Pengaruh Bahasa Ibunda Dalam Proses Pembelajaran Bahasa Melayu Murid-Murid India

 

Suthanthiradevi A/P J.N.J.Money
Master Sains
Jabatan Pengajian Melayu,

 ABSTRACT

             This study seeks to find out the  the effects of mother-tongue – otherwise referred to as L1 intterference in the process of learning Malay- otherwise referred to as L2 among Indian students in Buntung, Perak. Research conducted made use of students’ written composition, produced in a formal classroom learning situation, their oral communication in BM and answers to a questionnaire given at the end of the study.

             Results of the content analysis on the subjects’ written compositions produced in a formal class-learning situation indicates that vowel replacement in L2 is highly correlated with similar lexical items prevalent in L1 interference is apparent in verb fronting and how conjunctions such as language transfer also occurs at the semantic level, where meaning in L1 is imposed on L2.

             Analyses of subjects’ oral communication reveals frequent use of L1 glottal stops /?/ for many L2 root words and words with affixes. On the other hand, the phenomenon of code-mixing in L1 and L2 is detected especially in the construction of interrogatives.

             In an informal learning situation where data is collected by means of questionnaires, it is noted that the most dominant element of MT extralinguistics interference is language used everyday. Suggestions put forward in this study include the use of enrichment and reinforcement activities in L2 .

  Latar belakang Kajian

Matlamat kerajaan Malaysia menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar sepenuhnya daripada peringkat pengajian dasar hingga ke peringkat pengajian tinggi, jelas terlaksana secara menyeluruh mulai tahun 1983. Walaupun penggunaan bahasa Melayu sudah begitu meluas di dalam dan di luar sekolah, namun tanda-tanda menunjukkan bahawa sebahagian murid-murid di negara ini masih dipengaruhi oleh bahasa ibunda mereka khususnya masyarakat bukan Melayu.

 Penyataan  masalah

Daripada tinjauan awal yang dibuat oleh pengkaji di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJK(T)) Gunung Rapat, Ipoh di Daerah Kinta, memang terdapat berbagai-bagai masalah dalam mempelajari bahasa Melayu oleh murid-murid berketurunan India.  Antara masalah yang timbul dan dapat dikesan secara am ialah murid-murid India menghadapi masalah sebutan huruf ‘r’ semasa pembelajaran bahasa Melayu. Didapati juga tidak semua guru bahasa Melayu berminat untuk mengajar mata pelajaran tersebut di  SJK(T).

            Sehubungan dengan pengaruh bahasa ibunda bagi pembelajaran bahasa Melayu di SJK(T) itu juga, suatu fenomena dapat dikesan. Murid-murid India menghadapi masalah menggunakan vokal-vokal atau konsonan-konsonan tertentu bahasa Melayu yang agak asing kepada mereka. Apabila kata-kata Melayu atau kata-kata pinjaman dari bahasa lain dituturkan berlaku perubahan bunyi-bunyi vokal dan konsonan yang terhampir dengan bahasa Tamil. Bahasa ibunda murid-murid India dirasakan mengganggu sebutan baku bahasa Melayu.

 Pertukaran bunyi-bunyi tertentu mengakibatkan terjadinya proses penggantian konsonan, proses penghilangan konsonan dan proses menambah bunyi hentian glottis. Masalah percampuran kod (code mixing) antara bahasa Tamil dengan bahasa Melayu turut membantutkan pembelajaran bahasa Melayu murid-murid India. Masalah ini berkait dengan kemunculan unsur-unsur linguistik bahasa ibunda dari semasa ke semasa ketika murid-murid berkenaan menggunakan bahasa Melayu.

            Kelainan struktur ayat bahasa Tamil dengan bahasa Melayu turut mempengaruhi proses pembelajaran bahasa murid-murid India. Kelainan-kelainan tersebut tertumpu kepada Hukum DM (diterangkan-menerangkan) dalam kedudukan frasa nama dalam ayat. Binaan ayat biasa (Subjek + Predikat) bahasa Melayu mengutamakan frasa nama pada awal ayat. Manakala binaan ayat bahasa Tamil lebih mementingkan struktur Predikat + Subjek dengan kedudukan frasa nama diletak ditengah atau di akhir ayat.

 Objektif kajian

Kajian ini mengemukakan tiga objektif seperti yang berikut:

1.      Untuk mengenal pasti pengaruh bahasa ibunda yang terdapat dalam penulisan karangan bahasa Melayu murid-murid India.

2.      Untuk mengenal pasti unsur-unsur linguistik bahasa ibunda yang terdapat dalam pertuturan murid-murid India semasa mereka mempelajari bahasa Melayu di dalam bilik darjah.

3.      Untuk menentukan pemboleh ubah ekstralinguistik bahasa ibunda yang dominan di kalangan murid India.

 Soalan Kajian

Kajian ini akan cuba menjawab soalan-soalan yang berikut:

  1. Sejauh manakah unsur-unsur linguistik bahasa ibunda (leksikal, makna kata, imbuhan dan binaan ayat) mempengaruhi markah ujian karangan murid-murid India?
  2. Apakah  unsur-unsur linguistik bahasa ibunda yang terdapat dalam pertuturan percampuran kod bahasa Melayu-bahasa Tamil murid-murid India?
  3. Sejauh manakah perbezaan kekerapan pembolehubah-pembolehubah mempengaruhi penggunaan bahasa harian, sikap dan pendedahan bahasa murid-murid India itu?

Kepentingan kajian

Kajian ini penting kepada pihak Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) Kementerian Pendidikan, hasil kajian ini nanti difikirkan boleh dijadikan panduan untuk sebarang perubahan kurikulum yang hendak dilakukan. Ia dapat  dan mungkin boleh dijadikan sebagai asas untuk mengadakan sebuah buku panduan atau rujukan untuk guru-guru bahasa yang hendak mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu di SJKT.

Kajian ini berfaedah untuk menjelaskan perbezaan struktur bahasa ibunda murid-murid India dengan bahasa Melayu. Bidang bermasalah akibat perbezaan tersebut dapat diketahui melalui perincian hasil penulisan murid-murid India. Maklumat  daripada perincian itu dapat membantu guru meramalkan masalah yang dihadapi oleh murid-muridnya. Selanjutnya guru dapat melakukan kerja pembetulan latihan bahasa dengan lebih berkesan.

            Kajian ini boleh menjadi panduan kepada guru-guru yang mengajar bahasa Melayu di sekolah khususnya di SJKT. Juga menjadi panduan kepada Panitia mata pelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Pihak panitia boleh memikirkan cara mengintepretasi kandungan kurikulum ke dalam bentuk yang sesuai dengan latar belakang murid-murid India.

  Batasan kajian

           Subjek kajian jenis deskriptif ini terbatas kepada murid-murid India yang sedang belajar di SJKT  Sg.Pari dan SJKT Methodist, Buntung, Ipoh, Perak Darul Ridzuan. Mereka terdiri daripada murid-murid tahun enam sahaja.

            Pengaruh bahasa ibunda dalam proses pembelajaran bahasa Melayu yang hendak dikaji dibataskan kepada dua unsur utama. Unsur pertama ialah unsur-unsur linguistik yang merangkumi aspek leksikal, makna kata, imbuhan dan binaan ayat dalam aspek penulisan dan pertuturan murid-murid India. Unsur kedua ialah unsur-unsur ekstralinguistik yang merangkumi aspek penggunaan bahasa harian, pendedahan bahasa dan sikap murid-murid India terhadap bahasa Melayu.

 Definisi Operasional

1.                  Pengaruh  bahasa ibunda

Unsur-unsur linguistik bahasa pertama (Tamil) yang diserap ke dalam penulisan atau pertuturan bahasa Melayu. Unsur-unsur tersebut hadir dalam bentuk fonem, morfem, semantik, frasa atau sintaksis.

Unsur-unsur ekstralinguistik bahasa pertama (Tamil) yang bersifat positif atau negatif terhadap pembelajaran bahasa Melayu. Unsur-unsur tersebut ialah penggunaan bahasa harian, sikap dan pendedahan bahasa murid-murid India.

  2.                  Bahasa Melayu

Bahasa Melayu ialah bahasa ibunda etnik Melayu. Nama ‘Bahasa Malaysia’ mula digunakan secara meluas selepas 13 Mei 1969 untuk tujuan politik, iaitu untuk menanamkan perasaan milik bersama terhadap bahasa itu di kalangan rakyat Malaysia  yang berbilang kaum. Baru-baru ini pada tahun 1992, nama bahasa Malaysia telah ditukar semula kepada bahasa Melayu.

  3.                  Proses Pembelajaran Bahasa Melayu

Proses pembelajaran bahasa Melayu merujuk kegiatan memperoleh ilmu pengetahuan bahasa Melayu. Dalam kajian ini, pengkaji akan menyentuh proses pembelajaran yang berlaku pada struktur ayat dan pemilihan kata.

            Dalam konteks kajian ini, pengajaran dan pembelajaran bahasa Melayu ini ialah murid-murid India cuba memperolehi dan memanfaatkan daripada proses pengajaran dan pembelajaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.

 Tinjauan Literatur

            Ringbow (1976:1-14) telah mengkaji tentang pengaruh bahasa ibunda dalam proses mempelajari bahasa kedua. Kumpulan murid berbangsa Swedish dan Finnish dijadikan subjek kajian. Dua kumpulan murid tersebut mempelajari bahasa Inggeris sebagai bahasa kedua. Pada akhir kajian beliau mendapati murid-murid Finnish kurang dipengaruhi pemindahan bahasa ibunda berbanding murid-murid Swedish. Murid-murid Swedish hidup dalam masyarakat yang menggunakan bahasa Sweden sebagai bahasa harian, manakala murid-murid Finnish hidup dalam masyarakat multilingual. Ternyata Ringbom menghubungkan dapatannya dengan faktor persekitaran bahasa murid-murid berkenaan. Beliau merumuskan bahawa faktor persekitaran bahasa memainkan peranan yang penting dalam pemerolehan bahasa kedua.

            Sikap mempelajari bahasa kedua pernah juga dikaji oleh Nguyen (1987:110-112). Responden beliau ialah murid-murid Asia- Amerika. Mereka terdiri daripada murid-murid Filipina, Cina, Jepun, Korea dan Vietnam. Kajian beliau dibahagikan kepada dua peringkat. Di peringkat yang pertama beliau menggunakan soal selidik. Di peringkat kedua pula beliau telah menjalankan satu kajian mikro ke atas murid-murid Cina.

            Kajian peringkat pertama menunjukkan murid-murid Asia-Amerika tidak menyenangi pembetulan kesalahan bahasa yang dilakukan secara langsung. Di samping itu, mereka mempelajari bahasa Inggeris kerana dorongan motivasi instrumental. Mereka lebih berminat mempelajari bahasa Inggeris secara berkelompok. Pembelajaran  bahasa menggunakan cara demikian boleh mengurangkan persaingan dan meningkatkan kerjasama antara mereka.

            Di peringkat kedua kajian Nguyen (1987) telah membandingkan sikap murid-murid Cina Kantonis terhadap bahasa ibunda dan bahasa keduanya. Beliau juga ingin mengenal pasti kaedah pengajaran bacaan yang digunakan oleh murid-murid tersebut.

Beliau mendapati bahawa murid-murid yang bersikap bangga dengan bahasa ibunda mereka lebih gemar menggunakan Kaedah Terjemahan. Bagi murid-murid yang tidak bersikap demikian Kaedah Terus adalah lebih sesuai.

            Persekitaran bahasa memainkan peranan yang penting dalam pemerolehan bahasa kedua seseorang murid.  Keadaan sedemikian dialami juga oleh murid-murid India.  Persekitaran bahasa  murid-murid tersebut  masih didominasi oleh bahasa Tamil. Bahasa tersebut digunakan sebagai bahasa harian terutama dalam berkomunikasi dengan individu atau kelompok daripada suku yang sama. Keamatan penggunaan bahasa ibunda ini tidak hanya berlaku di luar sekolah. Pada masa pelajaran bahasa Melayu sedang diajar oleh guru, penggunaan bahasa ibunda masih berleluasa (Farid M.Onn dan Ajid Che Kob, 1981). Hal demikian terjadi kerana persepsi mereka tentang linguistik bahasa Tamil telah mantap dalam sistem kognitif mereka. Persepsi murid tentang aspek semantik, leksikal dan idiom bahasa ibunda mempengaruhi unsur-unsur linguistik dalam bahasa kedua (Kellerman, 1978; Thomson dan Kuafman, 1990). Akibatnya daripadanya, apabila murid-murid menggunakan bahasa Melayu akan berlaku kesalahan ke atas kosa kata bahasa Melayu tersebut (Alias Shamsuddin, 1969; Abdul Hamid Mahmood, 1990).

            Daripada kajian Abdul Hamid Mahmood ( 1990), terdapat contoh kesalahan kosa kata bahasa Melayu yang dilakukan oleh murid-murid daripada pelbagai bangsa di Malaysia. Beberapa kesalahan daripada contoh tersebut serupa dengan kesalahan yang sering dilakukan oleh murid-murid India. Misalnya, kata /dadah/ menjadi /dada/, kata /besar/ menjadi /busar/ dan /seluar/ menjadi /silvaaru/.

            Kesalahan  perkataan-perkataan bagi contoh yang diberi itu terjadi kerana murid-murid India selaku penutur-penutur natif bahasa Tamil tidak mempunyai cukup pengetahuan tentang wacana  medan makna bahasa Melayu (Jamaliah Mohd. Ali, 1990).   

            Sikap merasa bangga terhadap bahasa ibunda akan menjejaskan penguasaan bahasa sasar jika sampai bahasa sasar diabaikan (Farid M.Onn dan Ajid Che Kob, 1981; Abdul Hamid Mahmood, 1990).  Murid-murid India sendiri merasa bangga dengan bahasa ibundanya. Oleh itu mereka mempelajari bahasa Melayu kerana didorong oleh motivasi instrumental. Murid-murid Melayu pula mempelajari bahasa Melayu kerana motivasi integrative dan instrumental. Di sini tentulah terdapat jurang perbezaan penguasaan bahasa Melayu antara murid-murid India dengan murid-murid Melayu.

Kaedah dan prosedur kajian

Teori Behaviorisme Bertujuan (Purposive Behaviorism) dijadikan kerangka teori kajian ini. Teori tersebut diasaskan oleh Edward Chace Tolman (1886-1959). Unsur-unsur utama dan jenis-jenis pembelajaran Teori Behaviorisme Bertujuan disimpulkan dalam Rajah 1.

            Kerangka konseptual kajian ini dibina berpandukan dua unsur utama dan tiga jenis pembelajaran yang terkandung dalam teori Behaviorisme Bertujuan. Dua unsur utama teori tersebut dikaitkan dengan pembolehubah-pembolehubah tidak bersandar kajian ini. Tiga jenis pembelajaran dalam teori tersebut pula dikaitkan dengan pembolehubah-pembolehubah bersandar (lihat  Rajah 2).

            Seramai 180 murid dari dua buah sekolah dijadikan subjek kajian. Murid-murid tahun enam dari SJKT Sg. Pari, Buntung  seramai 131 orang dan SJKT Methodist, Buntung seramai 49 orang terdiri daripada kaum India. Umur mereka lebih kurang dua belas tahun.

            Kaedah kajian ini berbentuk deskriptif dari jenis kajian kes. Penyelidik mengkaji beberapa aspek pembolehubah persekitaran bahasa murid. Penekanan kajian kes adalah kepada dua aspek. Pertama, pemahaman sebab murid-murid dipengaruhi bahasa ibundanya. Kedua, cara pengaruh bahasa ibunda wujud dalam penulisan dan pertuturan bahasa Melayu murid. Bagi aspek pertama penyelidik menggunakan Kaedah Tinjauan (soal selidik). Aspek kedua (penulisan) penyelidik menggunakan Kaedah Analisis Kandungan. Aspek kedua (pertuturan) dikaji berdasarkan pemerhatian. Beberapa set perbualan murid-murid dan pengajaran guru bahasa Melayu telah dirakam dan dianalisis. Pengkaji juga ada membuat penelitian turut serta di dalam kelas bahasa Melayu.

            Sebagai kesimpulan, dikemukakan Model Kajian Kes yang merangkumi fenomena yang dikaji, teori pembelajaran, objektif, subjek kajian, pengumpulan data, dan analisis data (lihat rajah  3).

Dapatan kajian

            Dapatan tentang pengaruh bahasa ibunda dibincangkan mengikut tiga tajuk kecil.

1.         Unsur-unsur linguistik bahasa ibunda dalam penulisan

            Aspek leksikal merupakan aspek bahasa Melayu yang paling banyak menerima pengaruh bahasa ibunda murid-murid India. Pengaruh tersebut terdapat 145 patah perkataan bersamaan 74.36%. Pengaruh tersebut merangkumi proses penggantian, penambahan dan penghilangan fonem-fonem bahasa Melayu. Proses penggantian fonem vokal bahasa Melayu paling kerap berlaku dalam karangan bahasa Melayu murid-murid India. Contohnya:

a.           Penggantian /e/ kepada /a/

 

 cerita

menjadi

carita

 

kepada

menjadi

kapada

b.          Penggantian /a/ kepada /o/

 

sangat

menjadi

songat

 

nama

menjadi

namo

c.          Penggantian /e/ kepada /i/

 

terima

menjadi

tirima

 

rehat

menjadi

rihat

d.         Penggantian /u/ kepada /o/

puku

menjadi

pukol

untuk

menjadi

untok

e.         Penggantian /i/ kepada /e/

habis

menjadi

habes

 pilihan

menjadi

pilehan

Terdapat tujuh proses penggantian fonem konsonan, iaitu:

a.

Penggantian konsonan /b/ kepada /p/

 

bandar

menjadi

pandar

b.

Penggantian konsonan /p/ kepada /b/

 

pecah              

menjadi

bicah

c.

Penggantian konsonan /f/ kepada konsonan asli /p/

 

faedah

menjadi

paedah

d.

Penggantian /g/ kepada /k/

 

bagus  

menjadi

bakus

e.

Penggantian /k/ kepada /h/

 

awak

menjadi

awah

f.

Penggantian /w/ kepada /v/

 

kawan

menjadi

kavan

g.

Penggantian konsonan /n/ kepada konsonan /m/

 

tanpa

menjadi

tampa

            Proses penambahan fonem juga berlaku.

a.

Penambahan vokal depan rendah /a/

 

harga

menjadi

haraga

b.

Penambahan konsonan /h/

 

meja

menjadi

mejah

 

jumpa

menjadi

jumpah

c.

Penambahan konsonan /w/

 

semua

menjadi

semuwa

      Proses penghilangan juga berlaku

a.

Penghilangan vokal tengah agak tinggi /e/

 

terima

menjadi

trima

b.

Penghilangan vokal /a/

 

soalan

menjadi

solan

c.

Penghilangan konsonan /h/

 

sekolah

menjadi

skola

d.

Penghilangan konsonan /k/

 

tak mahu

menjadi

tamau

e.

Penghilangan     konsonan /g/

 

menggunakan

menjadi

mengunakan

f.

Penghilangan konsonan /r/

 

besar

menjadi

besa

            Proses Pemindahan Bahasa Ibunda

            Dua perkataan bahasa Tamil digunakan dalam penulisan karangan bahasa Melayu. Perkataan-perkataan itu adalah:

        /kaasi/              kasi                  wang

        /maata/             mata                 polis

Sewaktu murid-murid India berinteraksi sesama mereka terdapat fenomena percampuran kod bahasa Melayu-Tamil. Fenomena tersebut berlaku di peringkat penghasilan  ayat. Ayat penyata paling banyak menghasilkan percampuran kod Melayu-Tamil.Contoh:

1.    Saya sura ada tulis.

     (Saya ada menulis surat)

2.    Itu vakkul suda peno.

     (Bakul itu sudah penuh)

3.    Dia kooli kerja ada buat

     Dia  membuat kerja buruh (kuli)

Secara keseluruhan murid-murid bersikap positif terhadap penggunaan bahasa Melayu. Oleh yang demikian jangkaan mereka terhadap bahasa tersebut turut  menjadi positif. Unsur ekstralinguistik iaitu pendedahan bahasa murid bertindak secara bawah sedar ke atas Pembelajaran Terpendam.

            Berdasarkan data-data yang diperolehi, ketiga-tiga soalan kajian itu dapat jawapannya. Unsur-unsur linguistik bahasa ibunda yang terdiri daripada leksikal, makna kata, imbuhan dan binaan ayat memang ada mempengaruhi markah karangan bahasa Melayu murid-murid India walaupun dalam peratus yang berbeza-beza.

            Dapatan kajian juga menunjukkan bahawa unsur-unsur linguistik bahasa ibunda memang terdapat di dalam pertuturan percampuran kod bahasa Melayu-bahasa Tamil murid-murid India.

            Juga didapati ada pembolehubah ekstralinguistik bahasa ibunda yang dominan di kalangan murid India. Ia terdiri daripada penggunaan bahasa harian, sikap dan pendedahan bahasa murid-murid India itu. Kekerapan pembolehubah-pembolehubah itu berbeza-beza.

Ringkasan kajian

            Dalam penulisan bahasa Melayu,  aspek yang paling banyak menerima pengaruh bahasa ibunda ialah leksikal. Pengaruh itu dikesan melalui proses penggantian, proses penambahan dan proses penghilangan fonem-fonem. Antara tiga proses tersebut, proses penghilangan fonem vokal merupakan yang paling kerap berlaku. Aspek kedua yang paling kerap dipengaruhi bahasa ibunda ialah aspek penambahan dan ketiga ialah penggantian.

            Selain daripada itu, aspek binaan ayat yang mempengaruhi bahasa ibunda telah dikenal pasti. Binaan-binaan ayat itu mengalami proses pendepanan; iaitu pendepanan kata kerja, pendepanan kata kerja tunggal ‘ada’ dan kata penekan ‘juga’, serta pendepanan kata hubung gabungan ‘dan’. Pertuturan bahasa Melayu murid-murid India tidak terkecuali daripada pengaruh bahasa ibunda khususnya pengaruh bunyi fonem vokal atau konsonan. Pengaruh itu hadir dalam aspek leksikal dan ayat.

            Berdasarkan keputusan kajian maka beberapa cadangan atau syor untuk membaiki kelemahan mempelajari bahasa Melayu di kalangan murid India akan dikemukakan.

1.                  Kesalahan sebutan dan ejaan berlaku di kalangan murid India akibat daripada pengaruh bahasa ibunda dengan cara penambahan, penghilangan dan penggantian fonem-fonem pada perkataan-perkataan bahasa Melayu. Guru dapat mengatasi masalah tersebut dengan menerangkan terlebih dahulu kepada murid-murid struktur bunyi dan struktur kata sebenar bahasa Melayu sehingga murid-murid itu faham. Penerangan dapat dilakukan dengan membandingkan struktur bunyi dan struktur kata bahasa Melayu dengan bahasa Tamil. Guru juga boleh mengajar latihan menyebut perkataan-perkataan bahasa Melayu dengan cara latih tubi. Apa yang jelas ialah mengajar bahasa Melayu sebagai bahasa kedua memerlukan guru bahasa yang mengetahui deskripsi bahasa Melayu juga deskripsi bahasa ibunda murid-murid. Dengan pengetahuan tersebut guru lebih arif tentang keperihalan keadaan dua bahasa itu.

2.                  Bagi mengatasi masalah penggunaan bahasa Melayu yang dipengaruhi bahasa ibunda maka pembetulan kesilapan-kesilapan leksikal, morfologi, sintaksis dan semantik hendaklah dilakukan secara berperingkat-peringkat. Dalam keadaan tersebut, teguran spontan perlu diberi oleh guru sekiranya didapati murid menyimpang daripada fitur serta rumus bahasa Melayu baku. Guru dapat memberi pengayaan bahasa kepada kumpulan pandai dan kumpulan lembab diberi pengukuhan bahasa.

3.                  Fenomena percampuran kod bahasa Melayu-Tamil di dalam bilik darjah boleh dikurangkan. Langkah yang sesuai bagi mengatasi masalah ini ialah dengan mengadakan perbincangan antara murid-murid dalam bahasa Melayu yang betul. Langkah ini dapat dilakukan dengan cara mengintegrasikan murid-murid menggunakan bahasa Melayu. Guru boleh membahagikan murid-murid yang kerap dengan yang jarang menggunakan bahasa Melayu. Integrasi  murid dilaksanakan semasa perbincangan dalam kumpulan.Untuk menghidupkan suasana perbincangan maka konsep pertandingan antara kumpulan boleh dijalankan. Guru boleh memberi ganjaran dalam bentuk pujian, buku atau seumpamanya kepada kumpulan yang menggunakan kurang percampuran kod. Cara ini dapat menggalakkan murid-murid berbincang dengan menggunakan bahasa Melayu yang betul tanpa percampuran kod.

4.                  Bagi mengatasi masalah murid yang tidak mempunyai cukup kosa kata bahasa Melayu, penyelidik mencadangkan strategi pembelajaran mencari makna kata berdasarkan kamus dan konteks klu. Strategi jenis ini sesuai untuk memantapkan kosa bahasa Melayu murid-murid India. Dalam pengajarannya, guru hendaklah tidak menekankan aturan-aturan tatabahasa terlebih dahulu. Penekanan patut ditumpukan kepada struktur ayat yang menerbitkan makna, iaitu dengan melihat makna kata dalam konteks ayat. Guru juga harus mengajar murid-murid untuk memahami makna kata dalam konteks budaya, tajuk dan situasi. Dengan yang demikian murid-murid dapat memahami makna kata dalam pelbagai konteks. Selanjutnya, murid-murid dapat mengaitkan makna sesuatu kata dengan kata-kata sinonim lain dalam konteks yang berbeza.

5.                  Boleh juga diadakan latihan bercerita dalam bahasa Melayu sebagai asas program pendedahan bahasa. Latihan sedemikian dapat dilaksanakan dengan cara guru menayangkan filem, video atau rakaman perbualan, cerita, lagu dan seumpamanya.

    Sebagai kesimpulannya, penyelidik ingin mengajukan cadangan kepada bakal penyelidik. Bakal penyelidik boleh menjalankan kajian jenis inferensi dengan menerapkan prosedur kumpulan eksperimen ujian pra dan ujian pasca. Di samping itu, bakal penyelidik boleh memajukan model percampuran kod yang telah diasaskan oleh Poplack (1980), Woolford (1983) dan Bokamba (1988).

BIBLIOGRAFI

Abdul Hamid Ahmad (1988) Pengaruh Bahasa Sungai dalam Pengajaran dan

Pembelajaran Bahasa Malaysia Baku. Penulisan Ilmiah Bacelor Pendidikan (PBMP), Universiti Pertanian Malaysia, Serdang.

 Antonia,C. (1981) Problems of Learning English as a Second Language. Singapore: Regional Language       Centre.

 Bialystok,E. and Frohlich, M.(1977) “Aspects of Second Language Learning in Classroom Settings”. Working        Papers on Bilingualism, No. 13. The Ontario Institute for Studies in Education.

 Clement,R.,Major,L.J.,Gardner,R.C., and Smythe, P.C.(1977) Attitudes and Motivation in Second        Language Acquisition, London: Longman.

 Dulay, H.,Marina, B., and Stephen, K. (1982) Language Two.London: Oxford University
 Press.

 Farid, M.Onn., and Ajid Che Kob (1981) Pengaruh Bahasa Daerah dalam Proses Pembelajaran Bahasa Malaysia di Kalangan Pelajar-pelajar  Melayu, Bangi: Universiti Kebangsaan Malaysia.

 Norainah Dani (1993) “Pengaruh Bahasa Ibunda Dalam Proses Pembelajaran Bahasa Melayu Pelajar-pelajar   Dusun”, Penulisan Ilmiah Master Sains, Fakulti Pengajian Pendidikan, Universiti Pertanian   Malaysia, Serdang.

 Woolford,E.(1983) “Bilingual Code_Switching and Syntactic Theory”. Linguistic Inquiry, 14: 520-535.