Aplikasi  Modul ‘Jejak Maklumat’ Dalam  Sesi Pengukuhan Pengajaran Dan Pembelajaran

 

Kamsiah Ab Rashid

Normah Abd Rahman

Noor Ashikin Othman

Jabatan ERT

 

Kajian ini dijalankan bagi mengenal pasti keberkesanan  penggunaan Modul Jejak Maklumat (MJM) dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P)  bagi tujuan pengukuhan pembelajaran. Hasil kajian menunjukkan responden memberi komitmen  yang positif dalam menjalankan aktiviti-aktiviti P&P.  Responden mempunyai persepsi yang baik terhadap MJM dengan min 3.2 dan sisihan piawai 0.4. Kajian juga menunjukkan min 3.4  dan sisihan piawai 0.4 terhadap kesesuaian aktiviti-aktiviti pengukuhan pembelajaran dalam MJM.  Dalam menemubual responden yang menunjukkan skor tinggi dalam soal selidik yang dikemukakan, responden mendapati  MJM baik kerana terdapatnya kepelbagaian aktiviti pembelajaran. Walau   bagaimanapun responden mengatakan jika MJM ini dijalankan dalam kumpulan  kecil seramai empat atau lima orang, proses pengukuhan pembelajaran akan lebih berkesan.  Proses pembelajaran menggunakan modul memberi banyak  kelebihan kepada pelajar dan guru kerana aktiviti pengajaran dan pembelajaran dapat disediakan lebih awal dan perancangan teliti akan membantu mengatasi banyak kelemahan.Kelemahan dalam pendekatan pembelajaran ini berkait dengan strategi pembelajaran yang tidak mendalam (surface) di mana pelajar lebih tertumpu kepada hanya memenuhi keperluan minimum sesuatu kursus, menghafal fakta, tiada penentuan matlamat, menganggap pembelajaran  sebagai proses pemindahan fakta semata-mata dan tidak bersungguh-sungguh dalam pencapaian ilmu.

 

Pengenalan

Pelbagai pendekatan telah diusahakan dalam sistem pendidikan untuk  meningkatkan keupayaan penguasaan pelajar dalam  proses pembelajaran  ke arah kecemerlangan pelajar seiring dengan kepesatan era komunikasi teknologi maklumat.  

Sesi pengukuhan dalam pengajaran pembelajaran adalah penting untuk memastikan tahap penguasaan  pelajar terhadap sesuatu topik yang telah dipelajari.  Kaedah “Jejak Maklumat” merupakan salah satu aktiviti bilik darjah yang boleh dilakukan dalam sesi pengukuhan  secara berkumpulan  dengan tujuan mewujudkan suasana pembelajaran yang memberansangkan terutama bagi topik-topik yang mengandungi  banyak fakta atau sukar untuk diingati oleh pelajar.

Dalam kajian ini  dua pendekatan utama yang diterapkan ialah pembelajaran koperatif dan inkuiri  bagi menjadikan sesi pengukuhan pembelajaran  sesuatu aktiviti yang menyeronokkan.  Di samping itu,  pelajar  didedahkan dengan dua kemahiran utama, iaitu kemahiran generik dan kemahiran berfikir.  

 

Penyataan Masalah.

Dalam peperiksaan teori mata pelajaran Ekonomi Rumah Tangga  (ERT)  di sekolah dan di  maktab  perguruan, didapati  kebanyakan pelajar  gagal  mencapai keputusan yang baik  disebabkan tahap penguasaan fakta  yang agak lemah.   Guru-guru  ERT sependapat menyatakan fenomena ini  disebabkan  oleh  kumpulan pelajar  yang sederhana dan lemah pencapaian akademiknya. Manakala di maktab pula,  faktor utamanya adalah kerana  pelajarnya tidak mempunyai asas pendidikan ERT, contohnya pelatih KPLI. Peserta  KSPK dan PKPG pula tidak berpeluang mempraktikkan pengajaran ERT sepenuhnya  semasa di sekolah kerana mereka hanya mengajar elektif ERT dalam mata pelajaran Kemahiran Hidup.

 

Tujuan Kajian

Kajian ini memberi tumpuan kepada  pengujian minda dalam sesi pengukuhan pembelajaran berasaskan aplikasi kemahiran generik bagi membekalkan pengetahuan dan kemahiran penguasaan fakta melalui aktiviti yang kreatif dan menyeronokkan.

 

 

Teknik  Jejak Maklumat yang merupakan satu kajian kes yang dilakukan secara kolektif  bagi meningkatkan  kefahaman  dan penguasaan pelajar  terhadap fakta-fakta dalam teori  ERT melalui aplikasi kemahiran generik.  Jejak Maklumat akan menjadikan aktiviti pengukuhan pembelajaran ERT lebih menyeronokkan.

Kajian ini bertujuan untuk:

    1. mengenal pasti  persepsi pelajar  terhadap keberkesanan aktiviti     

MJM sebagai kaedah pembelajaran untuk sesi pengukuhan pembelajaran;

    2. mengenal pasti persepsi pelajar terhadap MJM  sebagai alat P&P untuk sesi

    pengukuhan pembelajaran;

    3. mengenal pasti  perbezaan  persepsi terhadap keberkesanan  aktiviti MJM sebagai

    kaedah pembelajaran antara  faktor demografi; dan 

    4. mengenal pasti  perbezaan  persepsi terhadap  MJM sebagai alat  P&P antara       

    faktor demografi 

 

Signifikan Kajian.

Hasil kajian ini  dapat membantu pensyarah dan guru-guru ERT mempelbagaikan teknik pengajaran dalam sesi pengukuhan dan menarik minat pelajar menyertai aktiviti  pembelajaran koperatif.

 

Tinjauan Literatur

“Jejak Maklumat”  merupakan satu modul yang mengandungi gabungan beberapa kaedah  pembelajaran,  iaitu pembelajaran koperatif, pembelajaran melalui pengalaman,  pembelajaran intergratif dan inkuiri yang diterapkan dalam sesi pengukuhan pembelajaran.

Kemahiran generik juga ditekankan  dalam pengajaran dan pembelajaran adalah berdasarkan lapan kemahiran  yang disarankan bagi membentuk  pelajar  cemerlang  (Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Pendidikan, 1992).   Melalui kemahiran generik,  pelajar didedahkan kepada pembelajaran teoretikal yang berkaitan dengan sifat bertanggungjawab dan etika kerja berpasukan  (KPM, 1996).

Dalam kajian ini dua faktor utama yang  terlibat secara langsung dalam proses pengajaran dan pembelajaran, iaitu pelajar dan guru  telah  ditinjau dan dirumuskan melalui pelaksanaan  MJM.

 

Kajian berkaitan.

Secara umumnya terdapat tiga faktor utama yang mempengaruhi pencapaian akademik pelajar, iaitu  pelajar,  guru,  dan  kurikulum.  (UKM 1979; Entwrstle & Waterston  1988. Jarji et al. 1992).

Kajian mendapati pelajar yang kurang berjaya mengamalkan cara belajar yang kurang berkesan atau tidak mengetahui teknik belajar yang baik walaupun banyak menghabiskan masa dan tenaga dalam pembelajaran  (Dansereau, 1995;  Weinstein & Mayor, 1986).  Kelemahan dalam pendekatan pembelajaran ini berkait dengan strategi pembelajaran yang tidak mendalam (surface), misalnya kajian oleh Enswistle dan Waterson (1988) mendapati pelajar memberi lebih tumpuan bagi  mememuhi keperluan minimum sesuatu kursus,  menghafal fakta, tiada penentuan matlamat, melihat pembelajaran sebagai proses pemindahan fakta semata-mata dan tidak  bersungguh-sungguh dalam pencapaian ilmu.

Dapatan ini selaras dengan sebuah kajian dari Universiti Kebangsaan Malaysia yang mendapati 20% variasi dalam pencapaian pelajar disumbangkan oleh faktor pelajar. 

Terdapat guru yang tidak mengajar murid tentang ‘bagaimana’ hendak memahami sesuatu ‘petikan’ sebaliknya mereka lebih menekankan  kepada aspek ‘apa’ yang hendak difahami.  Akibatnya pelajar tidak dapat mengaplikasi ilmu yang dipelajari  kerana tidak faham mengapa ilmu tersebut perlu dipelajari (Faredah Mahadi, 1998). 

 

 

Metzler (1986) telah membuat rumusan berdasarkan lebih daripada 50 kajian lepas dan mendapati bahawa:

· guru banyak membuang masa dalam aktiviti tidak dirancang (contoh: pengurusan, pengawalan dan pengelolaan) dan hanya sedikit sahaja masa dalam pengajaran.

· murid membuang banyak masa dalam aktiviti tidak berkesan  (contoh: menunggu, mendengar dan ‘off task’)

Kajian  oleh Hamidah Talib (1999) yang telah  menjalankan  aktiviti Jejak Maklumat berasaskan kemahiran generik  di beberapa buah sekolah di daerah Kuala Kangsar, Perak mendapati pelajar mempunyai hubungan yang erat , bertanggungjawab, semangat mencuba dan aktif semasa menjalankan aktiviti.

Aplikasi kemahiran generik   diyakini berkesan seperti yang sudah biasa dijalankan  dalam bilik darjah dan banyak menyumbang kelebihan dan tidak menimbulkan masalah.  Hanya perancangan yang teliti dan penekanan yang lebih perlu diberi perhatian serta guru perlu mempunyai objektif yang jelas tentang jenis kemahiran yang hendak dikuasai oleh pelajar  (Hamisah Mustafa, 1999)

Berdasarkan huraian di atas  pensyarah atau guru  perlu menerap unsur-unsur kesepaduan dalam teknik pengajaran dan pembelajaran  supaya masa pengajaran dan pembelajaran lebih berkualiti demi kecemerlangan pelajar pada masa hadapan.

 

Metodologi Kajian

Reka Bentuk Kajian

Kajian ini ialah  kajian kes menggunakan  modul ‘Jejak Maklumat’  yang merupakan gabungan beberapa aktiviti dalam sesi pengukuhan pembelajaran.   Pelaksanaan modul ini  dibuat selepas sesuatu topik pengajaran selesai.  Kajian ini menggunakan  beberapa siri penilaian kendiri terhadap amalan pembelajaran  pelajar.  Kaedah ini diharap  sesuai untuk mengesan  tahap penguasaan pelajar yang  berbeza melalui  kerjasama berpasukan.

 

Sasaran Kajian.

Seramai 54 pelajar ERT (PKPG)  MPT/UPM  semester satu telah mengikuti kajian ini.

 

Instrumen Kajian.

    1. Modul pengajaran mengikut teknik Jejak Maklumat bagi sesi pengukuhan pembelajaran yang ditadbir oleh  tiga orang pensyarah ERT  dengan pengkaji bertindak sebagai pemerhati.

    2. Soal selidik yang mengandungi tiga bahagian bagi  meninjau persepsi responden terhadap kandungan dan keberkesanan MJM.

    3. Soalan-soalan terancang  untuk temu bual yang hanya dikemukakan kepada responden yang menunjukkan  skor tertinggi dalam soal selidik bagi tujuan mengenal pasti pandangan sebenar mereka terhadap MJM.

 

Analisis Data.

Beberapa kaedah pengumpulan dan penganalisisan data yang dilakukan ialah:

    1. Membuat perbandingan pencapaian antara stesyen dalam MJM.

    2. Soal selidik akan dianalisis secara deskriptif berdasarkan frekuensi dan peratusan

    3. Hasil temu bual ditranskrip dan dilaporkan

 

Dapatan Kajian 

 

Jadual 1

Latar Belakang Responden

   Bil

Umur

Bilangan

(%)

Pengalaman mengajar

     Bilangan

    (%)

     1

34 tahun dan ke bawah

42 (77.8)

5 tahun dan kurang

28 (51.9)

     2

35 tahun dan ke atas

12 (22.2)

6 tahun ke atas

26 (48.1)

 

 

 

 

 

           

   Kajian ini mempunyai 42 orang responden (77.8%) yang berumur 34 tahun dan ke bawah iaitu umur terendah adalah 25 tahun manakala hanya 12 orang (22.2%) sahaja berumur 35 tahun dan ke atas.  Umur tertinggi ialah  44 tahun.

Dari segi jantina, sebanyak 28 orang responden (51.9%) berpengalaman mengajar kurang daripada lima tahun.  Sebanyak 26 orang responden (48.1%) pula berpengalaman mengajar melebihi enam tahun

 

 Jadual 2

Persepsi Responden terhadap Keberkesanan MJM

 

Persepsi

N

M

SD

Keberkesanan            

  A        aktiviti Pembelajaran

54

3.4

0.4

              Modul P&P

54

3.2

0.4

 

 

 

 

Berdasarkan Jadual 2 di atas, persepsi responden berdasarkan keberkesanan  aktiviti P&P MJM menunjukkan min 3.4 dan sisihan piawai .4. Sementara itu, persepsi responden terhadap kaedah MJM menunjukkan min 3.2 dan  sisihan piawai .4. Kajian mendapati min persepsi bagi kedua-dua pembolehubah adalah hampir sama. Ini menunjukkan  persepsi responden terhadap kedua-dua pembolehubah bersandar tersebut adalah baik. 

 

Jadual 3

Komen Responden terhadap Aplikasi MJM

 

 

     Bil

Komen

       n

%

       1

MJM kaedah pembelajaran yang menyeronokkan dan berkesan dalam meningkatkan daya ingat pembelajaran 

      22

    39.0

      2

Pelbagai bahan pembelajaran boleh disesuaikan  dengan isi pelajaran dan aktiviti P & P

       5

     8.9

      3

MJM ada pelbagai idea yang sesuai dilaksanakan di sekolah

     13

    17.9

     4

MJM menggalakkan kerja bersama  dan berpusatkan pelajar

       9

    16.0

     5

MJM sesuai diaplikasikan kepada pelajar lemah kerana  aktivitinya  yang kreatif

       3

    5.0

 

 

 

 

 

 

 

 

 

 

Cadangan Responden untuk Meningkatkan Keberkesanan MJM.

Beberapa cadangan untuk meningkatkan keberkesanan MJM telah dikemukakan oleh responden. Antaranya ialah:

 

1. MJM lebih sesuai dijalankan dalam kumpulan kecil, iaitu seramai empat atau lima orang sahaja;

2. masa bagi setiap aktiviti perlu disesuaikan dengan bilangan pelajar dalam kumpulan;

3. bahan pembelajaran masih boleh diperbanyakkan lagi untuk menambah kemahiran dalam pelbagai penggunaan bahan teknologi seperti komputer;

4. pemantauan oleh guru atau fasilitator akan menjadikan kaedah MJM lebih berkesan.

 

Rumusan  terhadap Persepsi Pelajar terhadap MJM sebagai Satu Kaedah P&P dalam Sesi Pengukuhan.

 

1. Pelajar  sangat komited dan dapat menjalankan aktiviti dengan baik seperti yang dikehendaki dalam MJM;

2. Pelajar berasa seronok dan boleh menjalankan aktiviti MJM secara berkumpulan;

3. Pelbagai jawapan kepada soalan-soalan  yang dikemukakan dalam MJM merupakan idea secara sumbang saran berdasarkan pengetahuan sedia ada pelajar dan fakta dan ia dapat diselesaikan bersama ahli kumpulan;

4. Semangat kerjasama yang tinggi ditunjukkan oleh pelajar dalam menyudahkan semua tugasan dalam MJM;

5. Secara keseluruhan pelajar mempunyai persepsi baik terhadap MJM dan memberi idea untuk mempelbagaikan teknik pengajaran di sekolah;

6. MJM akan berjaya membantu pelajar menguasai dan mengingati fakta pembelajaran jika  pemantauan dan rumusan guru dilakukan secara baik;

7. Penetapan masa dan tempat haruslah dipilih bersesuaian dengan jenis aktiviti;

8. Penggunaan alatan dan bahan pengajaran dan pembelajaran perlu teliti dan dapat menarik minat pelajar.

 

Rumusan Transkrip Temu bual Persepsi terhadap MJM.

Temu bual telah dilakukan ke atas enam orang responden yang menunjukkan skor yang tinggi terhadap item-item pembolehubah bersandar daripada kategori umur di bawah 34 tahun dan pengalaman mengajar kurang daripada enam tahun. Kesemua responden mengatakan bahawa MJM adalah satu kaedah P&P yang baik dan boleh meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran.  Mereka mengatakan bahawa  aktiviti pembelajaran yang  dijalankan boleh menarik minat pelajar mengambil bahagian.  Bagaimanapun penelitian harus dibuat dalam menyediakan bahan bantu belajar, pemantauan dan  bimbingan supaya pelajar tidak mengambil kesempatan untuk bermain semasa aktiviti dijalankan terutama jika bilangan ahli dalam kumpulan  ramai.  Kesimpulannya responden mencadangkan supaya aktiviti yang melibatkan penggunaan komunikasi teknologi maklumat boleh diberi keutamaan supaya proses mengesan maklumat menjadi lebih bermakna.

Temu bual ke atas tiga orang responden yang mempunyai skor yang tinggi bagi kumpulan umur melebihi 35 tahun dan pengalaman mengajar melebihi enam tahun mengatakan bahawa MJM adalah satu kaedah pembelajaran yang baik dan sesuai dilaksanakan di sekolah kerana aktivitinya  boleh menarik minat pelajar. Pemilihan aktiviti perlu disesuaikan dengan kumpulan pelajar yang terlibat bagi menggalakkan  penglibatan sepenuhnya. Menurut responden, MJM juga boleh membantu pelajar mengingat sesuatu fakta atau maklumat penting mengenai sesuatu topik melalui aktiviti sumbang saran oleh ahli kumpulan.  Di samping itu responden juga berpendapat aktiviti MJM dapat memupuk sifat kepemimpinan.  Kumpulan ini mencadangkan supaya kesesuaian masa, tempat dan alatan pembelajaran diambilkira bagi menjamin keberkesanan penggunaan MJM.

 

Bibliografi

Chan Foong Mae,   (     ).  Sistem Pembelajaran Intergratif, Pusat Perkembangan Kurikulum.  Kementererian Pendidikan Malaysia

Cohen, L.  & Manion, L. (1985).  Research Methods In Education.  2 nd ed. London Croom Helm.

Dansereau, D.F. (1985).  Learning Strategy Research, In J.W. Segal, S.F. Chipman, and R. Glaser (Eds), Thinking and Learning Skills (vol.I) London: Lawrence Erlbaum Associates Publisher.

Elliot, J. (1991).  Action Research for Educational Change.  Open University Press

Grundy, S. & Kemmis, S. (1981).  Educational Action Research in Australia State of Art (An Overview). In Kemmis, S. & Mc Taggart, R. (eds.) The Action Research reader 3 rd ed. Geelong, Australia: Deakin University Press:  321-335.

Mc Kernan, J. (1991).  Curriculum action research :  A handbook of methods and resourch for reflective practionerLondon: Kogan Page.

Oja, S.N. & Smulyan, L. (1989).  Colloborative action reseach:  A developmental approach.  London:  Falmer Press.

Salleh  Hassan, (1996).  Konstruktivism dalam pedagogi. Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Berita Kurikulum ‘Kemahiran Generik’  Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.  Jilid 8, Bil. 2: Issn 0128-8709. ( Dis., 1995)

Draf Perincian Kemahiran Generik, Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia.

Kemahiran Generik, Bidang Penyelidikan & Penilaian , Pusat Perkembangan Kurikulum, Kementerian Pendidikan Malaysia. ( Julai, 1995).  

        Kementerian Pendidikan Malaysia (Mei, 1996). Rancangan pelaksanaan percubaan program kemahiran generik. Kuala Lumpur:  Pusat Perkembangan Kurikulum.