Penggunaan Internet Dalam Penyelidikan

 

 Azriy Hj Abdullah

Ketua Jabatan Teknologi Pendidikan

Maktab Perguruan Teknik, K.L.

 

 

(Kertas kerja ini telah dibentangkan dalam Seminar Penyelidikan MPT 2001)

Kertas kerja ini membincangkan isu utama iaitu bagaimana seseorang penyelidik dapat menggunakan internet dalam melaksanakan sesuatu penyelidikan. Melalui kertas kerja ini para penyelidik didedahkan kepada aspek kemahiran mencari maklumat, kemahiran menilai maklumat dan kaedah yang tepat bagaimana merujuk sumber maklumat yang diperolehi melalui internet. 

Kebelakangan ini banyak terdapat maklumat di internet. Ada yang berguna dan ada yang tidak berguna. Kemahiran para penyelidik untuk mencari dan mengasingkan maklumat adalah penting. Kemahiran menggunakan direktori dan enjin carian dibincangkan dalam kertas kerja ini.  Selepas maklumat ini diperolehi, ianya perlu dinilai dengan teliti supaya apa yang tersenarai akhirnya hanya maklumat yang baik dan berguna untuk penyelidikan yang dicadangkan. Para penyelidik sudah maklum dengan kaedah menilai bahan rujukan bercetak yang diperolehi melalui perpustakaan. Maka. kaedah yang sama digunakan bagi bahan elektronik yang diperolehi melalui internet dengan beberapa ciri tambahan yang penting. Akhir sekali, para penyelidik didedahkan kepad kaedah menyediakan senarai bibliografi atau “webliografi” mengikut format APA. Maklumat berkenaan kaedah-kaedah lain juga disediakan

            Internet memberi kemudahan kepada pelajar, guru dan penyelidik memperoleh maklumat dari seluruh dunia.  Malahan internet  merupakan media yang paling mudah untuk mengedarkan maklumat secara digital. Memandangkan kebelakangan ini begitu banyak maklumat yang mempunyai nilai ilmiah dan juga yang tidak ternilai boleh diperoleh melalui internet, maka  tibalah masanya satu bentuk kemahiran baru diperkenalkan kepada pelajar, guru, dan penyelidik. Kemahiran yang dimaksudkan ialah “Kemahiran Maklumat Internet” atau  Internet Information Skills”.

 Melalui perpustakaan, kita akan peroleh buku-buku, jurnal, dan pelbagai sumber lain yang sudah dinilai oleh penerbit buku, pustakawan serta cerdik pandai lain sebelum kita dapat menatapnya. Keadaan ini berbeza dengan sumber maklumat yang terdapat  di internet. Anda mungkin menatap satu laman yang baru sahaja dimuat-naik oleh pemiliknya. Maka tiada penapisan dan tiada penilai sebelum anda. Andalah yang perlu membuat keputusan sama ada sumber yang anda peroleh itu satu sumber ilmiah yang berguna atau sebaliknya. Justeru, anda mesti sentiasa ingat bahawa di internet sumber maklumat yang baik dan yang sebaliknya berada dalam satu longgokan yang belum dikelaskan.

 Bagi menangani masalah kemahiran maklumat dan kemahiran penggunaan internet dalam penyelidikan, maka kertas kerja ini akan membincangkan perkara-perkara berikut:

  • Apakah internet?
  • Kemahiran mencari maklumat melalui internet
  • Kemahiran menilai maklumat yang diperoleh
  • Kaedah merujuk sumber maklumat yang diperoleh melalui internet.

 

Apakah Internet ?

Internet ialah satu rangkaian berjuta komputer seluruh dunia. Komputer yang dimiliki peribadi, sekolah, organisasi, tentera dan sebagainya yang disambung secara talian tetap atau pun secara dail. Di Malaysia, TM Net, Time.net, Celcom.net dan Jaring merupakah pengantara bagi seluruh rakyat menyambung komputer masing-masing ke dalam rangkaian ini. Tetapi ini tidaklah bermakna bahawa bila disambung sahaja komputer ke rangkaian internet, semua fail dalam komputer milik kita akan dapat dicapai oleh pengguna lain. Ia tidak semudah itu kerana pencapaian maklumat dari satu komputer ke komputer lain perlu melalui protokol dan deklarasi. Namun sekiranya seseorang mempunyai maklumat yang ingin dikongsi dengan orang lain melalui internet, maka sumber ini perlu diletakkan di satu laman web melalui hos yang mana komputernya  bersambung secara terus 24 jam sehari dengan internet.

 Protokol utama yang digunakan oleh internet ialah protokol World Wide Web (WWW) atau dikenali sebagai hypertext transfer protocol (http). Http membolehkan dokumen yang mengandungi teks, grafik, audio dan video dipindahkan melalui internet. Laman web yang diletakkan pada sesuatu hos menggunakan protokol ini.  Protokol lain yang terdapat di internet ialah File Transfer Protokol (FTP), telnet dan mel elektronik (e-mel). Protokol-protokol ini juga sering digunakan oleh pengguna internet, misalnya,  pemilik-pemilik laman web yang akan selalu menggunakan FTP bagi memindah-naik fail dari komputer peribadi ke komputer hos pengendali laman web. Begitu juga pelajar, pekerja, guru-guru, penyelidik dan ramai lagi yang kerap menggunakan e-mel dalam perhubungan setiap hari.

 Internet merupakan gedung resos yang menakjubkan untuk para penyelidik.  Namun, seperti mana alat penyelidikan lain, penggunaan internet dalam penyelidikan memerlukan penyelidik mempelajari kemahiran bagaimana dan bila internet boleh digunakan.  Di sinilah terletak keperluan perancangan penyelidikan yang teliti dilakukan.

Ø   Apakah persoalan kajian anda dan apakah sebenarnya yang anda cari ?

Penyelidik hendaklah jelas dengan persoalan ;

Ø   Apakah jenis maklumat yang anda perlukan?

Adakah anda perlukan dalam bentuk penulisan buku, jurnal, laporan atau penulisan am ?

Ø   Adakah anda ingin mencari maklumat melalui perpustakaan atau internet ?

Sebagai penyelidik anda perlu buat keputusan sama ada ingin mencari maklumat melalui perpustakaan, internet atau gabungan perpustakaan dan internet. Sekiranya keputusan dibuat untuk menggunakan internet, maka perlu dibuat satu tinjauan. Adakah maklumat yang ingin dicari terdapat di internet ?

Ø Berapa banyak masa anda akan gunakan? 

 Masa adalah juga satu elemen penting dalam melakukan penyelidikan. Jika seseorang penyelidik mempunyai kekangan dalam penggunaan masa, maka lebih baik menumpukan penyelidikan melalui perpustakaan sahaja. Jika ingin menggunakan internet, anda sebenarnya memerlukan banyak masa. Ini  kerana apabila anda menggunakan internet, anda mungkin akan tersesat di “Super Highway”.  Pada amnya kita istilahkan internet sebagai “Super Highway”. Tetapi sebenarnya ia adalah sebuah highway yang mempunyai paling banyak laluan susur keluar,  iaitu pautan-pautan ke laman-laman lain di internet yang “menarik” tetapi sebenarnya tidak diperlukan dalam penyelidikan. Ini ditambah pula dengan berjuta laman-laman iklan yang timbul-sendiri (pop-up) sepanjang masa yang amat berpengaruh untuk menyesatkan carian anda.

 

Kemahiran Mencari Maklumat Melalui Internet

Mencari maklumat di internet bukanlah satu perkara yang mudah seperti yang pernah diwarwarkan. Terdapat berjuta dokumen di internet yang dihasilkan oleh para pakar, penyelidik, saintis, profesor, guru, pelajar dan juga para “haprak”.  Memanglah kita semua maklum bahawa internet ialah gedung maklumat. Tetapi dalam konteks melakukan penyelidikan, seseorang penyelidik mahu mencari maklumat yang baik dan berguna sahaja. Cuma masalah yang timbul kebelakangan ini ialah maklumat yang baik dan berguna ini sudah ditenggelami oleh maklumat yang tidak berguna, iaitu  maklumat yang ditulis oleh para “haprak”. ”.

"Finding resources on the Internet can be like looking for a needle in a haystack”

         Begitulah kata-kata ingatan kepada penyelidik yang sering ditemui di laman-laman web yang memberi panduan penggunaan internet dalam penyelidikan sedikit masa lalu. Tetapi mungkin kata-kata ini pun sudah tidak tepat lagi sekarang kerana jarum dan rumput kering (hay) sama-sama berguna kepada petani dan ternakannya. Pada hari ini, mungkin lebih tepat dikatakan penyelidik yang menggunakan internet untuk tujuan penyelidikan adalah sama seperti scavangers  yang bergelumang dengan longgokan sampah sarap di tempat-tempat pelupusan sampah dalam mencari rezeki harian mereka. Apakah mungkin para penyelidik mampu menemui maklumat yang berguna ini?

 

Direktori

Salah satu kaedah mencari maklumat yang baik dan mudah adalah menggunakan direktori. Direktori ialah himpunan maklumat/resos yang sudah dipilih dan disusun mengikut kategori oleh pemiliknya. Dengan menggunakan direktori, penyelidik tidak akan berdepan dengan sampah yang banyak. Bukan tidak ada sampah langsung.

 

 Direktori-direktori yang menjadi pilihan dan sering dikunjungi oleh penyelidik ialah:

 

Yahoo dan Yahooligans

Yahoo merupakan direktori terkenal yang dipilih dan diedit secara manual.  Ia boleh diakses melalui  http://www.yahoo.com/

Yahooligans pula adalah direktori khas untuk kegunaan remaja. Ia boleh diakses melalui http://www.yahooligans.com/

 

Point Communication Corporation's Top 5% Sites

Direktori ini menilai dan reviu dokumen / resos. Laman-laman yang diindeks merupakan 5% laman terbaik. Ia boleh diakses melalui http://point.lycos.com/categories/

 

 

Web Crawler

Web Crawler reviu resos “yang terbaik di internet”.  Boleh diakses melalui http://webcrawler.com/select/

 

Argus Clearinghouse

Direktori yang mesti dilawati oleh penyelidik yang serius.  Boleh diakses melalui http://www.clearinghouse.net/

 

Internet Public Library

Perpustakaan Awam Internet pertama bagi warga internet.  Boleh diakses melalui http://www.ipl.org/

 

DMOZ

Direktori yang juga mesti dilawati oleh penyelidik yang serius.  Boleh diakses melalui http://www.dmoz.com/

 

 

Enjin Carian

Menggunakan enjin carian adalah satu lagi kaedah mencari maklumat di internet. Terdapat banyak Enjin carian di internet. Contoh enjin carian yang popular ialah:

¿      Altavista

¿      Excite

¿      Open Text

¿      Infoseek

¿      Magellen

 

 Bagi membolehkan carian maklumat menggunakan enjin carian, kata kunci (keywords) yang tepat hendaklah disediakan terlebih dahulu. Tanpa kata kunci yang tepat proses mencari maklumat akan menjadi sukar. Di samping itu, pengetahuan asas berkenaan kaedah dan karenah setiap enjin carian juga amat perlu difahami bagi memastikan carian dapat dilaksanakan dengan berkesan. Berikut disenaraikan beberapa panduan semasa menggunakan enjin carian.

 

Case sensitivity:

Kata kunci yang digunakan untuk tujuan carian adalah  case sensitive bergantung kepada penggunaan. Penggunaan huruf besar (capitalized) akan menjadikan istilah itu case sensitive. HotDog akan mencari istilah yang dieja tepat seperti itu sementara hotdog akan mencari semua istilah sama ada dieja dengan huruf kecil atau besar.

 

Phrases:

Kata kunci boleh dikumpulkan menjadi frasa dengan menaip  "Abraham Lincoln". Satu kaedah lagi ialah dengan menaip  Abraham;Lincoln. Jika di taip Abraham Lincoln,  carian ini akan turut menyenaraikan apa sahaja nama yang ada Abraham dan Lincoln bukan khusus Abraham Lincoln.

 

 

Required Terms:

Ada kalanya semasa membuat carian anda perlukan satu istilah atau kata kunci dikaitkan dengan kata kunci utama carian. Sebagai contoh, katakan anda perlu mencari maklumat Abraham Lincoln yang berkaitan dengan Laporan Gettysburg . Maka apa yang perlu anda lakukan ialah meletakkan simbol + selepas kata kunci utama dan sebelum sebelum istilah yang dikaitan. Contoh, taipkan "Abraham Lincoln"+Gettysburg  tanpa ada space di antara dua kata kunci.

 

Prohibited Terms:

Dalam keadaan lain pula anda mungkin perlukan maklumat Abraham Lincoln yang am tetapi tiada kaitan dengan Laporan Gettysburg. Maka anda perlu letakkan simbol - sebelum perkataan berkenaan. Contoh taipkan  +"Abraham Lincoln"-Gettysburg.  Perhatikan ada tanda + sebelum kata kunci utama. Ini adalah untuk menjelaskan lagi ekspresi logik ini.

 

Boolean and Proximity Searching:

Semasa menggunakan enjin carian, anda juga boleh menggunakan kata kunci yang berbentuk istilah logik. Anda tentu biasa dengan istilah-istilah logik seperti AND, OR dan NOT. Cuma ada sedikit sahaja perbezaannya, iaitu semasa menggunakan enjin carian, istilah logik yang digunakan ialah AND, OR dan AND NOT. Cuba perhatikan carian berbentuk logik berikut:

"Abraham Lincoln" AND "civil war" – carian ini bertujuan mendapatkan maklumat Abraham Lincoln dan civil war. Jika anda mahukan maklumat sebaliknya taipkan  "Abraham Lincoln" AND NOT "civil war". Akan tetapi karenah sesetengah enjin carian, jika ditaip  ("Abraham Lincoln") AND NOT ("civil war")  akan memberikan carian yang lebih tepat.

(dogs OR cats) AND ("pet care")  - carian ini pula jelas bagi mencari maklumat dogs atau cats yang ada kaitan dengan pet care

Simpson AND NOT (Homer OR Marge OR Lisa OR Bart OR Maggie)  - carian ini pula adalah untuk mencari maklumat berkaitan mana-mana Simpson yang tidak berkaitan dengan Homer, Marge, Lisa, Bart atau Maggie.

 

 Perbandingan Enjin Caraian / Direktori

Sepertimana yang telah disebutkan di atas, enjin carian mempunyai banyak karenah. Segala tips atau panduan menggunakan kata kunci di atas tidak boleh digunakan ke atas semua enjin carian. Daripada jadual perbandingan di bawah, hanya Alta Vista yang merupakan enjin carian tulen. Open Text dikategorikan sebagai enjin carian tetapi cirinya terhad. Excite dan Info Seek pula merupakan gabungan enjin carian dan direktori. Yahoo dan Lycos pula ialah direktori tulen.

 

 

 


Alta Vista

Excite

Web Crawler

Lycos

Open Text

Info Seek

Yahoo

Case Sensitivity

YA

TIDAK

TIDAK

TIDAK

TIDAK

YA

TIDAK

Phrases

YA

TIDAK

YA

TIDAK

YA

YA

TIDAK

Required Terms

+

+

TIDAK

TIDAK

TIDAK

+

TIDAK

Prohibited Terms

-

-

TIDAK

TIDAK

TIDAK

-

TIDAK

Boleans

YA

YA

YA

TIDAK

YA

TIDAK

TIDAK

Directory Search

TIDAK

YA

YA

YA

TIDAK

YA

YA

 

 Yang mana satu terbaik ? Adakah direktori atau enjin carian yang lebih baik dalam usaha penyelidik mengumpul maklumat ? Sebenarnya semuanya bergantung kepada tahap penggunaan anda sebagai penyelidik. Jika anda hanya ingin mengimbas maklumat am guna Yahoo atau direktori lain seperti Lycos dan Web Crawler. Jika anda seorang penyelidik yang serius, mulakan dengan enjin carian AltaVista, kemudian direktori Argus Clearing House dan DMOZ. Tetapi ingat, direktori dan enjin carian lain juga  mungkin ada maklumat yang dikehendaki kerana setiap direktori dan enjin carian ini mempunyai pangkalan data masing-masing. Apa yang dimuatkan  dalam pangkalan data ini bergantung kepada penulis. Jika seorang penulis hanya daftarkan laman webnya di Alta Vista, maka semua bahan penulisannya hanya akan disenaraikan bila ada carian menggunakan Alta Vista. Justeru, ini merupakan satu lagi kekangan bagi menjodohkan penyelidik dengan bahan penulisan yang diingini, iaitu kejahilan para penulis dalam proses penyenaraian laman-laman ilmiah mereka di enjin carian dan direktori.

 

Kemahiran menilai maklumat yang diperoleh

Semasa menggunakan enjin carian atau direktori, anda akan memperoleh senarai indeks laman-laman web dengan sedikit keterangan. Keupayaan dan kemahiran anda selaku pengguna web untuk menghadkan carian serta menggunakan kata kunci yang tepat akan menghasilkan senarai indeks yang tepat dan paling berguna. Namun begitu, indeks ini akan hanya menemukan anda kepada dokumen yang diperlukan. Satu lagi tugas yang berat ialah untuk menilai resos atau dokumen yang telah ditemui.

 Beberapa aspek penilaian dokumen perlu diteliti. Yang paling penting ialah aspek kandungannya. Sebagai panduan, berikut adalah penilaian yang perlu dilakukan ke atas kandungan sesuatu dokumen sebelum ia digunakan untuk tujuan penyelidikan:

 

 Maklumat Penulisnya (Authorship)

Authorship  merupakan salah satu kriteria utama dalam menilai sesuatu bahan penulisan - siapa yang menulis ? Sebagai seorang penyelidik, anda seharusnya menilai dan menentukan siapa sebenar penulis ini. Cuba dapatkan jawapan-jawapan kepada persoalan berikut:

œ    Adakah penulis ini terkenal dalam bidang yang diselidiki ?

œ    Adakah penulis ini diperkenalkan oleh penulis terkenal lain ?

œ    Adakah bahan penulisan ini anda temui melalui laman lain yang anda percaya ?

œ    Adakah maklumat atau biodata penulis dinyatakan termasuk jawatannya, institusi tempat kerja beliau, nombor telefon, e-mel serta alamat ?

œ    Adakah maklumat atau biodata penulis boleh diperolehi melalui pautan pada laman yang dinilai ?

 

Sekiranya anda tidak memperoleh maklumat melalui persoalan di atas, anda boleh mencuba satu carian nama penulis menggunakan enjin carian seperti Alta Vista. Sekiranya beliau seorang penulis terkenal, sudah pasti anda akan temui laman web tempat kerja beliau atau laman web keahlian profesional di mana beliau menjadi ahli.

 

Maklumat Penerbitnya atau Pihak yang Bertanggungjawab (Authority)

Bagi bahan-bahan yang bukan merupakan dokumen web, adalah amat mudah bagi para penyelidik mengetahui akan pihak yang bertanggungjawab terhadap penerbitan bahan berkenaan kerana sedia ada nama atau syarikat penerbitnya. Tetapi bagi bahan yang merupakan bahan web, penyelidik sendiri perlu menentukan pihak yang bertanggungjawab. Kadang kala penyelidik dapat memastikan perkara seperti yang berikut :

Ê    Adakah dokumen diperolehi daripada laman web resmi sesebuah organisasi?

Ê    Adakah penulis merupakan majikan kepada sesuatu organisasi?

Ê    Adakah punca maklumat dinyatakan dengan jelas?

Ê    Adakah penulisnya boleh dihubungi untuk penjelasan?

 

 Menyemak  URL sesebuah laman dapat memberikan gambaran sama ada laman web itu sebuah laman web resmi atau laman web peribadi. Laman yang beralamat seperti http://www.sesuatunama.com atau http://www.sesuatunama.orang atau http://www.sesuatunama.gov adalah contoh laman-laman resmi. Sekiranya laman berkenaan mempunyai alamat yang panjang dengan beberapa penggunaan “/” serta “~” maka ini sudah pasti hanya satu laman peribadi.

 

Ketepatan Fakta (Accuracy)

Ketepatan fakta merupakan satu lagi kriteria utama penilaian bahan penulisan.  Penyelidik seharusnya tidak menerima 100% maklumat yang diperoleh daripada sesuatu dokumen. Penyelidik seharusnya menyemak rujukan lain berkaitan fakta yang sama dan memastikan maklumat berkenaan tidak mempunyai kecenderungan politik atau ideologi ? Kebelakangan ini internet sudah menjadi media longgokan maklumat yang bias, maklumat untuk pemasaran dan juga pengiklanan. Oleh itu, maklumat yang diterima seharusnya diteliti tahap kecenderungannya.

 

Para penyelidik seharusnya meneliti perkara berikut :

Ê    Sekiranya dokumen yang dinilai merupakan satu penyelidikan, pastikan kaedah memungut dan menganalisis data dinyatakan.

Ê    Metodologi yang dinyatakan bersesuaian dengan topik dan membolehkan kajian diduplikasi bagi tujuan pengesahan.

Ê    Dokumen bergantung kepada maklumat dari dokumen lain dan bibliografinya disenaraikan.

Ê    Dokumen tidak cenderung ke sesuatu pihak dan bukan untuk tujuan pemasaran atau pengiklanan.

 

 

Kemaskini (Currency)

Bagaimana boleh pengguna web mengetahui adakah maklumat yang diperoleh itu terkini? Ini kadang kala sukar untuk ditentukan. Pengguna hanya bergantung kepada kenyataan bila dikemas kini dokumen berkenaan oleh penulisnya. Tetapi terdapat juga para penulis yang baru berjinak dengan laman web yang tidak langsung menyatakan bila tarikh dokumen disediakan dan dikemas kini.

Oleh itu bagi memastikan maklumat terkini yang diperoleh , perhatikan perkara-perkara seperti yang berikut:

Ê    Dokumen menyatakan tarikh asal sesuatu data diperoleh.

Ê    Dokumen merujuk dengan tepat tarikh dan dokumen rujukannya.

Ê    Dokumen mempunyai tarikh disediakan.

Ê    Dokumen mempunyai tarikh kali terakhir dikemaskinikan.

Ê    Dokumen mempunyai tarikh copyright.

 

Skop

Penyelidik juga seharusnya menilai skop sesuatu penulisan itu. Adakah cukup luas dan mendalam dan adakah sesuai dengan skop penulisan penyelidik sendiri?

 

Kaedah merujuk sumber maklumat yang diperolehi melalui internet.

Untuk tujuan kertas kerja ini, saya akan hanya membincangkan bagaimana ditulis bibliografi bagi sumber maklumat yang diperoleh daripada internet.  Sepertimana penulisan bibliografi sumber maklumat bercetak, satu format perlu ditetapkan. Dalam kertas ini saya akan hanya membincangkan format APA (APA Style).

 

 Laman Profesional WWW

Ø            Keperluan Asas
Tajuk laman. (Tarikh copyright / disediakan / disemak, jika ada). [Media penerbitan]. Penerbit laman. <URL> [Tarikh dicapai].

 

Ø            Contoh
APA Styles Citations. [Online]. APA Online. <http://www.apastyle.org/electext.html> 
 

Laman Peribadi WWW

Ø            Keperluan Asas
Nama pemilik laman. (Tarikh copyright / disediakan / disemak, jika ada). Tajuk laman, jika ada. Jika tiada, catatkan “Home page”. [Media penerbitan]. Penerbit laman. <URL> [Tarikh dicapai].

 

 Ø           Contoh
Smith, Alastair. (2 Mac 1997). Criteria for Evaluation Internet Information Resources. [Online]. VUW Department of Library and Information Studies, New Zealand. <http://www.vuw.ac.nz/~agsmith/evall> [14 Ogos 2001].

 

 E-mel Peribadi

Ø            Keperluan Asas
Nama pengirim. (alamat e-mel pengirim). (Tarikh). Tajuk mesej. E-mel kepada penerima (alamat e-mel penerima).

 

Ø            Contoh
Jaring Network Operations. (register@jaring.my). (5 Sept. 2001). Acknowledgement For Supplementary Account Registration.   E-mel kepada Azriy Abdullah (azriy@pc.jaring.my). 

 

 Apa yang diterangkan di atas hanyalah sebahagian daripada aspek penulisan bibliografi sumber dari internet (sekarang ada disebut webliography) menggunakan format APA. Panduan penuh aspek ini boleh di capai melalui laman:

Ê    APA Styles Electronic Formats oleh Dr. Mary Ellen Guffey melalui laman http://www.westwords.com/guffey/apa.html.

 

 Maklumat lanjut bagi aspek-aspek lain seperti bagimana merujuk sumber dari internet dalam penulisan boleh dicapai melalui laman-laman web berikut:

Ê    Citing Electronic Sources Guide milik The American Psychological Association melalui laman http://www.apastyle.org/elecref.html

Ê    Frequently Asked Questions about APA Style milik The American Psychological Association melalaui laman http://www.apa.org/journals/faq.html

Ê    Using APA format  milik OWL Purdue University melalui laman http://owl.english.purdue.edu/handouts/research/r_apa.html

Ê    Using APA Style to Cite and Document Sources  milik Bedford St. Martin's Online! melalui laman http://www.bedfordstmartins.com/online/cite6.html

 

Penutup

Penggunaan sumber dari internet dalam penyelidikan di negara kita masih belum meluas. Para penyelidik dan penulis perlu meningkatkan kemahiran penggunaan internet masing-masing supaya bukan sahaja boleh menggunakan internet untuk tujuan penyelidikan tetapi berupaya mengedarkan hasil penulisan mereka dengan lebih berkesan melalui media internet. Di samping itu, kita juga perlu memikirkan usaha membudayakan penyelidikan di kalangan pelajar sekolah. Pelajar-pelajar sekolah, terutamanya di sekolah menengah sudah boleh didedahkan dengan mata pelajaran kemahiran maklumat internet selain mata pelajaran literasi komputer. Semoga semua usaha ini akan melahirkan generasi akan datang yang mahir menggunakan internet dan mahir menilai bahan sumber yang diperoleh melaluinya.

 

Webliografi

 

 


Edwards, J. ( July 15 1998) The Good, the Bad and the Useless: Evaluating Internet Resources. Ariadne [retrieve from] <http://www.ariadne.ac.uk/issue16/ digital/>  [18 Ogos 2001]

Evaluating Web Sites: Criteria and Tools. (July 12 2001)  [retrieve from]  Reference Division, Olin Kroch Uris Libraries, Cornell University, New York.
<http://www.library.cornell.edu/okuref/research/webeval.html>  [15 Ogos 2001]

Grassian, Esther. (6 September 200) Thinking Critically about World Wide Web Resources [retrieve from] UCLA College Library. <http://www.library.ucla.edu/ libraries/college/help/critical/index.htm>  [18 Ogos 2000]

Gray, Terry A.  How to Search the Web - A Guide To Search Tools  [retrieve from] Palomar College, CA. <http://daphne.palomar.edu/TGSEARCH/> [15 Ogos 2001]

Information Retrieval and the Internet. (31 Okt. 1997)  [retrieve from]  John Hopkins University. <http://milton.mse.jhu.edu:8001/research/education/ retrieval.html>  [18 Ogos 2001]

ISO 690-2  Information and Documentation - Bibliographic References - Part 2: Electronic Documents or Parts Thereof. (20 Apr.2001) [retrieve from]  National Library Canada. <http://www.nlc-bnc.ca/iso/tc46sc9/standard/690-2e.htm>[18 Ogos 2001]

Practical Steps in Evaluating Internet Resources. (7 Mei. 1997)  [retrieve from]  John Hopkins University. <http://milton.mse.jhu.edu:8001/research/education/ practical.html>  [18 Ogos 2001]

Resources for Documenting Electronic Resources (Jun 2001) [retrieve from] Online Writing Lab Purdue University. <http://owl.english.purdue.edu/handouts/research/ r_docelectric.html>. [14 Ogos 2001]

Smith, Alastair. (2 Mac 1997). Criteria for Evaluation Internet Information Resources. [retrieve from]. VUW Department of Library and Information Studies, New Zealand. <http://www.vuw.ac.nz/~agsmith/evall> [14 Ogos 2001].

Ten C's For Evaluating Internet Sources (2001, July 24) [retrieve from] McIntyre Library, University of Wisconsin-Eu Claire. <http://www.uwec.edu/library/ Guides/tencs.html> [18 Ogos 2001]

Zhang,  Xiwen.  (April 1996) Doing Research Using Internet Resources- Presentations in Paris and Aix-en-Provence, France [retrieve from] UNESCO Information Sector. <http://www.lib.csusb.edu/xinchen/> [14 Ogos 2001].