pengajaran bahasa pertama atau bahasa ibunda, kerana tutor perlu berinteraksi dengan lancar dalam bahasa pertama atau ibunda semasa ‘prompting’ (penggalakan). ‘Prompting’ (penggalakan) juga memerlukan tutor menyungkil pengetahuan  sedia ada murid. Tanpa interaksi yang lancar tutor tidak dapat menggalakkan murid.

 Prosedur ini  lebih efektif jika ia diajar secara individu atau kumpulan kecil 2 – 3 orang. Ini sudah pasti akan membebankan tugas guru jika dipraktikkan oleh guru sahaja. Untuk mengatasi masalah ini, ‘peer tutoring’ atau tutoring rakan  sebaya boleh  diamalkan. Untuk itu, murid yang akan membantu perlulah dilatih dahulu oleh pihak guru. Satu hakikat yang penting  ialah apabila rakan sebaya (tutor) yang membantu, tutor juga akan mendapat faedah daripada pengajarannya. Ini dinyatakan oleh Meacalf dan Glynn (1987).

“After eight years of tutoring, there were substantial gains for both tutors and tutees on an informal prose reading inventory.”  (Medcalf dan Glynn, 1987)


 Prosedur ini tidaklah begitu rumit untuk dipelajari. Oleh itu rakan sebaya boleh dijadikan sebagai tutor dan mungkin murid akan lebih selesa dengan rakan mereka daripada guru. Ia juga boleh dilaksanakan semasa waktu lapang di sekolah (free periods).

PENUTUP

 Prosedur  ini adalah sangat baik jika dapat didedahkan kepada ibu bapa dan guru-guru tadika di negara ini. Di New Zealand guru dan ibu bapa boleh berganding bahu dalam pelajaran anak-anak mereka, Perkara ini boleh dipertingkatkan di sini demi kecemerlangan anak-anak kita. Ibu bapa boleh didedahkan dengan prosedur ini melalui persatuan-persatuan  dan organisasi kerajaan  seperti KEMAS. Oleh kerana pembacaan adalah asas utama kepada usaha pemerolehan maklumat, maka kemahiran membaca perlu ditingkatkan sebaik mungkin supaya kanak-kanak Malaysia akan menjadi celik huruf 100%. Ini merupakan satu lagi usaha kecil ke arah pencapaian Wawasan 2020.

BIBLIOGRAFI

Clay, M.M. (1979)  Reading: The patterning of complex behaviour (2nd Edition) Auckland: Heinemann Educational Books.
Clay, M. (1991) Becoming literate: The construction of inner control, Auckland : Heinemann Books.
Glynn, T (1979) Seventeen Years On , Best of Set: Families School
Glynn, T. McNaughton, S. Robinson, B. dan Quinn, M (1979) Remedial reading at homes:  Helping you to help your child. Wellington : New Zealand Council of Educational Research.
Love, J. dan Vanbeirvliet, A. (1984) Training parents to be home reading tutors: Generalization of children’ s reading skills
    from home to school, The Exceptional Child, Vol. 31.
Medcalf, J. (1989) Comparison of peer tutored remedial reading using the pause, prompt and praise procedures with
    an individual tape assisted reading programme, Educational psychology, Vol, 9, No.3.
Medcalf, J. dan Glynn, T. (1987) Assisting Teachers to implement peer-tutored remedial reading using pause, prompt
    and praise procedures, Queensland Journal of Guidance and Counselling, Vol, 1.
Scott, J and Ballard, K (1983) Training parents and teachers in remedial reading procedures for children with
    learning difficulties, Educational Psychology, Vol 3.
Wheldall, K dan Glynn, T (1989) Effective Classroom Learning. Oxford: Basil Blackwell.

Kembali Ke Tajuk-Tajuk Kajian