Tinjauan tahap kemahiran guru-guru pelatih Kursus Diploma Perguruan Malaysia dalam menghasilkan  aktiviti atau lembaran kerja bagi program pemulihan atau pengayaan.

oleh: Fazidah bte Jonid, Haliza bte Hamzah dan Lee  Lay Hwa

ABSTRAK

Kajian ini bertujuan untuk meninjau kemahiran yang diperolehi oleh guru-guru pelatih KDPM, berkaitan dengan program pemulihan dan pengayaan Matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah. Responden Terdiri daripada guru pelatih Pengajian Matematik Semester 3, Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur. Secara amnya, kajian ini mengenalpasti sama ada topik pemulihan dan pengayaan perlu dimasukkan dalam Kerja Kursus Berportfolio Semester 3 bagi meneguhkan kemahiran guru pelatih. Ia juga dapat mengenalpasti  aktiviti-aktiviti pengajaran pembelajaran yang dijalankan oleh pensyarah di kelas bagi topik pemulihan dan pengayaan telah mencukupi. Soal selidik digunakan bagi mendapatkan data tentang tahap pemahaman responden terhadap teori pemulihan dan pengayaan. Responden juga diberikan tugasan menghasilkan lembaran kerja pemulihan dan pengayaan bertujuan untuk melihat hubungan di antara pemahaman teori dengan praktis. Hasil kajian menunjukkan responden memahami teori pemulihan dan pengayaan berdasarkan kepada skor yang diperolehi dari soal selidik, tetapi responden tidak dapat mempraktis teori  yang dipelajari dengan baik. Ini dikenalpasti daripada tugasan lembaran kerja pemulihan dan pengayaan yang dihasilkan mereka

Latar belakang Kajian

Usaha untuk menyediakan pendidikan yang berkualiti di peringkat awal persekolahan iaitu sekolah rendah telah menyebabkan Kursus Diploma Perguruan Malaysia  (KDPM) diperkenalkan. Sejajar dengan dasar pendemokrasian pendidikan.  Peningkatan tahap kelayakan dari aspek akademik dan ikhtisas ini juga diharapkan dapat mempertingkatkan martabat profesion perguruan. Terdapat limabelas pengkhususan matapelajaran yang ditawarkan termasuklah Pengajian Matematik.

KDPM  pengkhususan Pengajian Matematik diadakan bagi tujuan  melahirkan guru Matematik sekolah rendah berkualiti dan berketrampilan.  Dalam sukatan pelajaran Pengajian Matematik, isi kandungan kursus digubal untuk membolehkan guru pelatih melengkapi diri dengan ilmu pengetahuan dan kemahiran dalam pengajaran dan pembelajaran matematik khususnya Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.  Matlamat KDPM pengkhususan Pengajian Matematik juga ialah untuk melahirkan guru yang berpengetahuan, berpengalaman, dan berkemahiran untuk menyampaikan isi kandungan pelajaran matematik kepada murid secara lebih berkesan dan menyeronokkan

Dalam perlaksanaan kursus ini, pensyarah disaran mempelbagaikan strategi pengajaran dan pembelajaran melalui kaedah atau aktiviti seperti kuliah, seminar, perbincangan, sumbangsaran, bengkel, kerja praktik, projek, pembelajaran koperatif dan kolaboratif, pembelajaran reflektif, pengajaran mikro dan makro, pembelajaran berasaskan tugasan dan sebagainya.  Bagi menyelaraskan pemarkahan kerja kursus di seluruh maktab perguruan di Malaysia, pihak Bahagian Pendidikan Guru (BPG) telah memberi kriteria penilaian serta aktiviti yang perlu dijalankan.  Kerja kursus ini dinamakan Kerja Kursus Berportfolio(KKB).

KKB merupakan suatu set kerja kursus yang dirancang sedemikian rupa supaya ianya dapat memberikan pengetahuan dan pengalaman kepada guru pelatih berhubung dengan proses pengajaran dan pembelajaran.  KKB dirancang berdasarkan sukatan matapelajaran berkenaan.

Tajuk “Pemulihan dan Pengayaan” merupakan salah satu tajuk yang terkandung dalam sukatan pelajaran Pengajian Matematik Semester Tiga KDPM. Aktiviti pemulihan dan pengayaan  merupakan suatu program yang penting dalam pengajaran dan pembelajaran matematik. Maka berdasarkan kepentingan aktiviti pengayaan dan pemulihan, seseorang guru pelatih sewajarnya mempunyai kemahiran dan pengalaman yang mencukupi untuk menghasilkan sesuatu lembaran kerja atau aktiviti supaya mereka dapat melaksanakan aktiviti pemulihan atau pengayaan apabila diperlukan kelak.

Pernyataan Masalah

Terdapat sepuluh objektif bagi KDPM pengkhususan Pengajian Matematik seperti yang dinyatakan dalam sukatan pelajaran.  Tumpuan akan diberikan kepada objektif kelima iaitu:

Pada akhir kursus ini pelajar akan dapat menguasai pengetahuan yang mendalam mengenai kaedah pemulihan dan pengayaan dalam matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.

Sebagaimana yang telah dinyatakan, tajuk Pemulihan dan Pengayaan merupakan salah satu tajuk yang terdapat dalam sukatan pelajaran Pengajian Matematik Semester Tiga KDPM. Tetapi dalam garis panduan KKB Pengajian Matematik Semester Tiga 1998, tidak ada aktiviti yang dicadangkan bagi membekalkan pengalaman yang berkaitan aktiviti pemulihan atau pengayaan kepada guru pelatih.  Waktu pengajaran yang diperuntukkan bagi tajuk ini hanya empat jam sahaja daripada jumlah enam puluh empat jam bagi komponen sukatan pelajaran tersebut. Berbanding dengan kurikulum KDPM semester tiga tahun 1997, tajuk Pemulihan dan Pengayaan merupakan salah satu tajuk yang terdapat dalam penilaian KKB. KKB semester tiga tahun 1997, memerlukan guru pelatih memghasilkan sekurang-kurangnya lima lembaran kerja yang sesuai bagi aktiviti pemulihan dan juga lima lembaran kerja yang sesuai bagi aktiviti pengayaan. Lembaran kerja Pemulihan dan Pengayaan yang dihasilkan di nilai oleh pensyarah.  Dalam proses menghasilkan lembaran -lembaran kerja ini banyak pengetahuan dan pengalaman yang diperoleh  oleh guru-guru pelatih berkenaan.

Oleh kerana KKB bagi semester tiga 1998,  tidak mengandungi   tajuk Pemulihan dan Pengayaan, maka dikhuatiri tajuk ini akan hanya diberi pendedahan yang minima dan tidak mencukupi. Justeru, adalah dikhuatiri pengetahuan dan pengalaman yang  mendalam  tidak dapat disampaikan kepada guru pelatih berkaitan dengan program pemulihan atau pengayaan selaras dengan objektif  kelima bagi kursus seperti yang dinyatakan di atas.

Sehubungan dengan itu, kajian ini mengupas persoalan-persoalan yang berikut :

·             Adakah guru-guru pelatih  mempunyai pemahaman yang kukuh dalam Topik Pemulihan dan Topik Pengayaan ?

·             Adakah lembaran kerja pemulihan dan lembaran kerja pengayaan yang dihasilkan oleh guru-guru pelatih ini  memenuhi objektif aktiviti - aktiviti pemulihan dan pengayaan yang dijalankan ?

·             Adakah masa mengajar yang diperuntukkan untuk mengajar topik pemulihan dan pengayaan mencukupi untuk membekalkan pengetahuan yang cukup kepada guru-guru pelatih  

Kajian ini adalah berdasarkan kepada tinjauan keatas kemahiran yang diperolehi oleh guru-guru pelatih, berkaitan dengan program pemulihan dan pengayaan matapelajaran Matematik Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah.

Tujuan Kajian

Kajian ini bertujuan meninjau tahap pengetahuan dan kemahiran guru pelatih KDPM Semester Tiga dalam menghasilkan aktiviti atau lembaran kerja bagi program pemulihan atau pengayaan Matematik KBSR. Kajian ini juga mungkin dapat memberi maklumat tentang masa yang diperuntukkan kepada tajuk Pemulihan dan Pengayaan itu mencukupi atau sebaliknya

TINJAUAN PENULISAN

Konsep Pendidikan Pemulihan

Menurut Kamus Dewan, perkataan ‘pulih’ bermaksud ‘kembali seperti biasa’, ‘sembuh’ atau ‘ baik semula’ tetapi maksud pemulihan dalam konteks pendidikan boleh diertikan sebagai sesuatu usaha untuk membaiki sesuatu kekurangan atau membetulkan sesuatu yang tidak betul.

Brennan (1974) dari ....... menilai konsep pendidikan pemulihan sebagai

“ …a kind of education required to meet needs which cannot be explained by any reference to inadequacies in the pupils environmental situation or life experience.

Koh (1982) menyatakan pendidikan pemulihan adalah terbatas dan lebih khusus sifatnya kerana bertujuan membaiki kelemahan pembelajaran. Bagi Sampson (1975),  pendidikan merupakan tindakan-tindakan khusus yang diambil untuk mengatasi keperluan murid yang mengalami kesulitan dari segi pembelajaran. Ee (1998) pula menyatakan bahawa pendidikan pemulihan merupakan suatu aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang disediakan untuk menolong pelajar-pelajar yang menghadapi masalah pembelajaran dalam menguasai sesuatu kemahiran dengan pendekatan, bahan- bahan pengajaran serta aktiviti yang alternatif.

Rasional Pendidikan Pemulihan

Aktiviti pemulihan dalam pengajaran dan pembelajaran di bilik darjah ialah satu usaha menolong murid yang lemah mencapai objektif pelajaran yang belum dicapainya dalam pelajaran yang lampau. Biasanya murid yang memerlukan pemulihan perlu didedahkan kepada banyak pengalaman konkrit dan situasi sebenar untuk membolehkannya membina gambaran mental yang jelas dan seterusnya fahaman konsep yang betul.

Menurut Buku Panduan Am KBSR (1982) :

Setiap murid itu adalah berbeza antara satu sama lain sama ada dari segi pengalaman, tingkahlaku, amalan, kecenderungan, bakat atau kebolehannya. Perbezaan individu ini perlulah menjadi satu pedoman atau pegangan guru dalam  usaha merancang pengajaran dan pembelajaran.

Sehubungan dengan ini, guru KBSR diminta merancang aktiviti pengajaran dan pembelajaran berdasarkan kepada kebolehan dan perbezaan individu murid. Oleh itu, KBSR menyarankan agar pembahagian kumpulan mengikut kecerdasan digunakan untuk melaksanakan program KBSR di dalam kelas. Sehubungan dengan ini, murid-murid dibahagikan kepada tiga kumpulan, iaitu kumpulan cerdas, kumpulan sederhana dan kumpulan lemah. Oleh kerana kumpulan lemah ialah kumpulan yang terdiri daripada murid-murid yang selalu menghadapi masalah pembelajaran, mereka haruslah diberikan pendidikan pemulihan, selain daripada aktiviti pengajaran dan pembelajaran yang biasa . Murid-murid ini lambat menguasai sesuatu kemahiran yang disampaikan kepada mereka. Jawatankuasa Kabinet yang bersidang pada November 1979 telah memperakukan bahawa mereka yang lemah dalam bidang kemahiran tertentu hendaklah diberikan pengajaran pemulihan secara teratur dan terancang. Program pendidikan pemulihan adalah diperakukan seperti yang terdapat dalam laporan tersebut :

Adalah diperakukan supaya perkara-perkara yang berkaitan dengan langkah-langkah mengadakan pengajaran pemulihan selepas daripada Ujian Rujukan Kriteria dijalankan, diteliti dan diperbaiki. Antara lain perkara-perkara tersebut termasuklah kaedah-kaedah mengajar yang sesuai, saiz kelas yang lebih kecil, peruntukkan guru bagi mengendalikan pengajaran pemulihan serta penggunaan bahan-bahan tertentu.

Berdasarkan perakuan ini, guru-guru disarankan supaya menjalankan pengajaran pemulihan.

Objektif Pendidikan                                      Pemulihan

Proses Pengajaran Pemulihan

Pengajaran pemulihan merupakan satu proses yang berperingkat-peringkat. Peringkat-peringkat ini disusun mengikut urutannya. Peringkat-peringkat ini pula saling berhubung antara satu sama lain. Pendekatan ini dapat digambarkan secara ringkas dalam satu pusingan yang mengandungi empat langkah utama.

 

 

Keempat-empat peringkat ini merupakan proses pengajaran pemulihan yang boleh dinyatakan  seperti berikut :

Peringkat 1 : Mengenal pasti murid-murid lemah dan masalah pembelajaran mereka

Peringkat 2 : Menentukan punca dan sebab kelemahan

Peringkat 3 : Pilih ganti tindakan ( aktiviti alternatif )

Peringkat 4  : Penilaian kejayaan program pemulihan.

Untuk mewujudkan satu rancangan pemulihan yang lebih berkesan, program tersebut hendaklah dilakukan dalam bentuk yang lebih terperinci seperti yang disarankan oleh  Koh (1981). Menurut beliau, program pemulihan harus bertitik tolak daripada aktiviti mengenalpasti dan menentukan kegiatan-kegiatan pemulihan yang sesuai dan diikuti pula dengan aktiviti merancang dan melaksanakan kegiatan pemulihan tersebut. Selepas aktiviti pemulihan itu dijalankan, guru kemudiannya diminta menilai keberkesanan pengajaran tersebut.

Konsep Pendidikan Pengayaan

Pengayaan dalam bilik darjah adalah aktiviti tambahan yang lebih kompleks, menarik dan mencabar yang bertujuan untuk meluaskan pengetahuan dan kemahiran matematik yang telah dipelajari. Pengayaan boleh dibuat untuk kumpulan cerdas, sederhana dan lemah. Setiap murid layak menerima pengayaan. Berapa banyak pengayaan yang seorang murid terima bergantung kepada keupayaan dan prestasinya sendiri.

Objektif Pendidikan Pengayaan

Aktiviti-aktiviti pengayaan bertujuan untuk membolehkan murid-murid :

(a)        Menjalani aktiviti-aktiviti pembelajaran yang lebih mencabar kebolehan mereka

(b)        Menambahkan minat dan pengalaman yang boleh membantu ke arah perkembangan diri dan bakat mereka

(c)        Menggunakan masa lapang dengan berfaedah mengikut keperluan, minat dan bakat mereka

(d)        Untuk membuat rujukan daripada berbagai sumber pengetahuan

(e)        Berminat untuk belajar sendiri dan mempunyai sifat berdikari bagi membolehkan mereka meneruskan pembelajaran seumur hidup

(f)         Melahirkan daya kreativiti menerusi pemikiran dan berkebolehan untuk menilai kerja mereka sendiri

(g)        Mempunyai asas kepimpinan untuk diperkembangkan ke peringkat yang lebih tinggi sesuai dengan kemampuan mereka.

Proses Pengajaran Pengayaan

Kumpulan Sasaran

Aktiviti-aktiviti pengayaan disediakan untuk semua murid. Sungguhpun begitu, sama ada seseorang murid itu mendapat sedikit atau banyak pengalaman pengayaan adalah bergantung pada kebolehan dan keupayaan masing-masing dalam menguasai kemahiran yang telah ditetapkan.

Secara umumnya, murid-murid boleh dibahagikan kepada tiga kumpulan :

(a)        Kumpulan cerdas

Murid-murid yang tergolong dalam kumpulan ini ialah mereka yang dapat menguasai pelajaran lebih awal dari jangka masa yang ditetapkan

(b)        Kumpulan sederhana

Murid-murid yang tergolong dalam kumpulan ini ialah mereka yang dapat menguasai pelajaran dalam jangka masa yang ditetapkan.

(c)        Kumpulan lemah

Murid-murid yang tergolong dalam kumpulan ini ialah mereka yang tidak dapat menguasai pelajaran dalam jangka masa yang ditetapkan.

 

Dalam pengajaran dan pembelajaran di kelas biasanya murid-murid dalam kumpulan cerdas akan mendapat lebih banyak aktiviti pengayaan jika dibandingkan dengan murid-murid lain.

Prinsip-Prinsip Penting Untuk Menyediakan Aktiviti Pengayaan

Guru hendaklah membuat perancangan yang rapi supaya aktiviti-aktiviti yang dijalankan bersesuaian dengan murid-murid mengikut peringkat perkembangan, umur dan kebolehan mereka. Sebagai panduan, aktiviti-aktiviti yang hendak disediakan itu haruslah:

(a)        Bercorak belajar sendiri dan mengandungi arahan atau penerangan yang jelas supaya murid dapat menjalankannya tanpa guru. Aktiviti boleh dijalankan sama ada secara perseorangan atau kumpulan.

(b)        Menarik, mencabar dan sesuai dengan kebolehan, minat dan bakat murid yang berbeza-beza.

(c)        Boleh berbentuk program harian atau berbentuk projek.

(d)        Diletak atau disimpan di tempat yang mudah digunakan oleh murid-murid

(e)        Mengandungi bahan-bahan yang dipelbagaikan samada dibuat sendiri atau diperolehi dari pasaran.

Pengelolaan Aktiviti Pengayaan

Aktiviti-aktiviti boleh dijalankan berdasarkan perkara-perkara yang berikut :

(a)    Pilihan murid

·             Aktiviti-aktiviti pengayaan dijalankan secara tidak formal di mana guru hanyalah sebagai pendorong.

·             Bagi murid yang cerdas dan sederhana, kebanyakan aktiviti pengayaan yang diberikan adalah berbentuk belajar sendiri.

·             Oleh kerana murid-murid lebih senang belajar dan berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya, murid-murid cerdas dapat membantu murid-murid yang lemah.

·             Setelah murid-murid selesai menjalani sesuatu aktiviti yang diberi, hasil-hasil kerja mereka hendaklah diberi penghargaan.

(b)    Pilihan Guru

·             Pengajaran dan pembelajaran bolehlah dijalankan berdasarkan aktiviti-aktiviti yang dicadangkan di dalam buku teks atau buku panduan khas yang ditetapkan. Ia hendaklah dijalankan selepas  murid-murid diberi aktiviti-aktiviti asas untuk sesuatu kemahiran. Aktiviti-aktiviti ini adalah untuk membantu murid-murid memperkukuhkan lagi kemahiran yang sedang dipelajari.

METODOLOGI KAJIAN

Kajian ini menggunakan  ujian untuk mengumpul maklumat yang diperlukan. Responden terdiri daripada semua guru pelatih Pengajian Matematik Semester 3 Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur. Secara amnya, kajian ini akan mengenalpasti sama ada topik pemulihan dan pengayaan perlu dimasukkan dalam KKB Semester 3 bagi meneguhkan kemahiran guru pelatih. Ia juga dapat mengenalpasti adakah aktiviti-aktiviti pengajaran pembelajaran yang dijalankan oleh pensyarah di kelas bagi topik pemulihan dan pengayaan telah mencukupi.  Adalah menjadi harapan agar guru pelatih dapat mengamalkan aktiviti pemulihan dan pengayaan Matematik KBSR di sekolah kelak.

Instrumen Kajian

Satu ujian yang digunakan dalam kajian ini dibahagikan kepada dua bahagian.

Bahagian A :   Guru pelatih dikehendaki menandakan (v) tentang beberapa pernyataan pemulihan  yang diberi.

Bahagian B :    Guru pelatih dikehendaki menandakan (v) tentang beberapa pernyataan pengayaan yang diberi.

Prosedur – Prosedur Analisis

Penganalisisan data hasil kajian adalah berdasarkan data-data yang diperolehi daripada ujian dan hasil lembaran kerja Pemulihan dan Pengayaan daripada 93 orang guru pelatih Semester 3 pengkhususan Pengajian Matematik di Maktab Perguruan Teknik, Kuala Lumpur.

Perbincangan terhadap hasil kajian berdasarkan kepada :

(a)        Huraian deskriptif tentang tahap kefahaman topik Pengayaan dan Pemulihan sama ada lemah, sederhana atau tinggi. Perbincangan dibuat berdasarkan kepada min dan peratus yang didapati daripada ujian yang menguji kefahaman Asas dan Lanjutan tajuk tersebut.

(b)               Kualiti hasilan lembaran kerja aktiviti Pemulihan dan Pengayaan mengikut sistem pemarkahan KKB tahun sebelumnya iaitu 1996 di Maktab Perguruan Teknik.

Analisis Skor  : Tahap Kefahaman Tajuk Pemulihan      

Dalam ujian ini, terdapat 20 item yang menguji tentang kefahaman guru-guru pelatih terhadap tajuk Pemulihan.  Item ini dibahagi kepada dua kategori iaitu pengetahuan asas dan lanjutan. Daripada 20 item itu 7 item menyoal tentang kefahaman asas guru-guru pelatih terhadap tajuk pemulihan, iaitu item 1, 2, 3, 11, 13, 16 dan 18.  Item yang lain  mengukur kefahaman lanjutan tajuk Pemulihan, iaitu, item 4, 5, 6, 7, 8, 9, 10, 12, 14, 15, 17, 19 dan 20

Analisis Skor : Tahap Kefahaman Tajuk Pengayaan

Ujian bahagian Pengayaan juga mempunyai 20 item yang menyoal tentang kefahaman guru-guru pelatih tentang tajuk tersebut.  Ianya dibahagikan kepada dua kategori iaitu,

(a)     Kefahaman asas tentang Pengayaan  – item 1, 2, 3, 10, 13 dan 18.

(b)             Kefahaman lanjutan tentang Pengayaan iaitu item 4, 5, 6, 7, 8, 9, 11, 12, 14, 15, 16, 17, 19 dan 20.

HASIL KAJIAN

Jadual 1  :  Taburan Skor Tahap Kefahaman Asas Tajuk Pemulihan

Tahap

Skor

Kekerapan

Peratus

Rendah

0 - 2

0

0

Sederhana

3 - 4

2

2.2

Tinggi

5 - 7

91

97.8

Jumlah

93

100

 

Tahap skor kefahaman asas tajuk Pemulihan dibahagikan kepada 3 tahap secara purata mengikut skor maksimanya 7 markah di mana tahap rendah adalah daripada

0 – 2 markah, tahap sederhana adalah daripada 3 – 4 markah dan tahap tinggi adalah daripada 5 – 7 markah berdasarkan markah yang diperuntukkan untuk setiap soalan. Daripada skor kekerapan mengenai Tahap Kefahaman Asas, guru-guru pelatih tentang tajuk Pemulihan, di dapati bahawa guru-guru pelatih Semester 3 dapat menjawab dengan betul sekurang-kurangnya 3-4 soalan daripada 7 soalan yang mengukur tahap kefahaman asas topik pemulihan.  Jadual 1 menunjukkan bahawa 97.8% (91 orang responden) dapat menjawab 5 - 7 soalan dengan betul, 2.2% (2 orang responden) dapat menjawab 3 - 4 soalan dengan betul dan tiada yang  menjawab hanya 1 - 2 soalan dengan betul.  Daripada taburan ini kita dapat membuat keputusan bahawa lebih daripada 97% responden berada di dalam kedudukan yang tinggi dalam tahap kefahaman Asas bagi tajuk  Pemulihan.    Dengan min skornya 6.3 dan sisihan piawai yang rendah iaitu 0.6993, ini menunjukkan bahawa kebanyakan guru-guru pelatih Semester 3 mempunyai kefahaman Asas yang kukuh tentang tajuk Pemulihan

Jadual 2 : Taburan Skor Tahap Kefahaman Lanjutan Tajuk Pemulihan

Tahap

Skor

Kekerapan

Peratus

Rendah

0 - 4

0

0.0

Sederhana

5 - 8

5

5.4

Tinggi

9 -13

88

94.6

Jumlah

93

100

Tahap skor kefahaman lanjutan tajuk Pemulihan juga dibahagikan kepada 3 tahap secara purata berdasarkan skor maksimanya 13 markah iaitu tahap rendah daripada

0 – 4 markah, tahap sederhana daripada 5 – 8 markah dan tahap tinggi daripada 9 – 13 markah. Dari skor kekerapan bagi tahap kefahaman lanjutan guru-guru pelatih tentang tajuk Pemulihan, di dapati kesemua guru-guru pelatih Semester 3 dapat menjawab lebih daripada 5 soalan berbanding dengan  13 soalan keseluruhannya.

Daripada jadual 2 kita boleh melihat bahawa 0% (tiada responden) yang mendapat skor 0 - 4 markah, 5.4% (5 orang responden) mendapat skor 5 – 8 markah  dan selebihnya 94.6% (88 orang responden) mendapat skor  9 - 13 markah

Dengan min taburan 11.2 dan sisihan piawainya 1.3478, sekali lagi kita boleh menyimpulkan bahawa pelatih Semester 3 ini mempunyai tahap kefahaman Lanjutan yang kukuh tentang tajuk Pemulihan .  Ini boleh ditunjukkan dengan peratusan yang tinggi 94.6% daripada jumlah responden yang boleh digolongkan di dalam tahap kefahaman lanjutan yang tinggi terhadap Tajuk Pemulihan ini.  Bakinya (5.4%) adalah tergolong di dalam tahap kefahaman yang sederhana dan tiada yang boleh digolongkan di bawah tahap pemahaman yang rendah.

Sekiranya dilihat secara keseluruhan tanpa mengira samada ianya menguji tahap pemahaman Asas ataupun Lanjutan, di dapati bahawa, semua responden mendapat skor 14-20. Ini menunjukkan tahap pemahaman mereka terhadap tajuk Pemulihan adalah tinggi dan baik

Jadual 3 :Taburan Skor Tahap Kefahaman Tajuk Pemulihan  (Am)

Skor

Tahap

Kekerapan

Peratus

0 - 6

Rendah

0

0

7 - 13

Sederhana

0

0

14 -20

Tinggi

93

100

Jumlah

93

100

Bukan setakat itu sahaja, bila dilihat min skor pula iaitu 17.55 yang mana ianya terletak di selang kelas yang tinggi bermaksud bahawa tahap pemahaman guru pelatih adalah sangat tinggi dan sisihan piawainya yang rendah 2.01 menunjukkan bahawa pelatih tidak mempunyai tahap perbezaan yang  jelas antara satu sama lain secara perbandingannya.

Kesimpulannya tahap kefahaman responden dalam tajuk Pemulihan adalah sangat tinggi.

  Analisis Skor : Tahap Kefahaman Tajuk Pengayaan

Seperti Pemulihan, ujian Pengayaan juga mempunyai 20 item yang menyoal tentang kefahaman tajuk tersebut. Item ini dibahagi kepada dua kategori yang utama, iaitu,

(i)        Kefahaman asas Pengayaan  – soalan no. 1, 2, 3, 10, 13 dan 18.

(ii)       Kefahaman lanjutan Pengayaan – soalan no. 4, 5, 6, 7, 8, 9, 11, 12, 14, 15, 16, 17, 19 dan 20

            Jadual 4 : Taburan skor Tahap Kefahaman Asas Tajuk Pengayaan

Tahap

Skor

Kekerapan

Peratus

Rendah

0 - 2

0

0.0

Sederhana

3 - 4

14

15.1

Tinggi

5 - 6

79

84.9

Jumlah

93

100

Kefahaman asas tajuk Pengayaan juga dibahagikan kepada 3 tahap secara purata mengikut skor maksimanya 6 markah berdasarkan markah yang diperuntukkan untuk setiap soalan iaitu tahap rendah daripada 0 – 2 markah, tahap sederhana daripada 3 – 4 markah dan tahap tinggi daripada 5 – 6 markah. Jadual 4 menunjukkan skor kekerapan mengenai tahap kefahaman asas guru-guru pelatih tentang tajuk pengayaan. Didapati bahawa responden dapat menjawab dengan betul sekurang-kurangnya 3 soalan daripada 6 soalan . 15% (14 orang responden) mencapai skor sederhana dan 84.9% (79 orang responden) telah mencapai skor tinggi. Min skornya 5.2 dan sisihan piawainya yang rendah iaitu 0.8068, menunjukkan tahap kefahaman asas yang tinggi terhadap topik pengayaan.

Jadual 5: Taburan Skor Tahap Kefahaman Lanjutan Tajuk Pengayaan

Tahap

Skor

Kekerapan

Peratus

Rendah

0 - 4

0

0.0

Sederhana

5 - 9

30

32.3

Tinggi

10-14

63

67.7

Jumlah

93

100

Dalam taburan skor kefahaman lanjutan tajuk pengayaan, tahap skornya juga dibahagikan kepada 3 tahap secara purata berdasarkan skor maksimanya 14 markah iaitu tahap rendah daripada 0 – 4 markah, tahap sederhana daripada    5 – 9 markah dan tahap tinggi daripada 10 – 14 markah mengikuti markah yang peruntukkan untuk setiap soalan. Daripada Jadual 5, didapati 32.3% atau 30 orang responden mencapai skor sederhana dan 67.7% atau 63 orang responden telah mencapai skor tinggi. Min skor taburan yang tinggi iaitu 10.2 dan sisihan piawainya 1.7345, menunjukkan  responden mempunyai tahap kefahaman lanjutan yang kukuh tentang tajuk pengayaan.

Jadual 6 menunjukkan taburan skor tahap kefahaman tajuk Pengayaan secara am.  Secara keseluruhannya, di dapati bahawa 82.8% daripada responden mendapat skor 14 – 20 markah manakala yang bakinya mendapat skor 7 – 13. Ini bermakna bahawa tahap pemahaman guru-guru pelatih terhadap tajuk Pengayaan adalah tinggi dan baik.  

Jadual 6: Taburan Skor Tahap Kefahaman Tajuk Pengayaan (Am)

Tahap

Skor

Kekerapan

Peratus

Rendah

0 - 6

0

0

Sederhana

7 – 13

16

17.2

Tinggi

14 – 20

77

82.8

Jumlah

93

100

Didapati min bagi taburan skor tahap kefahaman tajuk Pengayaan secara am ialah 15.41 iaitu ia berada dalam selang kelas tinggi. Ini bermaksud bahawa tahap pemahaman guru-guru pelatih adalah tinggi dan baik dengan sisihan piawainya 2.53. Ini menunjukkan bahawa guru-guru pelatih tidak mempunyai tahap perbezaan yang ketara di antara satu dengan yang lain secara perbandingannya.

Penilaian Lembaran Kerja

Tugasan lembaran kerja dibahagikan kepada dua bahagian iaitu, bahagian Pemulihan dan Pengayaan yang berdasarkan kepada tajuk-tajuk dalam sukatan KBSR.  Responden dikehendaki memberi satu aktiviti yang sesuai untuk tajuk pemulihan dan satu aktiviti untuk tajuk pengayaan.  

Pemberatan yang diberikan adalah 50% untuk tajuk Pengayaan dan 50% untuk tajuk Pemulihan.  Markah- markah ini adalah berdasarkan kepada Peraturan Memberi Markah (PMM) yang digunakan pada semester sebelumnya.

Skor bagi penilaian lembaran kerja Aktiviti Pemulihan dan juga Aktiviti Pengayaan dibahagikan kepada 4 kategori secara purata iaitu markah 0-12 pada tahap kurang memuaskan, 12-25 tahap memuaskan, 25-37 tahap baik dan 37-50 tahap cemerlang.

Jadual 7  :  Penilaian Lembaran Kerja Aktiviti Pemulihan

Tahap

Markah

Kekerapan

Peratus

Kurang memuaskan

0-11

34

36.5

92.4

Memuaskan

12-24

52

55.9

Baik

25-36

5

5.4

7.6

Cemerlang

37-50

2

2.2

Daripada jadual 7  di dapati bahawa 34 orang responden atau 36.5% menghasilkan lembaran kerja yang bertahap kurang memuaskan, 52 orang responden  atau 55.9% menghasilkan lembaran kerja yang bertahap memuaskan dan 5 orang responden atau 5.4% menghasilkan lembaran kerja bertahap baik dan selebihnya 2 orang atau 2.2% mencapai  tahap yang cemerlang.

Dalam amalan kebiasaan, markah yang kurang daripada 50 % dianggap gagal dan , markah 50 % dan lebih dianggap lulus.  Sekiranya tanggapan yang sama digunakan dalam penilaian lembaran kerja ini di dapati bahawa 92.4 % responden gagal dan hanya 7.6 % lulus.  Ini menunjukkan bahawa 92.4% responden berada ditahap yang rendah yang bermaksud mereka tidak dapat menghasilkan lembaran kerja yang baik dan sesuai untuk tajuk pemulihan. Selebihnya iaitu, hanya 7.6% yang dapat mengaplikasikan kefahaman tajuk pemulihan dengan baik.

Jadual 8 :  Penilaian Lembaran Kerja Aktiviti Pengayaan

Tahap

Markah

Kekerapan

Peratus

Kurang memuaskan

0-11

40

43.0

93.5

Memuaskan

12-24

47

50.5

Baik

25-36

5

5.4

6.5

Cemerlang

37-50

1

1.1

 

Daripada jadual 8, didapati bahawa 40 orang responden atau 43% dapat menghasilkan lembaran kerja yang bertahap kurang memuaskan, 47 orang guru pelatih atau 50.5% pula hanya dapat menghasilkan lembaran kerja ditahap memuaskan, 5 orang guru pelatih pula atau 5.4% dapat menghasilkannya dengan baik dan selebihnya iaitu 1 orang atau 1.1% menghasilkan lembaran kerja ditahap yang cemerlang.

Sekiranya amalan kebiasaan digunakan iaitu markah yang kurang daripada 50 % dianggap gagal dan , markah 50 % dan lebih dianggap lulus di dapati bahawa 93.5 % responden gagal dan hanya 6.5 % lulus.  Ini menunjukkan bahawa 92.4% responden berada ditahap yang rendah yang bermaksud mereka tidak dapat menghasilkan lembaran kerja yang baik dan sesuai untuk tajuk pengayaan. Selebihnya iaitu, hanya 7.6% yang dapat mengaplikasikan kefahaman tajuk pengayaan dengan baik.

 

Secara keseluruhannya daripada melihat data-data dalam Jadual 1 hingga 8 didapati bahawa, responden mempunyai kefahaman yang baik terhadap tajuk pemulihan dan pengayaan tetapi tidak dapat menghasilkan lembaran kerja yang memuaskan.

  PERBINCANGAN DAN CADANGAN

Secara keseluruhannya, tahap kefahaman responden terhadap tajuk pengayaan dan pemulihan samada diperingkat asas ataupun lanjutan adalah di dalam keadaan sederhana dan tinggi.  Ini menunjukkan bahawa tahap kefahaman responden adalah  teguh dan kukuh.  Ia mungkin juga bermaksud penyampaian pengajaran  teori daripada pensyarah kepada guru pelatih adalah berkesan.

Oleh itu, anggapan bahawa guru pelatih hanya mendapat pendedahan yang minima berdasarkan kepada jam yang diperuntukkan untuk pengajaran teori adalah kurang benar sama sekali kerana dapatan tinjauan ini  menyatakan bahawa kefahaman  mereka di tahap yang sederhana ataupun tinggi pada keseluruhannya. 

Ini mungkin kerana selain daripada input yang diberikan oleh pensyarah, guru pelatih juga diminta untuk mengkaji sendiri tajuk-tajuk KBSR tersebut.  Adalah benar bahawa bimbingan yang dijalankan semasa kolaborasi bersama rakan sebaya dan juga pensyarah menekankan satu pemahaman yang lengkap  terhadap sesuatu tajuk supaya tugasan yang diberikan mendapat hasil yang bermutu tinggi. 

Kita juga boleh membuat kesimpulan bahawa pensyarah juga memainkan peranan yang penting di dalam konteks kajian ini.  Boleh dikatakan keseluruhannya semua pensyarah matematik menjalankan tugas untuk mengajar tajuk pemulihan dan pengayaan dengan baik dan berkesan. 

Walaupun begitu, responden masih tidak boleh menaakul dan mengaplikasikan teori pemulihan dan pengayaan.  Ini dapat di lihat daripada lembaran kerja yang dihasilkan.  Agak aneh juga jika kita lihat mereka tidak dapat menghasilkan kerja yang baik.  Mungkin ini adalah kerana mereka tidak mempunyai pengalaman yang mencukupi di sekolah semasa menjalani praktikum. Responden juga tidak dapat menyediakan lembaran kerja yang seiring dengan keperluan murid yang perlu dipulihkan ataupun dikayakan.  Selain daripada itu, faktor masa juga memberi sedikit rintangan yang mana mereka hanya diberikan 2 minggu untuk menyediakan lembaran kerja pemulihan dan pengayaan tersebut.  Bukan itu sahaja, pada masa yang sama, mereka juga perlu membuat tugasan-tugasan lain bagi matapelajaran-matapelajaran yang lain selain daripada matematik. 

Masa pemberian tugasan lembaran kerja perlu dirancang agar diberi pada masa yang sesuai.

Daripada dapatan kajian dan perbincangan, kita boleh buat beberapa saranan yang boleh meningkatkan kualiti pengajaran dan pembelajaran khasnya bagi topik pemulihan dan pengayaan.  Antaranya adalah :

v     Meneliti semua kurikulum Pengajian Matematik, khususnya bagi kedua-dua tajuk pengayaan dan pemulihan. Ini membolehkan pelatih lebih berpeluang mempelajari bukan hanya pengetahuan tetapi juga strategi serta hands-on atau aplikasi tajuk tersebut untuk melengkapkan diri dalam menghadapi masalah pengayaan dan pemulihan di sekolah nanti.

v     Merangka semula panduan KKB bagi semester 3 yang mementingkan aktiviti menghasilkan lembaran kerja yang sesuai untuk tujuan aktiviti pengayaan dan pemulihan di sekolah kelak. Ini dapat memberi kemahiran yang bertepatan dalam menghasilkan lembaran kerja serta aktiviti yang bersesuaian.

v     Membuat satu ketetapan untuk guru pelatih menjalankan satu kajian semasa mereka keluar Praktikum di Semester 4 nanti.  Ini dapat memberi guru pelatih pendedahan secara langsung terhadap aktiviti pemulihan dan pengayaan yang dijalankan oleh sekolah.

v     Sukatan pengajaran-pembelajaran dalam topik pemulihan dan pengayaan perlu dikemaskinikan dengan menyelitkan strategi-strategi terbaru yang penting untuk pengajaran-pembelajaran murid yang bermasalah.  Ini amat perlu agar  guru pelatih tidak menghadapi masalah dalam pengajaran murid yang bermasalah dan boleh terus mengaplikasikan strategi yang dipelajari di maktab.  Contoh strategi yang boleh digunakan adalah Pembelajaran Secara Kontekstual yang mengajar mengikut konteks, minat dan kecenderungan murid terhadap sesuatu bidang dalam kehidupan seharian mereka.

Kesimpulan

Kajian ini adalah terhad kepada guru pelatih Semester 3 di Maktab Perguruan Teknik sahaja dan tidak boleh di generalisasikan kepada semua guru pelatih di maktab-maktab seluruh Malaysia.

Berdasarkan hasil kajian di dapati bahawa responden mempunyai tahap kefahaman yang baik terhadap tajuk pemulihan dan pengayaan tetapi tidak mempunyai kemahiran yang mencukupi untuk menghasilkan lembaran kerja yang bersesuaian bagi tajuk pemulihan dan pengayaan.

Oleh itu adalah penting bagi pensyarah dan pihak-pihak berkenaan untuk memastikan bahawa pengajaran-pembelajaran tajuk pemulihan dan pengayaan yang perlu menekankan bukan sahaja aspek teori tetapi juga aspek aplikasi agar dapat menyediakan guru pelatih yang mempunyai ketrampilan dan juga kemahiran yang lengkap sebelum ke sekolah.

Penutup

Tajuk ini adalah sangat penting memandangkan masalah pembelajaran yang dihadapi oleh pelajar di sekolah semakin meningkat.  Adalah penting untuk mengkaji dan melihat sejauhmana pengetahuan dan kemahiran guru pelatih kita supaya dapat disesuaikan dengan keperluan sekolah masa kini.  Tidak ketinggalan juga ialah kreativiti yang merupakan salah satu aspek yang perlu dipertimbangkan setiap kali penyediaan aktiviti pemulihan atau pengayaan. Justeru itu, tindakan susulan perlu dijalankan oleh guru pelatih agar mereka keluar dengan penuh keyakinan untuk menghadapi cabaran pengajaran-pembelajaran nanti.

Senarai Rujukan

  1. Brennan, W.K. (1974).  Shaping the Education of Slow Learners.  Routledge & Kegan Paul, London.
  2. Kamarudin Hj. Husin (1990).  Pedagogi 4.  Longman, Malaysia.
  3. Koh Boh Boon (1981).  Pengajaran Pemulihan dalam Bahasa Malaysia.  Percetakan Utusan Sdn. Bhd.
  4. Mok Soon Sang (1996). Pengajian Matematik untuk Dilpoma Perguruan. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd. Kuala Lumpur.
  5. Modul Kajian Tindakan.  Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Kuala Lumpur, 1995.
  6. Konsep dan Aktiviti: Pengajaran Pembelajaran Matematik: Nombor Bulat untuk Sekolah Rendah.  Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998.
  7. Konsep dan Aktiviti: Pengajaran Pembelajaran Matematik: Pecahan untuk Sekolah Rendah. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1998.
  8. Wong Soo Voon (1997). Rekerasi Matematik. Kumpulan Budiman Sdn. Bhd., Kuala Lumpur.
  9. Kennedy & Tipps (1994). Guiding Children’s Learning of Mathematics. Wadsworth Publishing Company, California.
  10. Seow Siew Hua (1995). Pengajaran Matematik KBSR. Fajar Bakti Sdn. Bhd.
  11. Sampson, C. (1975). Remedial Education. Routledge & Kegan Paul, London.