Percampuran  Kod Dalam Bahasa  Melayu

 

 Suthanthiradevi A/P J.N.J.Money

Jabatan Pengajian Melayu

Maktab Perguruan Teknik

Kuala Lumpur

 

Malaysia ialah sebuah negara yang unik kerana di sini terdapat pelbagai  etnik  seperti  Melayu, Cina, dan India (untuk kumpulan terbesar) dan beberapa kumpulan minoriti misalnya suku-suku kaum asli Temiar, Jakun, Semang dan  Mah Meri di Semenanjung Malaysia. Mereka menuturkan pelbagai jenis bahasa. Sementara di Sabah terdapat lebih daripada 50 jenis bahasa antaranya bahasa Kadazan, Dusun, Melayu Brunei dan Bajau. Di Sarawak pula terdapat lebih kurang 32 jenis bahasa seperti bahasa  Iban, Bidayuh, Melanau  dan Kenyah. Setiap kaum yang berlainan ini menggunakan bahasa masing-masing dalam aktiviti harian mereka kecuali apabila mereka  berhubung dengan  kaum-kaum lain maka bahasa Melayu yang merupakan bahasa rasmi atau Bahasa Inggeris atau campuran kedua-duanya akan digunakan bersama-sama dengan dialek masing-masing.

 

 Percampuran kod (code mixing) merupakan satu fenomena biasa di kalangan mereka yang boleh berbahasa lebih daripada satu. Percampuran kod berlaku apabila seorang bertutur mencampuradukkan bahasa atau dialek dengan bahasa atau dialek yang lain atau antara satu dialek dengan dialek-dialek lain. Fenomena ini amat berleluasa di Malaysia kerana di sini terdapat pelbagai jenis bahasa dan dialek seperti bahasa Melayu, Cina, Tamil dan suku kaum serta dialek tempatannya.

 

Definisi Konsep

Percampuran kod (code-mixing) berlaku apabila seseorang itu menukar bahasanya secara berganti-ganti untuk satu topik perbincangan yang sama. Misalnya perkara yang dibicarakan ialah ekonomi semasa. Penutur tadi akan bercakap dalam Bahasa Inggeris, kemudian disambung dengan ayat-ayat dalam bahasa Melayu. Selepas itu berbalik semula menggunakan bahasa Inggeris. Kadang-kadang istilah dipakai bertukar ganti. Proses yang sama juga mungkin berlaku apabila seseorang menggunakan bahasa Melayu yang dicampurkan dengan dialek-dialek masing-masing ketika berbicara. Proses ini berlaku terus-menerus sehingga ke akhir perbincangan.

 

 Percampuran Kod

Percampuran  kod adalah satu keadaan di mana penutur berbicara menggunakan dua atau lebih bahasa sama ada  bahasa-bahasa besar seperti bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil ataupun menggunakan dialek atau ideolek. Percampuran kod berlaku apabila sipenutur mengetahui lebih daripada satu bahasa dengan kata lain penutur ini adalah dwibahasaan. Dwibahasaan dikenali juga sebagai bilingualisme, di mana penutur menggunakan dua bahasa dalam kehidupan hariannya. Penutur menggunakan kedua-dua bahasa ini sebagai bahasa basahannya di mana seseorang itu menggunakan bahasa tersebut bertukar ganti contohnya sekejap Melayu sekejap Inggeris dan seterusnya.

 

 Menghuraikan makna percampuran kod

Percampuran kod boleh berlaku apabila seseorang itu mengetahui dan menguasai lebih daripada satu bahasa. Jika sipenutur dapat menguasai sepenuhnya antara dua bahasa tersebut ia dikenali sebagai ambilingual. Pengetahuan tentang kedua-dua bahasa itu tidak sama baik pula  dipanggil dwibahasaan.

 Dalam membincangkan percampuran kod kita tidak boleh lari daripada istilah-istilah berikut: penukaran kod (code-switching), perubahan kod (code alternation), percampuran bahasa (language mixing), dan kadang-kadang perpindahan kod (code-shifting). Istilah-istilah ini muncul secara tekal dalam perpustakaan professional dan para sarjana jarang bersetuju mana yang harus digunakan dan pada waktu bila.

 Semua istilah tersebut merujuk kepada hakikat bahasa sesetengah penutur yang mahir dalam dua ataupun lebih banyak bahasa menggabungkan kemahiran dwibahasaan atau multilingual itu dalam penuturan mereka sehinggakan bahasa pertama (B1), biasanya bahasa ibunda penutur dan bahasa kedua (B2) biasanya bahasa yang diperolehi ketika remaja atau dewasa berkongsi tanggungjawab untuk menyampaikan mesej, terutamanya dalam perhubungan tidak rasmi (tidak formal).

 

 Bakamba (1988) (dipetik dari Jurnal Dewan Bahasa Mei 1995) menegaskan bahawa percampuran bahasa  harus dipilih sebagai istilah yang sesuai untuk merujuk kepada alternasi dalam sesebuah kalimat. Perubahan kod dan percampuran kod adalah istilah umum dan tidak merujuk kepada mana-mana jenis penukaran kod yang khusus.

 

 Gardner-Chloras dalam rencananya “Code-mixing In Relation To Language Contact and Convergence” menyatakan bahawa keselarasan campuran kod dapat dicapai dengan menekankan perlunya percampuran kod walau dalam bahasa apa sekalipun.

 

 Percampuran kod mungkin berlaku apabila terjadinya kahwin campur. Ia lebih menggambarkan keinsafan bahawa perbualan bercampuran lebih sesuai daripada perbualan satu bahasa.

 

 Di Malaysia dialek-dialek tempatan memainkan peranan yang penting dalam proses percampuran kod ini. Contoh yang jelas adalah perbezaan kosa kata yang digunakan antara bahasa Melayu baku  (bahasa  standard di Malaysia) dengan dialek Terengganu.

 

a.  Penggantian konsonan [m], [n],  ke  [ng]

 

Bahasa Melayu Baku                  Dialek Terengganu

 

Dalam

Malam

ikan

[dalaŋ]

[malaŋ]

[ikaŋ]

 

b. Penghilangan konsonan

 

Bahasa Melayu Baku                  Dialek Terengganu

 

sampai 

bantal

[sapa]

[bata]

 

                                          

c. Konsonan [s], [f] di akhir diganti dengan [h]

 

 Bahasa Melayu Baku                 Dialek Terengganu

 

panas

maaf

[panah]

[maah]

 

                                               

d. Penghilangan diftong

 

 Bahasa Melayu Baku                 Dialek Terengganu

 

kedai

pisau

amboi

[koda]

[pisa]

[ambo]

 

 

Perbezaan makna

 

 Perkataan                  Bahasa Melayu Baku          Dialek Terengganu

 


 

kopek

teksi

kupas

kereta sewa

tetek

beca

 

                Ada pada ketika yang lain pula bahasa kedua (asing) ini digunakan sebagai satu istilah dalam perbualan dan difahami oleh ramai penutur dan pendengar. Contohnya, perkataan “soru” yang diambil dari bahasa Tamil bermakna “nasi” dan kalau dalam perbualan penutur mengatakan “miss soru” bermaksud “tidak dapat makan nasi”. Begitu juga perkataan “teenspeak” yang bermakna balak tetapi bila dituturkan maknanya teman lelaki yang berperut buncit. Perkataan lain yang selalu kedengaran ialah “tak ada mood, naik hot”.

 

                Jadi daripada contoh-contoh di atas didapati bahasa kedua ini kadang kala telah diasimilasikan ke dalam bahasa Melayu sendiri dan dapat pula difahami oleh orang lain, walaupun dari golongan rendah (kelas rendah).

 

 Menganalisis contoh-contoh percampuran kod dalam perbualan

Di Malaysia, bahasa Inggeris dipelajari di sekolah-sekolah dan mereka yang boleh berbahasa Inggeris dianggap satu kelebihan. Oleh itu ada penutur  yang mencampuradukkan bahasa (percampuran kod) Melayu dan Inggeris atas alasan menunjukkan kecekapan walaupun sedar tentang ketidakseimbangan linguistiknya. Di bawah ini diberikan contoh dialog yang mengandungi percampuran kod.

 

 A:

What do you think about women working?

B:

Oh! About the recent controversy? I tak bersetujulah kalau women stay at  home.

C:

You bersetuju ke dengan pendapat the hand that rocks the cradle rules the world?

A:

Iala, tetapi bukan semua wanita bernasib baik. Not all women are married to good providers. Lagi pula, we want to give the best to our children.

B:

I bersetuju! Kalau cerai siapa nak tanggung anak?

C:

Betul, betul! I would like to have my own money to help keluarga!

A:

You bersetuju dengan pendapat kalau women work, banyak masalah sosial yang akan timbul.

B:

That is a good point. But then orang tua pun banyak menimbulkan  masalah sosial, bukan kanak-kanak saja.

A:

Women pandai mengimbangkan tugasnya di pejabat, di rumah, sebagai ibu dan isteri.

B:

Tapi berapa ramai yang pandai mengimbangkan?

A:

I nak bekerja supaya dapat meluaskan fikiran dan pandangan.

C:

Sometimes, one breadwinner in the family is not enough. You tahulah the rising cost of living sekarang ini; especially kalau ada anak lima.

 

 Percampuran kod di Malaysia memang menjadi kebiasaan dalam perbualan harian mereka. Ini kerana hampir semua  penduduk di Malaysia boleh bercakap dalam lebih daripada satu bahasa sebagai contoh orang-orang Melayu yang bertutur mengikut dialeknya boleh bercakap atau faham bahasa Melayu baku. Masyarakat Cina pula kadang kala menguasai empat bahasa, iaitu bahasa ibundanya, misalnya bahasa Kantonis dan Mandarin yang diajarkan di sekolah-sekolah Cina, Bahasa Melayu dan juga Bahasa Inggeris yang menjadi bahasa  wajib dipelajari di sekolah-sekolah bantuan kerajaan. Mereka yang tinggal di sempadan Malaysia- Thai pula dapat memahami bahasa Thai.

 Percampuran kod ini berlaku sama ada dalam majlis-majlis rasmi atau tidak rasmi. Antara tempat-tempat di mana percampuran kod digunakan ialah di seminar-seminar ataupun di mesyuarat penting di jabatan kerajaan. Contoh dialog antara pengerusi dengan ahli jawatankuasa.

 


 

Penutur A:

Tuan Pengerusi, saya pada dasarnya menyokong pendapat tuan tetapi we must be  careful not to hurt the feeling of the public.

Penutur B:

Yes, yes, I agree with you. Bagaimana pendapat orang lain.

Dalam mesyuarat antarabangsa yang mengandungi delegasi daripada negara lain, percampuran bahasa Melayu dan Inggeris memang selalu berlaku. Ini terutamanya ketika upacara pembukaan dan juga di majlis-majlis penutupan.

 

 Dalam majlis-majlis ini bahasa Melayu digunakan pada awal dan akhir upacara sementara pada waktu lain bahasa Inggeris  digunakan. Sebagai contoh ucapan dalam majlis-majlis rasmi.

 


 

a.

Pada  permulaan majlis

Pengerusi majlis:

 

 Selamat petang and welcome to our 4th annual meeting. We are very please to see so many guests turn up for todays conference.

b.

Pada akhir upacara

Pengerusi majlis:

 

 Setelah berkumpul selama 3 hari dan dapat mengadakan perbincangan tentang kaedah hidroponik ke alaf baru, we were very please to say how fortunate we are to have all of you as our guest of honour and hope to see you next time for more information on various ways of cultivation vegetables and plants.

 

 Percampuran kod ini juga berlaku kepada kanak-kanak yang dibesarkan oleh ibu bapa yang mempunyai latar belakang bahasa yang berlainan. Kanak-kanak ini telah didedahkan kepada campuran bahasa hinggakan setiap perbualannya menampakkan percampuran kod ini. Contoh perbualan antara kanak-kanak ini dengan mereka yang tahu tentang latar belakang keluarga tersebut.

 


 

Penutur A:

Where’s daddy, Ady?

Penutur B (kanak-kanak):

Dady opis.

Penutur A:

Let’s go mandi

Penutur B (kanak-kanak):

Nanak mandi, cold

 

Percampuran kod juga boleh dilihat di dalam mesyuarat akademik, walaupun semua yang menghadiri mesyuarat tersebut boleh bertutur bahasa Melayu dengan baik. Selalunya percampuran kod bahasa ini menggunakan satu kosa kata atau frasa dalam Bahasa Inggeris.

 Contoh yang dapat diperhatikan:

 

i.  Peperiksaan yang diadakan Cuma untuk melihat sejauh mana anda faham subjek yang    diajar. Anda tidak payah prepare.

ii. Mungkin some of them over confident.  They never take time untuk read  the instruction.

iii. Kita masih insist untuk use English as our medium pada waktu mesyuarat jabatan.

 

 Percampuran kod bahasa Melayu baku dengan Bahasa Indonesia juga berlaku. Ini kerana ramai pendatang dari negara jiran tersebut bekerja di sini. Contoh dialog antara Penutur A (orang Melayu Malaysia) dan Penutur B (pendatang dari Indonesia):

 


 

Penutur A:

Dah berapa lama kamu bekerja di sini.

Penutur  B:

Nggak lama lebih kurang satu tahun.

Penutur A:

Dah kahwin.

Penutur  B:

Sudah. Ada 3 anak. Yang satu sudah dewasa. Dua lagi masih sekolah di Bandung.

Penutur A:

Bila habis kontrak dengan syarikat.

Penutur  B:

Nggak tahu, mungkin 2 mungkin 3 taun. Syarikat nggak benarkan saya simpan pas kerja saya.

                Dialek-dialek tempatan juga memainkan peranan ketika berlakunya perbualan antara pengguna  dialek yang sama, walaupun kadangkala Bahasa Melayu baku digunakan juga. Contoh dialek Perak dengan bahasa baku. Kedua-dua penutur boleh menggunakan dialek yang sama.

 


 

Penutur A:

Aku tak gemor betul dengan perangai Si Abu tu. Dah le maleh, paneh baran pulak tu. Habih semua orang   dikatanya. macan le dia tu rajin sangat.

Penutur B:

Aku dah kata dah, Si Abu ni bukan boleh diajak berunding. Buat sakit hati aje. Berbulu aku tengok mukenye.

 

                Dalam dialog tersebut ada beberapa frasa digunakan. Contohnya “paneh baran”,“sakitkan hati”, dan berbulu aku tengok mukanya”. Frasa-frasa yang digunakan ini dapat difahami oleh mereka yang banyak berhubung dengan masyarakat Melayu di Semenanjung Malaysia dan frasa ini selalu dipakai dalam perbualan-perbualan harian.

                                           

Kesimpulan

Percampuran kod bahasa ialah fenomena biasa bagi semua masyarakat di dunia.  Penutur yang boleh berbahasa lebih daripada satu, tidak kira bahasa utama atau dialek-dialek daerah secara sedar atau tidak akan mencampurkan bahasa-bahasa yang diketahuinya mengikut situasi semasa. Ia kadang kala menambah-mesra perhubungan antara satu sama lain, apabila percampuran bahasa digunakan. Sejak kebelakangan ini pula ahli-ahli lingistik semakin sedar akan wujudnya kesejagatan bahasa-bahasa. Ini dapat dilihat apabila dua penutur yang  berlainan bahasa menggunakan satu bahasa standard yang dapat memudahkan maklumat yang ingin disampaikan difahami. Oleh itu tidak mustahil pada masa akan datang setiap penutur dapat memahami bahasa penutur lain jika ia dicampuradukkan dengan bahasa standard di sesuatu tempat. Apabila keadaan ini berlaku, sudah tentu semua penutur mengetahui makna hampir setiap ujaran dan bahasa menjadi satu yang sejagat sifatnya.

 

 Bibliografi

Amran Kasmin.(1991). Religion and Social Change Among The Indegenous People Of The Malay Peninsula, Kuala Lumpur:           Dewan Bahasa dan Pustaka

 

Asmah Hj. Omar .(1982). Language and Society In Malaysia. Kuala   Lumpur:Dewan Bahasa dan Pustaka

 

James T. Collins. (1969). Antologi Kajian Dialeks Melayu,  Kuala Lumpur: Dewan  Bahasa dan Pustaka.                      

 

Jurnal Dewan Bahasa,  Mei 1995